Membantah Azab Kubur Menyanggah Akidah Ahli Sunnah Wa Jamaah 

Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin[1]

 

 

 

Pengenalan

Mengapa Azab Kubur Dipertikai?

Isyarat al-Quran Berkaitan Azab Kubur

Hadis Berkaitan Azab Kubur

 

Kandungan

 

 

 

Mengapa Azab Kubur Dipertikai?

 

Saya amat hairan, apakah faedahnya individu yang menimbulkan isu sama ada azab kubur wujud atau tidak? Mempertikaikan pula hadis-hadis yang berkaitan dengannya dengan dakwaan-dakwaan yang salah lagi palsu. Dia cuba untuk mengandaikan perkara-perkara ghaib dengan akal ceteknya semata.

 Berita-berita tentang kubur adalah perkara ghaib. Kita tidak melihatnya tetapi beriman menerusi perkhabaran yang disampaikan Allah dan Rasul-Nya. Demikianlah salah satu ciri seorang mukmin, dia beriman kepada perkara-perkara yang datang menerusi sumber al-Quran dan al-Sunnah.  Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Marji‘iyyah al-‘Ulya fi al-Islam li al-Quran wa al-Sunnah memetik huraian al-Imam al-Syatibi (w. 791H) mengenai golongan sesat pada zamannya yang membelakangkan dalil-dalil syarak, menolak hadis-hadis sahih semata-mata kerana akal dan hawa nafsu. Setelah memetik ungkapan al-Imam al-Syatibi, al-Qaradawi menyebut:

Bagi mereka itu ada murid-muridnya pada zaman kita ini yang diiklankan perkataan-perkataan mereka. Mereka berbangga dengan dakwaan aqlaniyyah (menggunakan akal) dan ilmiah. Mereka menolak hadis-hadis yang menceritakan mengenai perkara ghaib (unseen) dan sam‘iyyat (perkara yang hanya diketahui menerusi perkhabaran dan tidak dapat disaksikan dengan mata) seperti malaikat, syaitan, hal-hal di dalam kubur dan kejadian-kejadian hari kiamat dan penjelasan yang sahih mengenai Syurga dan Neraka.

Mereka mendakwa sesungguhnya ilmu tidak dapat membuktikannya. Mereka lupa bahawa sesungguhnya insan tidak mengetahui mengenai alam nyata di sekelilingnya melainkan hanya tiga peratus. Adapun sembilan puluh tujuh peratus insan jahil mengenainya. Bahkan ilmu moden membuktikan bahawa insan sekalipun menemui banyak fenomena-fenomena alam, mengetahui sistem falak, zarah dan benda-benda lain, namun dia masih jahil mengenai hakikat dirinya sendiri. (al-Qaradawi, Al-Marji‘iyyah al-‘Ulya fi al-Islam li al-Quran wa al-Sunnah, m.s 134, cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut).

Azab kubur adalah perkara ghaib. Tanpa kepercayaan terhadap khabar dari Allah dan Rasul-Nya s.a.w memang sukar untuk kita menerima kewujudannya. Jika tidak kerana perkhabaran yang disampaikan Allah dan Rasul-Nya kita juga tidak ingin mempercayainya. Namun, demikianlah golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah,  mereka sentiasa menjadikan akal tunduk kepada dalil-dalil syarak. Berbeza dengan mu’tazilah dan golongan yang berkiblat kepada akal dan barat yang menyatakan nas-nas syarak hendaklah tunduk kepada akal mereka, nas-nas syarak akan tertolak jika menyanggah akal mereka. Mereka ini bertanya: “bagaimana wujudnya azab kubur, sedang ada orang yang mati tidak berkubur?

Kita katakan bahawa menyandarkan perkataan azab kepada kubur hanyalah atas kebiasaan manusia mati berkubur. Bukanlah bererti Allah tidak mampu mengazabkannya jika dia tidak berkubur. Allah Maha Berkuasa di atas segalanya. Sama seperti kita menyandarkan perkataan kedai kepada kopi, lalu kita sebut kedai kopi. Ini bukan bererti kedai tersebut mesti 24 jam ada kopi. Juga tidak bermaksud jika kopi kehabisan di kedai tersebut maka ia mesti ditutup atau ditukar namanya. Sandaran ini untuk menunjukkan pada kebiasaan atau lazimnya. Ini sebenarnya perkara yang mudah untuk dimengertikan. Malang ia tidak mampu difahami oleh orang mengakui bijak dan kuat berfikir. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Rahman Habannakah al-Maidani dalam buku Al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha:

Maksud nikmat dan azab kubur ialah nikmat dan azab pada alam barzakh di antara kematian dan kebangkitan (kiamat). Sama ada ia berlaku di dalam kubur ataupun selain kubur. Disandarkan kepada ungkapan kubur memandangkan kebanyakan orang mati dikuburkan. (‘Abd al-Rahman Habannakah al-Maidani, Al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha m.s. 551, cetakan: Dar al-Qalam, Damsyik).

Kata Dr. Said Ramadan al-Buti (tokoh yang selalu dipetik oleh majalah al-Islam) dalam bukunya Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah ketika menghuraikan mengenai soalan dua malaikat di dalam kubur:

Sesungguhnya menyandarkan perkataan soalan kepada kubur (soalan kubur) adalah atas kebiasaan, di mana kebiasaannya mereka yang mati dikebumikan di dalam kubur…jika engkau bertanya: “Bagaimana boleh berlakunya soal dan jawab sedangkan insan mati dalam berbagai keadaan?” Jawapannya: Sesungguhnya perkara ini dalam ruang apa yang boleh berlaku, bukan daripada perkara-perkara yang mustahil…bukan susah bagi Allah Jalla Jalaluh untuk membalikkan kehidupan sekali lagi di atas zarah-zarah jasad, sama ada ia berhimpun dalam kubur, atau bertebaran di bumi yang luas, atau bertaburan dalam perut binatang buas. Lalu Allah jadikan dia sedar soal-jawab kubur dan melihat malaikat yang bertanya dan bercakap dengannya. Tidak ada kepentingan kehendak engkau untuk mengetahui cara bagaimana ia berlaku. Ini kerana kehidupan selepas kematian berkait dengan sistem yang lain, yang benar-benar berbeza dengan sistem kehidupan alam yang kita lihat. (Al-Buti, Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah, m.s. 310-311, cetakan Dar al-Fikr al-Mu‘asir, Beirut).

Bahkan al-Buti dalam buku yang sama, setelah menyebut dalil-dalil yang nyata mengenai azab kubur, menyatakan:

Apabila engkau mengetahui ini, maka kami katakan: Adapun ingkar sama sekali terhadap kewujudan azab kubur adalah membawa kepada kekufuran. Ini kerana telah terbukti dalil yang putus mengenainya. (Ibid, m.s. 313).

 


 

[1]  Artikel ini adalah ihsan daripada Majalah i edisi April 2004.

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah