Membantah Azab Kubur Menyanggah Akidah Ahli Sunnah Wa Jamaah 

Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

 

 

 

Pengenalan

Mengapa Azab Kubur Dipertikai?

Isyarat al-Quran Berkaitan Azab Kubur

Hadis Berkaitan Azab Kubur

 

Kandungan

 

 

 

Hadis-Hadis Berkaitan Azab Kubur

Bahkan di sana terlalu banyak perkataan para ulama Islam yang menyatakan bahawa hadis-hadis mengenai azab kubur ini sampai ke darjah mutawatir. Justeru itu Ahl al-Sunnah menjadikan beriman dengan azab kubur adalah salah satu daripada pegangan mereka. Antara hadis-hadis yang banyak itu, apa yang diriwayatkan oleh Umm al-Mu`minun ‘Aisyah r.a.:

 “Aku tidak lihat Rasulullah s.a.w selepas solat melainkan baginda meminta perlindungan daripada azab kubur”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka baginda selalu memohon dalam solat-seperti yang diriwayatkan ‘Aisyah:

“Ya Allah aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada azab kubur.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

       Hadis-hadis Nabi s.a.w juga menggambarkan azab kubur berlaku pada roh dan jasad. Kata Ibn Taimiyyah: “Bahkan azab dan nikmat kubur berlaku ke atas jiwa dan badan. Hal ini disepakati oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. (Ibn Taimiyyah, op.cit. jld. 2, ms. 434). Demikian kata Ibn Abi al-‘Izz: “Demikian juga azab kubur berlaku pada jiwa dan badan. Ini disepakati oleh Ahl Sunnah wa Jama‘ah.” (Ibn Abi al-’Izz, op. cit, m.s. 579).

Walaupun begitu, berbeza pendapat di dalam masalah sama ada ia berlaku pada roh sahaja, atau keduanya tidak membawa kepada kufur selagi mana seseorang mengakui wujudnya azab kubur. Apa yang paling utama seseorang hendaklah mengakui dan beriman wujudnya azab kubur.

Sesiapa yang membaca hadis-hadis Nabi s.a.w, akan menemui hadis-hadis yang sahih sehingga ke darjah mutawatir mengenai azab kubur, seperti yang disebut oleh para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Marilah kita memohon perlindungan dengan Allah daripada azab kubur seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Tinggalkanlah sesiapa yang tidak beriman dengannya sehingga dia menemui azab tersebut.

Apa yang pelik, mengapakah masalah yang menjadi pegangan umat ini dibangkit dan dipertikaikan. Apakah sudah habis dan kekeringan idea mengenai agama atau apakah ini rentak menggayakan ilmu? Atau juga ini gaya mencari rezeki dan promosi?.

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah