Membantah Azab Kubur Menyanggah Akidah Ahli Sunnah Wa Jamaah 

Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

 

 

 

Pengenalan

Mengapa Azab Kubur Dipertikai?

Isyarat al-Quran Berkaitan Azab Kubur

Hadis Berkaitan Azab Kubur

 

Kandungan

 

 

 

Isyarat Al-Quran Berkaitan Azab Kubur

Apakah benar al-Quran tidak menyentuh atau mengisyaratkan sama sekali tentang azab kubur? Ini sebenarnya dakwaan daripada mereka yang tidak memerhatikan ayat-ayat al-Quran dengan teliti. Firman Allah dalam Surah al-Mukminun 23 ayat 99-100:

Sehingga apabila tiba maut kepada salah seorang di kalangan mereka, berkatalah ia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku dapat mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Bahkan sesungguhnya ia hanya perkataan yang dia ucapkan, sedang di hadapan mereka ada barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula.

Firman Allah dalam Surah al-Ghafir 40 ayat 46:

Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang, dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang sedahsyat-dahsyatnya!”

Apakah yang dimaksudkan dengan “Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang”? Ia bermaksud azab sebelum hari kiamat. Ini kerana ayat selepas itu menyebut, yang maksudnya: “dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang sedahsyat-dahsyatnya!”. Jelas sekali azab yang pertama ialah azab sebelum kiamat yang dibentangkan kepada mereka pada waktu pagi dan petang.

Dalam Surah Ibrahim 14, ayat 27:

Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada al-Barra bin ‘Azib r.a.: “Ayat ini diturunkan mengenai azab kubur”.

Justeru di dalam Sahih al-Bukhari, al-Imam al-Bukhari (w. 256H) meletakkannya dalam bab “Ma ja a fi ‘azab al-Qabr” (dalil-dalil mengenai azab kubur) ayat-ayat al-Quran yang berkait dengan azab kubur.

Sekiranya dikatakan bahawa ayat-ayat al-Quran tidak secara terang menyebut perkataan azab kubur. Kita katakan; namun al-Sunnah menyebutnya secara jelas, terang dan banyak sehingga ke peringkat mutawatir iaitu keyakinan bahawa ia bersumber daripada Rasulullah s.a.w. tidak dapat disangkal lagi. Walaupun secara lafaz ia tidak mutawatir tetapi secara makna ia mutawatir. Sesiapa mengingkarinya ternyata jahil atau tidak beriman dengan al-Sunnah. Ini diakui oleh para imam Ahli Sunnah wa Jama‘ah yang faham mengenai selok belok hadis-hadis Nabi s.a.w. Antaranya:

  • Berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) dalam Majmu’ al-Fatawa: Adapun hadith-hadith azab kubur dan soalan munkar dan nakir terlalu banyak lagi mutawatir daripada Nabi s.a.w. (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, jld. 2, m.s. 435, cetakan: Maktabah al-‘Abikan, Riyadh).
  • Kata al-Imam Ibn Abi al-‘Izz al-Dimasyqi (w. 792H) dalam kitab akidahnya yang masyhur  Syarh al-‘Aqidah al-Tahwiyyah: Sesungguhnya telah mutawatir hadis-hadis daripada Rasulullah s.a.w. mengenai kepastian azab dan nikmat kubur bagi sesiapa yang layak mendapatnya, dan soalan dua malaikat. Wajib beriktikad dan beriman dengannya. Tidak boleh kita memperkatakan mengenai bagaimana caranya. Ini kerana akal tidak dapat memahami bagaimana caranya. Ini kerana ia tidak sama dengan kehidupan dunia”. (Ibn Abi al-‘Izz, Syarh al-‘Aqidah al-Tahwiyyah, m.s. 578, cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut).
  • Kata al-Imam al-Munawi (w. 1031H) dalam Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Sagheir: Sesungguhnya Ahl al-Sunnah telah sepakat wajibnya beriman dengan soal dan azab kubur. Ini berdasarkan ayat-ayat dan hadis-hadis yang mutawatir maknanya”. (al-Munawi, Faidh al-Qadir, jld. 1, m.s. 131, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah, Mesir).
  • Kata al-‘Allamah Hafizd al-Hakami (w. 1377H) dalam A‘alam al-Sunnah al-Mansyurah: Hadis-hadis yang sahih mengenai azab kubur sampai ke darjah mutawatir (al-Hakami, A‘alam al-Sunnah al-Mansyurah, m.s 100, cetakan: Maktabah al-Suwadi, Saudi).

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah