Serangan Terhadap Isu Aurat Wanita

Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin


 

 

Pengenalan

Mengapa timbul penentangan terhadap hijab?

Pengaruh pemikiran Barat

Aliran Islam Liberal

Kandungan

 

 

 

Pengaruh Pemikiran Barat

Persoalannya, mengapakah isu tutup aurat sering kali diserang? Apakah tujuannya? Serangan ini muncul sejak lama lagi. Antara puncanya adalah tindak balas umat Islam terhadap perkembangan yang berlaku di dunia Barat. Barat yang sebelumnya ketinggalan jauh di bandingkan kemajuan yang pernah dicapai oleh umat Islam kembali berjaya menguasai tamadun kebendaan dan cuba memunculkan diri mereka sebagai simbol kejayaan tamadun manusia moden. Ini sebenarnya hasil kecuaian umat Islam terutama golongan agama dan pemerintah. Golongan agama yang tidak faham telah menjadikan agama begitu jumud menolak kemodenan dan hanya tertumpu kepada persoalan fardu `ain. Sementara banyak pemerintah umat Islam hanya mementingkan diri dan meninggalkan umat. Justeru itu semua pandangan kebanyakan bangsa tertumpu kepada Barat, termasuklah umat Islam. Barat telah dianggap kononnya simbol kepada gaya hidup zaman moden, juga kononnya mereka adalah pejuang hak dan kebebasan manusia moden.

       Dalam menghadapi cabaran ini, maka tiga sikap utama telah muncul di tengah umat Islam yang telah ketinggalan ke belakang:

Golongan yang pertama: Di kalangan mereka ada yang menerima apa sahaja dari Barat dan menolak agama serta tidak menghiraukan langsung nas-nas agama. Ini seperti Taha Hussain di Mesir. Beliau menyeru agar Mesir mencontohi dan meninggalkan keislamannya untuk maju kehadapan. Katanya dalam bukunya Mustaqbal ath-Thaqafah fi Misr:

Jalan ke arah itu hanyalah satu..iaitu kita mesti mengikut jejak langkah  orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamadunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicercai.

Bahkan dalam beberapa tempat beliau dengan jelas mengajak agar Mesir meniru Eropah sekalipun dalam beragama. Bagi golongan ini, menutup aurat sudah pasti ditentang oleh mereka kerana ianya boleh membezakan kita dengan Barat.

Ahmad Reda Bik yang merupakan penyeru agar ditumbangkan sistem pemerintahan Islam di Turki menganggap bahawa selagi lelaki dan wanita Turki tidak bercampur bebas dan membuka hijabnya maka tiada kedaulatan undang-undang dan kebebasan di Turki. (lihat: al-Ittijah al-Wataniah fi al-Adab al-Mu`asir, jld 2, m.s. 273)

Golongan yang kedua: Mereka tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi apa yang mereka lakukan ialah cuba menafsirkan nas-nas Islam agar sesuai dengan kehidupan moden di Barat. Apa sahaja nas al-Quran atau as-Sunnah yang menyanggah Barat akan cuba ditakwil sedaya upaya agar dapat disesuaikan dengan cara hidup di Barat. Bagi mereka seolah-olah kehidupan Barat adalah asas dan nas-nas mesti disesuaikan dengannya. Sedangkan dalam manhaj (methodologi) Islam nas-nas al-Quran adalah asas dan kehidupan mesti disesuaikan dengannya bukan sebaliknya. Ini seperti yang disebut oleh al-Qaradawi dalam al-Marji`iyyah al-`Ulya fi al-Islam: “Mereka menuntut agar Islam berubah tetapi mereka tidak meminta agar perubahan diislamkan”.

Sebab itu saya katakan, kalaulah sekiranya wanita Barat memakai purdah, percayalah mereka (golongan kedua ini) sungguh-sungguh akan mempertahankan dalil wajib memakai purdah. Kalau wanita Barat bertudung nescaya bersungguh-sungguh mereka  (golongan kedua) akan kumpulkan dalil wajib bertudung kepala. Namun oleh kerana mereka melihat dunia Barat tidak menutup aurat seperti wanita Islam, maka segala nas agama cuba ditafsirkan agar bersesuaian dengan keadaan tersebut. Lihat apa kata seorang tokoh mereka, Dr. `Imad `Abd al-Hamid an-Najar dalam Jaridah al-`Akhbar:

...adapun mengenai hijab dan percampuran antara wanita dan lelaki dalam kehidupan harian, ini adalah perkara yang boleh ditentukan oleh sesebuah masyarakat berdasarkan keadaannya.  Bagi setiap masyarakat ada pakaian dan cara-cara yang memudahkan individunya. Apa yang disebut oleh al-Quran mengenai hijab adalah khusus untuk isteri-isteri Rasulullah. Hukum-hakam ini bukanlah semestinya berkaitan dengan seluruh wanita.”

 

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah