Serangan Terhadap Isu Aurat Wanita

Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin


 

 

Pengenalan

Mengapa timbul penentangan terhadap hijab?

Pengaruh pemikiran Barat

Aliran Islam Liberal

Kandungan

 

 

 

Mengapa Timbul Penentangan Terhadap Hijab?

 

Perjuangan menentang hijab berlaku sejak dahulu lagi. Kononnya hijab adalah punca kemunduran dunia Islam. Mereka lupa bahawa punca kemunduran sebenar ialah kerana kita meninggalkan agama yang tulen dan membiarkan kepalsuan, bid`ah serta kemungkaran hidup dalam masyarakat. Mereka ini akan cuba mengulas nas-nas al-Quran dan al-Sunnah agar menepati kehendak mereka, dan kehendak mereka pula selalunya selari dengan Barat. Marqus Fahmi dalam tulisannya al-Marah fi asy-Syarq juga mempertikaikan hijab. Tulisan beliau  telah dijawab oleh tokoh-tokoh cendiakawan Islam semasa, termasuk Anwar al-Jundi.

 

Persoalan aurat sudah banyak dibahaskan. Setiap pengkaji Islam boleh merujuk kitab-kitab tafsir yang beralaskan nas-nas syarak dalam menafsirkan Surah al-Ahzab ayat 59 dan al-Nur ayat 60.

 

Dalam Surah al-Ahzab, Allah berfirman:

 

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan ke atas tubuh mereka pakaian mereka, cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

Dalam Surah al-Nur pula Allah menyatakan:

 

“Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 

Para ulama dalam hal ini, ada yang bertegas menyatakan seluruh tubuh wanita adalah aurat. Ini seperti yang dipegang oleh kebanyakan ulama di Saudi sekarang. Sesiapa yang ingin pendetilan bolehlah merujuk kepada kitab-kitab fatwa para ulama di Saudi, antaranya; buku al-Hijab yang ditulis oleh as-Syeikh Soleh Fauzan. Sementara jumhur (majoriti) ulama pula menyatakan muka dan tapak tangan tidak termasuk dalam aurat. Hujah-hujah yang kuat dalam masalah ini telah dijelaskan as-Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Niqab lil al-Mar‘ah baina al-Qaul bi bid`atih wa al-Qaul bi Ujubih.

 

Saya amat cenderung kepada pendapat jumhur ini. Dalam majalah ini juga saya pernah mengemukakan rencana khas yang membuktikan bahawa pendapat yang terkuat, wajah wanita bukannya aurat. Ada fuqaha mazhab Hanafi yang lebih longgar, membenarkan pergelangan kaki dibuka. Abd al-Karim Zaidan telah menghimpunkan perbincangan ini dalam tulisannya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah. Saya tidak bercadang untuk mendetilkan persoalan ini, sebaliknya sekadar untuk menjelaskan bahawa adalah lebih baik para pembaca merujuk kepada para ilmuan dan cendiakawan Islam yang dipercayai agamanya dari merujuk kepada beberapa kerat penulis jalanan yang diragui diri dan ilmunya.

 

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah