Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

Hujah-hujah bagi menolak dakwaan wujudnya hadis-hadis yang bercanggah

         Jika kita mengkaji dengan mendalam kitab al-Qur'an al-Karim dan Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, kita akan menemui sejumlah petunjuk yang dapat menangkis dakwaan wujudnya dua hadis yang saling bercanggah antara satu sama lain. Marilah kita merujuk dan mengkaji petunjuk-petunjuk yang dimaksudkan:

Hujah pertama:

          Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

          Demi bintang semasa ia menjunam, rakan kamu (Nabi Muhammad), tidaklah ia menyeleweng, dan ia pula tidak sesat. Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. [al-Najm 53:1-4]

          Dalam ayat ini Allah Ta'ala menerangkan bahawa apa yang disampaikan oleh Rasul-Nya Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam, baik al-Qur'an dan Hadis, adalah wahyu yang berasal dari-Nya. Oleh itu adalah tidak mungkin Allah Azza wa Jalla mewahyukan kepada Rasul-Nya dalil-dalil syari'at yang saling bercanggah antara satu sama lain. Ini adalah sepertimana firman Allah di dalam ayat berikut:

          Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran ? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. [al-Nisaa' 4:82]

Hujah kedua:

          Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:            

          Dan Allah telah menurunkan kepadamu (Muhammad) Kitab (Al-Quran) serta al-Hikmah. [al-Nisaa’ 4:113]

         Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan al-Hikmah. [‘‘Ali Imran 3:164]

Rasulullah sallalahu-alaihi-wasallam telah dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dua perkara, al-Qur’an dan al-Hikmah (al-Nisaa’ 4:113). Baginda juga telah ditugaskan untuk mengajar kedua-dua perkara tersebut kepada umatnya (‘‘Ali Imran 3:164). Al-Hikmah ialah segala sumber syari‘at, ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab al-Qur’an, iaitu Sunnah-sunnah baginda.[33]

Dua ayat ini menunjukkan bahawa Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam urusan syari‘at berasal dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan ia disampaikan oleh baginda sebagai salah satu tugas yang diamanahkan oleh Allah. Adalah mustahil sesuatu yang berasal dari Allah yang diwajibkan penyampaiannya kepada umat adalah sesuatu yang saling bercanggah dan berlawanan antara satu sama lain.

 

 

===========================

[33]     Definisi al-Hikmah telah penulis bahas secara panjang lebar dalam buku 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya, Bab “10 Dalil al-Qur‘an tentang tugas Rasulullah”, Tugas ke-7 (Jahabersa 2002). Silalah merujuk kepadanya

 

 
:: laman utama