|
Hujah
ketiga:
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan bahawa sesungguhnya inilah
jalanKu (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan
janganlah kamu menurut jalan-jalan (lain), kerana jalan-jalan (yang lain
itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah
Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
[al-An‘aam 6:153]
“JalanKu”
yang dimaksudkan oleh Allah Ta‘ala dalam firman-Nya di atas ialah agama
Islam yang sumber asasnya al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah. Sangatlah tidak
mungkin sumber-sumber asas ini memiliki percanggahan di dalamnya sehingga
mencerai-beraikan kefahaman umat sepertimana jalan-jalan lain yang kita
dilarang mengikutinya.
Hujah keempat:
Firman
Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan sesungguhnya engkau (wahai
Muhammad) adalah memberi petunjuk ke jalan yang lurus, iaitu jalan Allah
yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di
bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.
[al-Syura 42:52-53]
Allah Tabaraka wa Ta‘ala menerangkan bahawa
Rasul-Nya Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam menunjuk, memimpin dan
membimbing manusia ke jalan yang lurus, iaitu jalan Allah, yakni agama
Islam yang diredhai-Nya. Adalah mustahil jalan yang ditunjuk oleh Rasulullah,
yakni sunnah-sunnahnya, adalah sesuatu yang saling bertentangan antara
satu sama lain, sehingga menjauhi sifat “jalan yang lurus” yang
diterangkan oleh Allah Ta‘ala dalam firman-Nya di atas.
Hujah
kelima
Firman
Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Wahai
orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada
Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan
kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu
perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran)
dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari
akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula
kesudahannya.
[al-Nisaa’ 4:59]
Dalam
ayat di atas, Allah Azza wa Jalla menyuruh umat Islam untuk kembali merujuk
kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasul-Nya Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam
jika mereka berselisih dalam hal-hal syari‘at. Seandainya di dalam sunnah
Rasulullah terdapat percanggahan dan pertentangan yang hakiki, sudah tentu
suruhan Allah di atas adalah batil. Pasti andaian ini tidak benar.
Hujah keenam
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan
- apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara
- (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai
urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya
maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
[al-Ahzab 33:36]
Allah Azza wa Jalla telah memerintahkan
kita supaya mentaati keputusan hukum yang ditetapkan oleh-Nya dan Rasul-Nya,
iaitu al-Qur’an dan Sunnah, tanpa sebarang ruang untuk kita memilih-milih
ketetapan yang lain. Ini menunjukkan ketetapan-ketetapan yang terkandung
dalam al-Sunnah adalah selari dan searah tanpa adanya percanggahan, kerana
seandainya dalam al-Sunnah terdapat ketetapan yang saling bercanggah,
seperti adanya satu hadis yang menetapkan hukum harus dan ada pula hadis
lain yang menetapkan hukum haram bagi perkara yang sama, sudah tentu firman
Allah di atas menjadi batil.
|