|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
Ketujuh: Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu. [al-Maidah 5:03] Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. [‘‘Ali Imran 3:19] Allah Tabaraka wa Ta‘ala telah menerangkan kesempurnaan agama Islam dan Dia meredhainya. Sangatlah tidak mungkin terdapat pertentangan dan percanggahan dalam sumber-sumber asas agama Islam – yakni al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah – kerana ini tidak lain hanyalah menunjukkan kelemahan Allah sebagai Pembuat Syari‘at. Kami berlindung kepada Allah dari prasangka sedemikian. Kelapan: Demi sesungguhnya aku telah tinggalkan kalian di atas yang terang lagi nyata, bagaikan siang dan malam, tidak menyimpang darinya sesudah aku selain orang yang rosak. Dan sesiapa dari kamu yang hidup (lama) maka dia akan melihat pertentangan yang banyak, maka berpeganglah kalian kepada sunnah aku dan sunnah para Khalifah ar-Rashidun yang mendapat petunjuk, gigitlah ia dengan gigitan geraham dan kamu harus taat sekalipun kepada seorang hamba Habsyi kerana sesungguhnya seorang mukmin adalah seperti unta yang dicucuk hidungnya (dengan tali), ke mana ia dituntun ia akan mengikut.[34] Hadis di atas menunjukkan bahawa risalah Islam yang disampaikan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah jelas lagi nyata umpama perbezaan antara siang dan malam sehingga setiap orang – sekalipun yang masih kanak-kanak – dapat membezakannya. Demikian juga, Rasulullah berpesan, bahawa apabila berhadapan dengan pertentangan dan perselisihan, hendaklah seseorang itu berpegang kepada sunnah beliau dan sunnah para Khalifah al-Rashidun, iaitu Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman ibn Affan dan ‘Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhum. Seandainya dalam risalah yang ditinggalkan Rasulullah terdapat percanggahan, sudah tentu ia menyalahi sabda dan pesanan baginda di atas, malah menjadilah risalah tersebut sesuatu yang samar-samar sehingga sukar dipegangi apabila menghadapi perselisihan. Kesembilan: Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Tiadalah tertinggal apa-apapun yang dapat menghampirkan seseorang ke syurga dan menjauhkannya dari neraka kecuali sungguh ia telah diterangkan kepada kalian.[35] Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah meyempurnakan dakwahnya kepada umat Islam dengan menerangkan setiap sesuatu yang dapat membawa ke syurga dan menjauhkan dari neraka. Tidak mungkin dalam kesempurnaan dakwah Rasulullah terdapat percanggahan sehingga umat menjadi keliru antara yang akan membawa ke syurga atau neraka. Kesepuluh: Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya – Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.[36] Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam juga telah berpesan kepada kita untuk berpegang teguh kepada al-Qur’an dan Sunnahnya. Dua sumber asas ini dapat menyelamatkan seseorang dari kesesatan. Sangatlah tidak mungkin bahawa dalam sunnah-sunnah tersebut terdapat pertentangan antara satu sama lain yang akhirnya menyebabkan umat jatuh ke lembah kesesatan.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
=========================== [34] Sahih: Hadis daripada ‘Irbadh bin Sariyah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Majah, Hakim, al-Thabarani dan lain-lain, dinukil dan dinilai sahih oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Sagheir – no: 6096 dan dipersetujui sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jami’ al-Sagheir – no: 4369. [35] Sanad Sahih: Ringkasan hadis daripada Abi Darda radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, dinukil oleh al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa‘id – no: 13971 dan al-Hindi dalam Kanz al-Ummal – no: 35473. Sanadnya dinilai sahih oleh ‘Ali Hasan al-Halabi al-Athari dalam al-Itmam li Takhrij Ahadith al-Musnad al-Imam – no: 21399 sebagaimana yang beliau sebut dalam bukunya Membedah Akar Bid‘ah, ms 5. [36] Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Malik dalam al-Muwattha’ - no: 1619 (Kitab al-Jami’, Bab Larangan memastikan Takdir). Status dan kajian sanadnya akan penulis perincikan dalam perbincangan Contoh ke-13, insya-Allah.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||