|
BAHAGIAN
PERTAMA
Definisi Hadis Bercanggah.
Hadis Bercanggah ialah ajaran dan perbuatan Rasulullah sallallahu 'alaihi
wasallam yang mengandungi hukum, arahan dan petunjuk yang saling bercanggah,
bertembung, bertentangan dan berlawanan antara satu sama lain. Contohnya
ialah dua hadis, yang pertama mengharamkan satu perkara manakala yang
kedua menghalalkannya, atau dua hadis, yang pertama menganjurkan satu
perbuatan manakala yang kedua memakruhkannya, atau dua hadis, yang pertama
menerangkan perintah Rasulullah melarang satu perbuatan manakala yang
kedua menerangkan bahawa Rasulullah sendiri yang melakukan perbuatan tersebut.
Benarkah
terdapat hadis-hadis Rasulullah yang saling bercanggah ?:
Jumhur ilmuan Islam
berkata [28],
hadis-hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang dikatakan bercanggah
hanyalah merupakan pandangan dan fahaman sementara seseorang itu sahaja,
percanggahan tersebut tidak wujud secara hakiki atau sebenar.
Ibn Qudamah berkata
[29]:
Ketahuilah bahawa percanggahan itu bererti saling berlawanan. Hal ini
tidak boleh terjadi kepada dua dalil syara' kerana firman Allah dan sabda
Nabi tidak (saling) mendusta (antara satu sama lain).[30]
Punca seseorang itu
berpendapat sesuatu hadis adalah bercanggah adalah kerana ketidaktahuannya
terhadap cara-cara menyelaras, menolak dan menghilangkan percanggahan
antara dua hadis. Seperti ketidaktahuannya terhadap status kekuatan isnad
hadis - antara yang sahih dan daif, antara hadis nasikh dan mansukh, kaedah-kaedah
tarjih dan kekeliruan dalam memahami maksud sebenar antara dua hadis.
Dalam ertikata lain, percanggahan antara hadis hanyalah sesuatu yang berbentuk
fiktif, bukan hakiki.
Hadis sahih ialah hadis
yang diriwayatkan oleh para perawi yang bersambungan antara satu sama
lain dengan setiap perawi terdiri dari orang yang adil, jujur, terpercaya
lagi tepat pembawaan hadisnya, manakala hadis daif ialah hadis yang diriwayatkan
oleh para perawi yang menyalahi syarat-syarat hadis sahih di atas. Hadis
Nasikh dan Mansukh ialah hadis terkemudian yang membatalkan hadis yang
wujud pada awalnya. Hadis yang membatalkan disebut nasikh manakala hadis
yang dibatalkan disebut mansukh. Kaedah tarjih pula ialah mengutamakan
salah satu dari dua dalil yang saling bercanggah berdasarkan sesuatu yang
dapat mengunggulkannya agar dalil tersebut dapat diamalkan. Kekeliruan
di dalam memahami maksud sebenar sesuatu hadis boleh terjadi kerana kelemahan
pengetahuan bahasa Arab, tidak mengkaji keseluruhan teks hadis, tidak
mengkaji sebab lahirnya hadis, tidak membanding sesama lain-lain hadis
yang berkaitan dan tidak faham akan seluruh ruh dan tujuan syari'at.
Abu Bakar bin Khuzaimah
[31]pula
berkata: Saya tidak mengetahui adanya hadis-hadis Nabi yang sahih yang
saling bercanggah. Sesiapa yang menemukan hal tersebut - sampaikanlah
kepada saya, saya akan menyelaraskannya.[32]
|