|
Mencari Rahmat Allah Di Sebalik Perbezaan Pendapat
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)
|
||
|
Kandungan
|
||
|
Perbezaan Pendapat Adalah Ujian Allah
إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ باالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا, من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له. ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya. [1] Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ Dia-lah yang telah menciptakan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). [2] Kehidupan ini, sama ada disedari atau tidak, adalah merupakan ujian daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala demi menentukan siapakah yang terbaik amalannya. Ujian tersebut wujud dalam pelbagai bentuk, sebahagiannya kita kenali dan sebahagian lain tidak kita kenali. Antara ujian tersebut ialah bagaimana sikap kita apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat dalam agama. Ujian ini boleh dirujuk kepada firman Allah dalam ayat berikut: وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (١١٨)إِلا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ (١١٩) Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka tidak berselisihan) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menciptakan manusia. [3] Daripada ayat di atas dapat difahami bahawa: · Allah Subhanahu wa Ta‘ala berkuasa untuk menjadikan manusia semuanya bersepakat di atas satu agama, satu pendapat. · Akan tetapi Allah sengaja tidak berbuat demikian, maka kerana itulah manusia sentiasa berbeza pendapat. Dalam ertikata yang lain, menjadi fitrah manusia untuk saling berbeza pendapat antara satu sama lain.
· Demikian merupakan antara sebab Allah Subhanahu wa Ta‘ala mencipta manusia, sekali gus menjadi ujian bagi mereka. Orang yang gagal ujian tersebut dapat dikenali dengan sikapnya yang sentiasa negatif apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat. Orang yang lulus pula, yakni yang diberi rahmat oleh Allah, dapat dikenali dengan sikapnya yang sentiasa positif apabila berhadapan dengan kepelbagaian pendapat. · Berdasarkan ayat di atas juga dapat ditegaskan bahawa usaha sebahagian orang yang cuba menyatukan umat Islam di atas satu pendapat adalah sia-sia kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia dan kehendak Allah. · Sebaliknya usaha sebahagian lain yang cuba membuka umat Islam ke arah bersatu di atas kepelbagaian pendapat, mereka itulah yang berada di atas jalan yang benar, yang akan mendapat rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala, insya-Allah. Apabila saya menyebut “terbuka kepada kepelbagaian pendapat”, ia sebenarnya memerlukan perincian. Ini kerana kepelbagaian pendapat terbahagi kepada dua jenis. · Pertama adalah kepelbagaian yang dibenarkan oleh Islam. · Kedua adalah kepelbagaian yang dilarang oleh Islam. [1] Buku kecil ini asalnya adalah kertas kuliah yang saya susun atas permintaan para pelajar Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Ia telah saya bentangkan pada 1 April 2006 di surau Kolej Kediaman Kelima, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kemudian saya juga telah membentangkan kertas kuliah ini pada 7 April 2006 di Dewan Muktamar 1, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Hasil daripada maklumbalas para hadirin, saya telah melakukan beberapa penambahan dan ubahsuai sehingga akhirnya menjadi buku kecil ini. Segala puji hanya bagi Allah. [2] al-Mulk 67:02. [3] Hud 11:118-119.
|
||
|
Kandungan
|
||
|
|
|
|