Mencari Rahmat Allah Di Sebalik Perbezaan Pendapat

 

Oleh Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)

Kandungan  Kepelbagian Pendapat Yang Dibenarkan  Sebab-sebab berlakunya Kepelbagaian Pendapat 1 Cara mendapat Rahmat Allah 1  Kepelbagaian Pendapat Yang Dilarang Sebab Berlakunya Kepelbagaian Pendapat 2  Cara mendapat Rahmat Allah 2  Antara Persatuan Umat dan Kepelbagaian Pendapat Ini Adalah Ujian Allah

 

 

 

Kategori Kedua

 

Cara Mendapat Rahmat Allah Di Sebalik Kepelbagaian Pendapat Kategori Kedua.

 

Jelas bahawa sebab-sebab yang menghasilkan kepelbagaian pendapat dalam kategori kedua adalah salah. Namun kita tetap perlu berusaha mencari rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam berinteraksi dengannya. Untuk mencari rahmat tersebut, hendaklah kita:

 

Pertama: Berbaik sangka.

Sekalipun sebab-sebab yang saya senaraikan di atas adalah jelas salah, hendaklah kita cuba berbaik sangka kepada orang yang terjebak dalam kepelbagaian kategori kedua ini. Sebabnya, berbaik sangka adalah sesuatu yang memang dituntut oleh Islam dalam perhubungan antara sesama umat. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ (١٢)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;

Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [1]

Berbaik sangka yang saya maksudkan adalah dari beberapa segi:

1.      Mungkin orang yang terjebak dalam kepelbagaian kategori kedua yang dilarang ini benar-benar tidak tahu bahawa dia sedang melakukan satu kesalahan dan selama ini tidak ada orang yang menerangkan kepadanya bahawa ia adalah salah.

2.      Mungkin berlaku salah faham (misunderstanding) atau salah hubungan (miscommunication) sehingga apa yang disandarkan sebagai satu kesalahan di sisi seseorang sebenarnya tidak berasal daripada orang tersebut.

3.      Mungkin orang yang dianggap melakukan kesalahan sebenarnya memiliki hujah yang betul dan ia tidak diketahui oleh pihak yang menganggap ia salah. Maka apa yang pada awalnya dianggap salah sebenarnya adalah betul dan persoalan tersebut sebenarnya duduk dalam kepelbagaian yang dibenarkan (Kategori Pertama) dan bukan kepelbagaian yang dilarang (Kategori Kedua).  

   Maka atas kemungkinan-kemungkinan di atas, apabila berinteraksi dengan orang yang pada zahirnya kelihatan duduk dalam kepelbagaian kategori kedua, janganlah dimulakan dengan sangkaan buruk kepadanya tetapi mulakanlah dengan sangkaan baik terhadapnya.

 

Kedua: Menggariskan format perbincangan.

Perbincangan sahaja tidak akan membuahkan hasil yang bermanfaat jika tidak ditetapkan terlebih dahulu format perbincangan. Oleh itu apabila ingin melakukan perbincangan dalam sesuatu persoalan yang duduk dalam kepelbagaian kategori kedua ini, hendaklah terlebih dahulu menggariskan format perbincangan. Format perbincangan yang dimaksudkan ialah mencari dan bersetuju ke atas sesuatu pendapat yang paling mendekati al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan kefahaman para sahabat dan kaedah-kaedah ilmu. Format ini disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an:

يَ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا (٥٩)

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [2]

 

Ketiga: Berbincang melalui adab Islam.

Lanjutan daripada sikap berbaik sangka, hendaklah kita berbincang dan bertukar pendapat dengan mereka yang pada zahirnya kelihatan duduk dalam katagori kedua ini secara hikmah, lemah lembut dan bijaksana. Sikap seperti ini sememangnya dituntut oleh Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (١٢٥)

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan-mu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [3]

Berikut diterangkan beberapa adab Islam dalam melakukan perbincangan:

·         Bersikap lemah lembut dalam menggunakan perkataan, susunan ayat, nada dan gerak badan (body language). Ini kerana sikap berlemah lembut adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam dalam semua suasana. Pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الأَمْرِ كُلِّهِ.

Sesungguhnya Allah menyukai sikap lemah lembut dalam segala urusan. [4]

·         Bersabar seandainya rakan perbincangan memiliki adab yang kurang baik. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لاَ يُخَالِطُ النَّاسَ وَلاَ يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ.

Seorang mukmin yang bergaul bersama manusia dan bersabar atas sikapnya yang menyakitkan adalah lebih besar ganjarannya daripada seorang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar atas sikapnya yang menyakitkan. [5]

·         Selain bersabar, hendaklah mencontohkan adab perbincangan lebih baik kerana ia memiliki manfaat yang besar di sebaliknya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menasihatkan:

 

وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (٣٤)

    Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [6]

  • Tidak menggelar rakan perbincangan dengan sesuatu yang negatif seperti “Kamu orang Wahabi!”, “Geng anda memang dari kalangan Jamaah Tabligh yang jumud!”, “Tariqat seperti kamu sah sesat!” dan sebagainya. Menggelar dan melabel sesama umat Islam dengan sesuatu yang negatif adalah kesalahan yang besar seperti yang diperingatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا يَسْخَرْ قَومٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلا تَنَابَزُوا بِالألْقَابِ بِئْسَ الاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الإيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (١١)

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kumpulan (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan lelaki yang lain, (kerana) mungkin kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kumpulan dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan perempuan yang lain, (kerana) mungkin kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. [7]

 

Keempat: Menjauhi perdebatan.

Hendaklah dijauhi perdebatan kerana ia hanya akan menyebabkan berlakunya kebencian dan kezaliman antara sesama mukmin. Malah suasana perdebatan akan “memaksa” seseorang itu terus berhujah sekali pun dia sendiri sedar bahawa hujahnya adalah lemah, bahkan salah. Perdebatan hanya dibolehkan jika dapat dipastikan bahawa manfaatnya adalah jauh lebih besar daripada mudaratnya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ.

Saya menjamin satu rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar, satu rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan penipuan sekalipun bergurau dan satu rumah di tempat tertinggi dalam syurga bagi orang yang baik akhlaknya. [8]

Termasuk dalam adab menjauhi perdebatan adalah berwaspada seandainya sesuatu perbincangan yang dimulakan dengan adab Islam akan berubah menjadi satu perdebatan. Oleh itu hendaklah sentiasa prihatin kepada tanda-tanda yang bakal mengubah satu perbincangan kepada perdebatan, seperti:

·         Sikap berlemah lembut mula berubah kepada perkataan yang kesat, bahasa yang kasar, nada yang tinggi dan gerak badan yang mengancam.

·         Format perbincangan berubah daripada ilmiah kepada emosi.

·         Mula timbul gelaran-gelaran yang negatif.

Apabila timbul tanda-tanda di atas atau apa-apa yang seumpama, hendaklah menarik diri daripada perbincangan tersebut dengan kata-kata yang baik, seperti:

Kelihatan perbincangan ini semakin jauh daripada adab-adab Islam. Maka saya berhenti dan menarik diri di sini. Terima kasih kerana sudi bertukar pandangan dengan saya.

Menarik diri bukan bererti mengalah, akan tetapi kerana mencari rahmat Allah di sebalik kepelbagaian pendapat yang sedang di hadapi saat itu. Perhatikan ayat berikut:

وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (٤٦)

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka yang berlaku zalim): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami juga Tuhan kamu adalah Satu; dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri.” [9]

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan cara untuk kita berhadapan dengan kaum Ahli Kitab, iaitu kaum Yahudi dan Nasrani. Allah melarang kita daripada berbahas atau berdebat dengan mereka melainkan dengan cara yang lebih baik. Cara yang lebih baik tersebut ialah perbincangan yang menepati adab-adab Islam. Jika kaum Ahli Kitab bersikap zalim, seperti ingin meneruskan perdebatan, maka kita menarik diri daripada perdebatan tersebut dengan kata-kata yang baik, yang menyedarkan mereka tentang hakikat yang sebenar.

 

Kelima: Bersikap adil dalam menerima hasil perbincangan.

Adil adalah salah satu sikap yang membentuk mukmin yang bertaqwa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (٨)

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [10]

Oleh itu seorang mukmin yang bertaqwa hendaklah bersikap adil sebelum, semasa dan selepas perbincangan. Adil sebelum perbincangan adalah berbaik sangka, adil semasa perbincangan adalah bersikap lemah lembut manakala adil selepas perbincangan adalah:

·        Jika rakan perbincangan mengakui kesalahannya, maka hendaklah bersyukur kepada Allah. Janganlah pula mengejek rakan tersebut atau mengungkit-ungkit kesalahannya yang lama.

Jika rakan perbincangan juga memiliki dalil dan hujah yang betul, hendaklah diakui kesalahan kita sendiri yang pada awalnya telah menganggap persoalan tersebut duduk dalam kepelbagaian yang dilarang (Kategori Kedua). Seterusnya hendaklah kita menerima serta mempraktikkan dalil dan hujah tersebut dan mendudukkannya dalam kepelbagaian yang dibenarkan (Kategori Pertama).

·        Jika rakan perbincangan tetap berdegil dengan kesalahannya, hendaklah dianalisa dua kemungkinan berikut:

1.      Mungkinkah dia berdegil kerana kesilapan kita sendiri yang berbincang dengannya secara keras dan tidak berhikmah? Jika ini adalah faktornya, hendaklah dianalisa diri sendiri dan mengubah cara berbincang pada masa-masa akan datang.

2.      Mungkin dia menerima kesalahannya, akan tetapi sukar baginya untuk mengakui kesalahan tersebut secara serta merta. Jika ini adalah faktornya, maka berilah dia ruang untuk berfikir dan mengubah pendapatnya secara bertahap-tahap.

  • Jika kesalahan yang dilakukan oleh rakan perbincangan telah tersebar luas di kalangan masyarakat, hendaklah dijelaskan kepada masyarakat akan kesalahan tersebut. Walaubagaimanapun penjelasan ini hendaklah dilakukan secara adil dan tanpa menghina rakan tersebut (rujuk semula ayat 11 surah al-Hujerat). Tindakan menghina bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam tetapi juga menutup ruang untuk dia mengakui kesalahannya dan bertaubat pada masa-masa kemudian.

 

Antara Persatuan Umat dan Kepelbagaian Pendapat


[1] Hujurat 49:12.

[2] al-Nisa’ 4:59

[3] al-Nahl 16:125.

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2165.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 4032.

                Catatan tambahan, hadis di atas ditujukan kepada mereka yang memiliki jatidiri yang kuat sehingga mampu membimbing mereka yang memiliki sikap yang buruk ke arah kebaikan. Adapun bagi mereka yang memiliki jatidiri yang rendah, hadis berikut menjadi rujukan:

إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً.

Sesungguhnya perumpamaan teman yang salih dan teman yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi). [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2628]

[6] Fussilat 41:34.

[7] Al-Hujerat 49:11.

[8] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4800.

[9] Al-Ankabut 29:46.

[10] al-Maidah 5:08.

 

 

Kandungan  Kepelbagian Pendapat Yang Dibenarkan  Sebab-sebab berlakunya Kepelbagaian Pendapat 1 Cara mendapat Rahmat Allah 1  Kepelbagaian Pendapat Yang Dilarang Sebab Berlakunya Kepelbagaian Pendapat 2  Cara mendapat Rahmat Allah 2  Antara Persatuan Umat dan Kepelbagaian Pendapat Ini Adalah Ujian Allah