|
Mencari Rahmat Allah Di Sebalik Perbezaan Pendapat
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)
|
||
|
Kandungan
|
||
|
Kategori Pertama:
Kepelbagaian Pendapat Yang Dibenarkan. Islam membenarkan kepelbagaian pendapat apabila berhadapan dengan isu-isu cabang (furu’) selagi mana pokoknya (ushul) berdiri di atas sesuatu yang disepakati. Perkara ini dapat diumpamakan kepada sebuah pokok dimana batangnya hanya satu manakala cabangnya, yakni dahannya, pelbagai bentuk dan panjang. Demikian jugalah dengan kepelbagaian pendapat yang dibenarkan dalam Islam. Ia dibenarkan selagi mana kepelbagaian tersebut terhasil daripada pokok atau ushul yang disepakati. Pokok atau ushul yang dimaksudkan adalah al-Qur’an dan al-Sunnah yang difahami berdasarkan pemahaman para sahabat dan kaedah-kaedah ilmu yang digariskan oleh para ilmuan Islam. Al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja tidak mencukupi kerana sejarah telah membuktikan kewujudan banyak individu atau aliran menyeleweng yang tetap merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, akan tetapi mereka mentakwilkannya ke arah kefahaman yang mereka kehendaki sendiri. Maka perlu ditambah dengan syarat “berdasarkan pemahaman para sahabat” kerana merekalah, para sahabat Rasulullah radhiallahu 'anhum yang paling memahami tujuan, konteks dan cara mempraktikkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Adapun “kaedah-kaedah ilmu”, maka yang dimaksudkan ialah ilmu Ushul al-Tafsir, ilmu Takhrij Hadith, ilmu Ushul al-Fiqh dan sebagainya. Perinciannya adalah seperti berikut: · Ilmu Ushul al-Tafsir antara lain merangkumi bentuk penyusunan ayat, kategori ayat antara Makkiyyah dan Madaniyyah, antara Muhkamat dan Mutasyabihat, Nasikh dan Mansukh dan pelbagai kaedah dalam menafsirkan sesebuah ayat. · Ilmu Takhrij Hadith merujuk kepada kaedah mengambil sesebuah hadis daripada kitabnya yang asal, menelusuri sanad-sanad atau jalan-jalan periwayatannya, menyemak kedudukan para perawinya dari sudut al-Jarh wa al-Ta’dil dan akhirnya menilai darjat hadis tersebut sama ada sahih, hasan, dhaif dan seterusnya. · Ilmu Ushul al-Fiqh ialah ilmu yang menggariskan kaedah-kaedah untuk mengeluarkan hukum daripada nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Selain itu hukum juga boleh dikeluarkan melalui kaedah lain seperti ijma’, qiyas, istihsan, istihlah, qaul shahabah dan sebagainya. |
||
|
Kandungan
|
||
|
|
|
|