|
Mencari Rahmat Allah Di Sebalik Perbezaan Pendapat
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)
|
||
|
Kandungan
|
||
|
Ini Adalah Ujian Yang Sememangnya Hebat.
Kembali kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat 118-119 surah Hud yang dikemukakan pada awal penulisan ini, dapat dikatakan bahawa mencari rahmat Allah di sebalik perbezaan – atau lebih tepat: kepelbagaian pendapat – adalah satu ujian yang amat hebat. Namun seorang muslim yang hebat tidak akan dikalahkan oleh ujian yang hebat. Malah ia menjadikan ujian tersebut sebagai pemangkin untuk menambah kehebatan dirinya, dengan izin Allah. Bak kata pepatah Inggeris: When the going gets tough, the tough gets going! Sebahagian daripada cara-cara yang saya gariskan dalam penulisan ini untuk mencari rahmat Allah di sebalik kepelbagaian pendapat mungkin sukar untuk dipraktikkan. Kesukaran ini dapat dipermudahkan dengan dua cara: 1. Hendaklah sentiasa tekun menuntut ilmu dan menguasai kepelbagaian pendapat di kalangan para ilmuan. Antara musibah yang melanda umat Islam masa kini adalah sikap seseorang yang hanya mencukupkan diri dengan membaca atau mendengar pendapat seorang tokoh atau satu aliran lalu menganggap ia adalah muktamad. Sikap seperti ini perlu diubah kepada mengkaji dan menganalisa pendapat pelbagai tokoh dan aliran, merenungi dalil-dalilnya dan menelusuri kaedah-kaedahnya. Kemudian hendaklah diambil yang terbaik dan ditinggalkan yang tidak baik. Hendaklah juga diinsafi bahawa adakalanya yang terbaik itu bukanlah satu, tetapi mungkin dua atau tiga. Selain itu hendaklah juga disedari bahawa apa yang dianggap terbaik oleh seseorang mungkin dianggap kurang baik oleh orang lain dan begitulah sebaliknya. Dengan sikap seperti ini, akan terhasil satu prinsip yang amat penting dalam berinteraksi dengan ilmu, iaitu ilmu tidak pernah bersifat statik tetapi sentiasa dinamik. Lebih penting, orang yang beristiqamah dengan sikap seperti ini akan memperoleh hidayah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala: وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَنْ يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّهِ لَهُمُ الْبُشْرَى فَبَشِّرْ عِبَادِي (١٧)الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الألْبَابِ (١٨) Oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku, (iaitu mereka) yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. [1]
2. Jika tidak pasti sama ada sesuatu persoalan termasuk dalam kategori kepelbagaian yang dibolehkan atau dilarang, gunakanlah langkah-langkah yang disebut dalam Kategori Kedua, iaitu berbaik sangka, berbincang dengan adab Islam dan menerima hasil perbincangan dengan adil. Setelah itu barulah dimasukkan persoalan tersebut dalam kepelbagaian yang dibolehkan atau dilarang. Semoga dua cara di atas dapat membantu kita untuk sama-sama lulus dalam ujian yang hebat ini dan mendapat rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala di sebalik perbezaan atau kepelbagaian pendapat. Amin. |
||
|
|
||
|
|
|
|