al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Ragam dan Kesilapan : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10

 
 

Keenam: Salah menterjemahan teks Arab.

Antara kelaziman para sarjana orientalis adalah keliru dan tersilap dalam menterjemah teks-teks Arab yang mereka rujuk. Hal ini memang sukar dielakkan kerana teks Arab klasik adalah jauh berbeza dengan teks Arab masa kini. Oleh itu seseorang yang boleh membaca akhbar Arab masa kini tidak semestinya dapat membaca dan menguasai penuh kitab-kitab klasik yang dirujukinya. Malah kita juga dapati orang-orang Arab sendiri mendalami bidang bahasa Arab sehingga ke tahap ijazah atau kedoktoran sebelum dapat menguasai sepenuhnya kitab-kitab Arab klasik. Bernard G. Weiss, dalam pendahuluan bukunya yang berjudul The Search for God’s Law[1] telah menulis: It is the result of years of grappling with difficult Arabic text ......... How can one express in English the ideas of a medieval author who wrote in a very specialized kind of classical Arabic ? Obviously, the lexical repertoire available to me is vastly different from that employed by Amidi.

Justeru sememangnya adalah satu kelaziman berlakunya kesilapan dan kekeliruan terjemahan dan tafsiran teks Arab dalam hasil kajian orientalis terhadap sumber-sumber klasik Islam. Malah kadang-kadang kesilapan mereka adalah terhadap sesuatu perkataan yang amat mudah. Joseph Schacht umpamanya, tidak dapat membezakan antara perkataan sunnah dengan sunat !

Ketika cuba membuktikan bahawa umat di kurun kedua hijrah telah melaksanakan hukum-hukum dan ibadah secara sendiri-sendiri tanpa merujuk kepada sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, Joseph Schacht telah menganalisa kata-kata Ali bin Abi Talib ini:

Solatlah sempena Hari ‘Aid (Hari Raya-P) di masjid 4 rakaat: dua rakaat sunat dan dua rakaat kerana tidak dilakukan di luar masjid [2]……. lalu terus dirumuskan bahawa mendirikan solat dua rakaat sempena Hari Raya adalah satu sunnah kebiasaan umat Islam di Iraq tanpa disandarkan kepada hadis atau riwayat Rasulullah.[3] Padahal yang dimaksudkan oleh Ali dalam kenyataan di atas adalah solat sunat dua rakaat sempena Hari Raya, sama ada Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Aidil ‘Adha. Sunat di sini adalah salah satu dari hukum Islam yang lima: wajib, haram, sunat, makruh dan harus,  dan ia bermaksud solat dua rakaat Hari Raya adalah tidak wajib hukumnya. Ia tidak bermaksud sunnah dalam ertikata percakapan dan perbuatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam atau sunnah dalam ertikata kebiasaan perbuatan sesebuah komuniti.

Tambahan dua rakaat yang dimaksudkan oleh Ali radiallahu-anhu ialah solat sunat mutlak yang biasa dikerjakan oleh para sahabat sejak zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di masjid sebelum atau selepas mereka mendirikan solat sunat Hari Raya di padang. Di kalangan sahabat ada yang mengerjakan sebelum dan selepas, ada yang sebelum sahaja, ada yang selepas sahaja dan ada yang tidak langsung. Pelaksanaan solat ini adalah bebas mengikut kecenderungan masing-masing.[4]

Perkara kedua adalah – tidak perlu timbul sama ada perlaksanaan solat Hari Raya adalah berdasarkan hadis atau tidak, kerana ia sejak dari awal telah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam 2 kali setahun, dan setiapnya disertai ratusan umat lelaki dan perempuan, tua dan muda. Justeru ia adalah satu perkara yang sangat dikenali oleh semua lapisan umat sehingga ke hari ini. Hanya Schacht yang tidak mengetahuinya, lalu dia menuduh ia adalah satu kebiasaan komuniti Iraq sahaja !

Sengaja atau tidak sengaja, kesilapan di atas bersama kesimpulan hujah yang mengikutinya cukup untuk meragukan kita terhadap pelbagai lagi rumusan yang dikemukakan oleh Schacht dan mana-mana rakan seperjuangannya yang lain. Apatah lagi di dalam buku mereka masing-masing, teks Arab yang sebenar tidak dikemukakan, hanya terjemahan yang mereka lakukan sendiri dan kesimpulan dari hasil terjemahan tersebut.  

 

Ketujuh: Menganggap sesesuatu yang tidak diketahui sebagai tidak wujud.



[1]               The Search of God’s Law: Islamic Jurisprudence in The Writings of Sayf al-Din al-Amidi, pg xix (bhg muqaddimah).

[2]                 Muhammad bin Idris as-Shafi’i – al-Umm, jld 7, ms 167.

[3]               The Origins of Muhammadan Jurisprudence, pg 73.

[4]               Lihat al-Umm, jld 1, ms 234 dan seterusnya, Bab Solat Sebelum Solat Hari Raya dan Sesudahnya.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian