al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Ragam dan Kesilapan : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10

 
 

Pertama: Salah rujukan kitab.

Kedua: Penyelidikan sumber rujukan yang tidak menyeluruh.

Analisa berikut akan menyentuh dua ragam orientalis sekaligus, pertama adalah salah rujukan kitab dan kedua adalah penyelidikan sumber rujukan yang tidak menyeluruh.

Ignaz Goldziher dalam bukunya Muslim Studies telah meragui sama ada Imam Malik bin Anas (179H) telah benar-benar menulis secara lengkap kitab al-Muwattha’ sebelum kematiannya kerana menurut analisa beliau, beberapa edisi awal kitab tersebut telah menunjukkan perbezaan yang ketara antara satu sama lain. Beliau menulis: Considering the accounts available about the different versions of the Muwattha’ and on the other hand comparing the two versions, the full text of which are stil extant, the belief that Malik b. Anas made a fixed text, whether orally or by munawala (penyampaian secara lisan-P) the object of transmission, is severely shaken. In that case two versions of the same book could not really be so completely different.[1]

Hasil penemuan Goldziher di atas tidaklah memeranjatkan kerana beliau telah membanding antara dua kitab yang saling berlainan, atau lebih tepat – salah rujukan kitab. Bagi merumuskan hujah di atas, Goldziher telah menganalisa dan membanding antara 2 edisi Muwattha’, iaitu antara edisi Muwattha’ Imam Malik salinan Yahya bin Yahya al-Masmudi (234H) dengan Muwattha’ Imam Malik salinan Muhammad al-Hasan as-Shaibani (189H).[2]

Yahya bin Yahya dan Muhamad as-Shaibani adalah dua orang anak murid Imam Malik yang telah mempelajari dan menyalin kitab al-Muwattha’ Imam Malik. Naskah salinan Yahya bin Yahya kekal sehingga hari ini manakala naskah as-Shaibani telah mengalami beberapa tambahan. Ini adalah kerana as-Shaibani, selepas beliau duduk belajar bersama Imam Malik selama 3 tahun, telah berhijrah ke Kufah untuk belajar bersama Imam Abu Hanifah (150H) pula. Dalam penghijrahannya itu dan ketika duduk di Kufah, beliau telah menemui beberapa lagi hadis-hadis Rasulullah, kata-kata sahabat dan hujah tabiin lalu turut dicatitnya dalam naskah yang asalnya mengandungi salinan Muwattha’ Imam Malik. Atas dasar tambahan-tambahan ini, kitab as-Shaibani tersebut tidak lagi dikenali di kalangan ilmuan Islam sebagai Muwattha’ Imam Malik tetapi sebagai Muwattha’ as-Shaibani. Kitab ini juga sering dijadikan rujukan oleh ilmuan Islam bagi mengkaji hadis-hadis yang berasal dari Kufah dan mengenal hujah-hujah Imam Abu Hanifah, jauh sebagai mengenal hujah-hujah Imam Malik.

Ignaz Goldziher sebenarnya tahu bahawa terdapat 15 anak murid Imam Malik yang menyalin dan menyimpan naskah Muwattha’ yang asal[3], tolak as-Shaibani – maka tinggal 14. Dari 14 salinan, 8 masih wujud sehingga masa kini, sama ada sebahagian atau sepenuhnya, sama ada dalam bentuk manuskript atau bercetak.[4] Kenapakah Goldziher hanya membanding dengan edisi as-Shaibani lalu terburu-buru membuat rumusan tanpa terlebih dahulu membanding dengan edisi lain ? Lebih dari itu Goldziher sendiri mengenal baik akan jalan hidup as-Shaibani yang dipenuhi dengan aktiviti penghijrahan ilmiah, maka kenapa tidak diketahui pula bahawa as-Shaibani sedia mencatit pelbagai tambahan dalam naskah asal Muwattha’ Imam Malik yang disalinnya sehingga akhirnya menjadilah ia satu kitab yang berasingan ?

Demikian dua ragam kajian yang sangat masyhur di kalangan sarjana hadis orientalis, iaitu [1] kitab yang dijadikan perbandingan adalah kitab yang salah dan [2] rumusan dilakukan tanpa merujuk kepada pelbagai kitab-kitab lain yang sedia ada, yakni penyelidikan sumber rujukan yang tidak menyeluruh.

 

Ketiga: Penyelidikan yang tidak menyeluruh terhadap sesebuah kitab.



[1]               Muslim Studies, vol 2, pg 204-205. Teks yang digaris adalah dari penulis sendiri bagi menarik perhatian pembaca.

[2]               Muslim Studies, vol 2, pg 207-209.

[3]               Muslim Studies, vol 2, pg 205, fn 4.

[4]               Lihat kajian Yasin Dutton – The Origins of Islamic Law, pg 22 dan seterusnya. Dalam buku ini Dutton telah menjawab perlbagai dakwaan orientalis terhadap kitab Muwattha’  Malik, penjelasan penulis di atas adalah ringkasan dari salah satu tanggapan beliau dalam buku tersebut.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian