al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Ragam dan Kesilapan : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10

 
 

Kesepuluh: Menganggap para tokoh hadis leka dan lalai dari menyemak dan menapis hadis.

Ragam ini adalah lebih berupa satu taktik dari kaedah. Para sarjana orientalis cenderung membincang dan menghurai isnad-isnad hadis dengan satu cara seolah-olah ia dipenuhi kepincangan, kekacauan, kekeliruan dan kecelaruan. Dengan pengutaraan sifat isnad sebegini, para pembaca yang tidak mendalami ilmu hadis akan mudah terpengaruh dan akhirnya yakin bahawa kaedah semakan isnad tidak sedikitpun dapat menjamin kesahihan hadis.

Contohnya adalah hujah berikut dari Juynboll ketika beliau cuba menyemak sebuah hadis berkenaan kedudukan Qadi: Most of the various readings of this slogan have the successor Sa’id bin Abi Sa’id al-Maqburi as a common link in the isnad. This al-Maqburi, the son of a slave, is one of a category of transmitters belonging to the successors about whom there is much difference of opinion. In his tarjama in the Tadhib (iv, pp.38ff) it says that there are fourteen (!) transmitters of that name. I venture the theory that, when isnads were evaluated in which the name of the transmitters such as this appeared, the rijal experts just could not figure out what to think.[1]

Saya telah menyemak kitab at-Tahzib at-Tahzib [2] susunan Ibnu Hajar al-Asqalani (852H), dan saya temui lima perawi yang bernama Sa’id bin Abi Sa’id, iaitu:

[1] Sa’id bin Abi Sa’id al-Ansari al-Madini (jld 4, ms 33).

[2] Sa’id bin Abi Sa’id az-Zubaidi (jld 4, ms 33).

[3] Sa’id bin Abi Sa’id al-Maqburi al-Madini (jld 4, ms 34).

[4] Sa’id bin Abi Sa’id al-Beiruti (jld 4, ms 35).

[5] Sa’id bin Abi Sa’id al-Beiruti as-Sahali (jld 1, ms 236).

Dari 5 perawi yang bernama Sa’id bin Sa’id di atas, jelas dan mudah dapat dibezakan antara satu sama lain, yakni dengan menyemak nama penuh, nama gelaran dan sandaran nasab keluarga.

Dan jika sekalipun yang disemak hanyalah perawi yang bernama Sa’id sahaja, perbezaan dilakukan dengan menyemak:

[1] Generasi manakah nama “Sa’id” muncul dalam isnad, adakah generasi sahabat, tabiin, tabiin muda atau selepas tabiin. Setelah dikenal pasti, maka anggaran tarikh lahir dan meninggal dapat dilakukan.

[2] Mengesan jalan isnad di mana nama Sa’id muncul, sama ada dalam isnad yang umumnya terdiri dari para perawi Kufah, Basrah, Madinah dan sebagainya. Dengan ini dapat diketahui di mana seseorang “Sa’id” bermastautin atau belajar hadis.

[3] Mengkaji biografi perawi yang berada sebelum dan selepas nama “Sa’id” tersebut, dan perbandingan dilakukan dengan lain-lain “Sa’id.” Dengan ini dapat dibezakan antara “Sa’id” yang sama dan “Sa’id” yang lain. Juga dapat diketahui siapa guru “Sa’id” dan siapa anak murid “Sa’id.”

Dengan langkah-langkah di atas, “Sa’id” yang asalnya tadi terdiri daripada beberapa belas orang dapat dikurangkan menjadi seorang sahaja. Penulis pasti Juynboll sedia mengetahui kaedah semakan perawi di atas, hanya beliau pura-pura tidak tahu dan buat-buat keliru. Ini terbukti bahawa dalam bukunya yang sama, mukasurat 146, beliau telah menerangkan bahawa pelbagai “Sa’id” tersebut telahpun dibincangkan oleh Khatib al-Baghdadi (463H) dalam kitabnya berjudul al-Muttafiq wa ‘Imuftariq.

Lebih dari itu, jika benar terdapat 14 orang bernama Sa’id bin Abi Sa’id al-Maqburi yang bakal mengelirukan setiap penyemak isnad, maka bagaimanakah Juynboll sedia mengetahui bahawa beliau adalah [1] bekas hamba dari [2] generasi tabiin yang [3] berasal dari Madinah[3] dan [4] meninggal dunia pada tahun 117 atau 123 atau 126
Hijrah ? [4]

Kekeliruan yang cuba diungkit oleh Juynboll terhadap perawi bernama Sa’id dalam bukunya di atas jelas menunjukkan niat buruknya kerana di pelbagai tempat lain nampaknya Juynboll sedia mengetahui dan membezakan antara beberapa “Sa’id” yang sedia ada. Bagi para pembaca yang tidak prihatin akan nama-nama perawi dan tidak mendalami ilmu yang berkaitan dengannya, tipu helah Juynboll ini dan yang seumpama oleh lain-lain sarjana orientalis dalam buku mereka masing-masing pasti akan dapat memberikan keyakinan bahawa kaedah semakan isnad adalah satu kaedah yang sedikitpun tidak dapat menapis dan mensahihkan hadis. Dan sememanglah itu tujuan para sarjana hadis orientalis, target pembaca mereka adalah dari kalangan mereka yang kurang pakar dalam bidang hadis.

Demikian 10 ragam, pola kajian dan jenis kesilapan mendasar yang sering diguna-pakai dan berlaku dalam buku-buku yang dihasilkan oleh para sarjana hadis orientalis. Dari pola kajian dan kesilapan mereka ini, sangatlah sukar untuk kita terima dan mengiktiraf bahawa kononnya para sarjana orientalis ini telah melakukan kajian, semakan dan analisa yang sangat ilmiah, terperinci dan mendalam. Malah yang benar adalah, kajian mereka bersifat sangat tidak lengkap, tidak ilmiah dan tidak terperinci sehingga tidak memungkinkan sesiapa jua untuk memutlakkan sebarang kesimpulan semata-mata dengan merujuk kepada hasil tulisan mereka. Sangatlah benar sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang telah dikemukakan sebelum ini:

Janganlah bertanya kepada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) berkenaan apa-apa kerana sesungguhnya mereka tidak akan dapat memberi petunjuk kepada kamu apabila mereka sendiri dalam kesesatan. Jika kamu menerima dari mereka sesuatu, sama ada kamu akan mempercayai apa yang batil atau menolak apa yang hak.

 



[1]               Muslim Tradition, pg 81.

[2]          Yang dirujuk oleh Juynboll adalah edisi Hyderabad, 1325-1327H dalam bentuk 12 jilid manakala yang penulis rujuk adalah edisi Dar el-Fikr, Beirut 1404H dalam bentuk 14 jilid.

[3]               Lihat bukunya yang sama Muslim Tradition, pg 43.

[4]               Lihat bukunya yang sama Muslim Tradition, pg 82.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian