Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian III   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8

8 Penerbangan Antara Zon yang Berbeza:
Bilakah Seharusnya Seseorang itu Berhari Raya ?

Soalan ini paling kerap timbul apabila seseorang itu mula berpuasa di satu benua, kemudian akan mengakhirinya di satu benua yang lain di mana antara dua benua atau lokasi tersebut, tarikh permulaan 1 Ramadhan serta tarikh permulaan 1 Syawal yang saling berbeza. Perbezaan ini akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan sambutan Aidil Fitri samada sehari-dua lebih awal atau sehari-dua lebih lambat. Maka dalam suasana sebegini adakah seseorang itu terus mencukupkan bilangan puasanya sendiri atau turut Berhari raya di lokasi kehadirannya ?

Sebenarnya perbezaan penentuan tarikh seperti yang diumpamakan di atas atau lebih tepat, perbezaan penentuan saksian anak bulan baru adalah sememangnya satu Sunnatullah yang sedia diiktiraf oleh syari'at Islam. Sejak dini lagi Allah Azza waJalla telahpun menerangkan susunan alam sebegini dengan firmanNya:

Ia (Allah) menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahNya, - tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah, Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni. [Maksud surah az-Zumar, 39 - 05]

Justeru persoalan di atas bukanlah sesuatu yang asing bagi Islam, tetapi ia adalah sesuatu yang sememangnya sudah sedia termaktub dalam ajaran agama yang lengkap ini. Persoalan di atas jelas terjawab dengan riwayat hadith sahih berikut ini. Kajilah ia:

Kuraib menerangkan bahawa Ummu Fadl binti Harith radiallahu-anha telah menghantar aku kepada Muawiyah di Syam (Syria) atas sesuatu urusan. Ketika itu aku (Kuraib) masih berada di negeri Syam apabila bulan Ramadhan bermula dan aku melihat anak bulan Ramadhan pada malam Jumaat. Aku kemudian kembali ke Madinah di penghujung bulan (lalu bertemu dengan Abdullah ibnu Abbas).

Kemudian Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu bertanya kepada aku: Bilakah kamu melihat anak bulan Ramadhan ? Aku menjawab: Kami melihatnya pada malam hari Jumaat. Ibnu Abbas bertanya lagi: Adakah kamu sendiri melihatnya ? Aku menjawab: Ya ! Dan orang ramai juga melihatnya dan merekapun memulakan puasa dan begitu juga Muawiyah.

Ibnu Abbas berkata: Tetapi kami (di Madinah) melihatnya pada malam hari Sabtu, oleh itu kami akan terus berpuasa sehingga 30 hari atau sehingga kami melihat anak bulan yang baru. Aku bertanya kepada Ibnu Abbas: Tidakkah persaksian anak bulan oleh Muawiyah memadai bagi kamu ?  Ibnu Abbas berkata: Tidak, sebeginilah yang diperintahkan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam kepada kami.[1]

Hadith di atas menunjukkan bahawa terdapat perbezaan hari persaksian anak bulan antara negeri Syam dan Kota Madinah. Perbezaan ini menyebabkan umat Islam di negeri Syam memulakan 1 Ramadhan mereka pada hari Sabtu manakala umat Islam di Kota Madinah memulakan 1 Ramadhan mereka pada hari Ahad. Apabila ditanya kepada Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu, seorang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang terkenal lagi berilmu, adakah patut seseorang itu mendasarkan kiraan hari kepada persaksian anak bulan di negeri Syam, beliau menafikannya dengan mengaitkan penafian tersebut kepada ajaran Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Justeru Ibnu Abbas tetap menyarankan bahawa umat Islam di Madinah akan meraikan 1 Syawal berdasarkan kiraan 30 hari Ramadhan dari awal persaksian anak bulan di Madinah atau apabila ternampak anak bulan Syawal terlebih awal dari itu, juga di Madinah. Persaksian anak bulan di Syam tidak boleh terima sebagai penentu kiraan bulan Ramadhan mahupun penentuan 1 Syawal di Madinah.

Hadith di atas dijadikan rujukan oleh para ilmuan bahawa seseorang itu hendaklah menjadikan persaksian anak bulan di sesebuah negeri atau daerah yang dia sedang hadir ketika itu sebagai penentu hari bermulanya ibadah puasanya. Dari hadith di atas juga para ilmuan menukilkan kefahaman bahawa seseorang itu seharusnya menjadikan persaksian anak bulan di sesebuah negeri atau daerah yang dia sedang hadir ketika itu sebagai penentu bermulanya 1 Syawal dan juga sebagai sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan lain-lain hari-hari keagamaan yang didasarkan kepada persaksian anak bulan.[2] Dari hadith di atas juga digali kefahaman bahawa seseorang itu harus menyambut Hari Raya mengikut persaksian anak bulan di sesebuah negeri atau daerah yang dia sedang hadir ketika itu walaupun pada awalnya dia telah memulai 1 Ramadhannya di lokasi atau daerah yang berlainan waktu persaksian anak bulan.

Justeru itu seseorang yang memulakan 1 Ramadhannya di New York kemudian kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya, maka harus bagi dia mengikuti tarikh penentuan Hari Raya yang ditetapkan oleh pihak-pihak berwajib di Kuala Lumpur. Demikian juga seseorang yang memulakan 1 Ramadhannya di Kota Kinabalu kemudian bermusafir ke London untuk menyambut Hari Raya, maka dia harus mengikuti tarikh penentuan Hari Raya yang ditetapkan oleh pihak-pihak berwajib di London.

Persoalan kedua yang akan timbul apabila seseorang bermusafir dengan mengikut kiraan 1 Ramadhan dan 1 Syawal berdasarkan lokasi kehadirannya ialah jumlah bilangan hari dia berpuasa. Suasana medium penerbangan masa kini yang sebegitu pantas membolehkan seseorang itu melintasi beberapa zon masa dan zon hari dalam satu penebangan. Justeru itu tidak asing umat masa kini yang sering musafir dalam jarak jauh sebegini menghadapi jumlah kiraan hari-hari puasa mereka yang saling berbeza antara 1 Ramadhan di lokasi awal dan 1 Syawal di lokasi terakhir. Ini menyebabkan seseorang itu akan berpuasa dengan jumlah hari yang berbeza antara 27 atau 28 atau 29 atau 30 atau 31 atau 32 hari. Maka bagaimanakah seharusnya seseorang itu menelusuri kemusykilan ini ? Persoalan di atas membuahkan dua pendapat di kalangan ahli-ahli fiqh. Penjelasan serta dalil-dalil bagi kedua-dua pendapat ini adalah seperti berikut:

Pendapat 1

Pendapat ini menyatakan bahawa seseorang yang memulai 1 Ramadhan di lokasi lain dan kemudian akan menyambut 1 Syawal di lokasi lain pula harus mengikut ketetapan tarikh setiap lokasi yang dihadirinya itu dan dia tidak tertakluk kepada berapakah jumlah hari-hari yang dia telah berpuasa. Ini adalah kerana permulaan 1 Ramadhan dan permulaan 1 Syawal adalah bergantung kepada persaksian anak bulan tidak kira di mana seseorang itu menyaksikannya atau berapa hari seseorang itu telah berpuasa. Pendapat ini didasarkan kepada hujah bahawa permulaan dan pengakhiran ibadah puasa itu adalah dari anak bulan ke anak bulan dan ia tidak dipengaruhi oleh jumlah bilangan hari puasa. Dalilnya:

Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Bermulalah puasa apabila kamu nampak anak bulan (Ramadhan) dan berhentilah hari-hari puasa kamu apabila kamu nampak anak bulan (Syawal) dan jikalau langit sangat mendung maka kiralah bilangan 30 hari bulan Sya'ban (bagi menentukan permulaan Ramadhan-P).[3]

Oleh itu seseorang yang memulai 1 Ramadhannya di Los Angeles kemudian berada di Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya akan hanya berpuasa selama 27 atau 28 hari manakala seseorang yang memulai 1 Ramadhan di Paris kemudian berada di Kuala Lumpur untuk sambutan Hari Raya akan berpuasa selama 31 atau 32 hari. Jumlah bilangan hari-hari puasa di atas tidak bercanggah dengan kehendak syari'at Islam kerana ia dimulai dan diakhiri berdasarkan persaksian anak bulan.

Pendapat 2

Pendapat ini menyatakan bahawa seseorang yang memulai 1 Ramadhan di lokasi lain dan kemudian akan menyambut 1 Syawal di lokasi lain pula harus mengikut ketetapan tarikh setiap lokasi yang dihadirinya itu tetapi jumlah bilangan hari-hari puasanya tidak boleh kurang dari 29 hari atau tidak boleh lebih dari 30 hari. Ini didasarkan kepada hujah bahawa bulan-bulan Islam, dalam sudut ini bulan Ramadhan, adalah berjumlah samada 29 atau 30 hari, oleh itu seseorang itu hendaklah berpuasa samada 29 atau 30 hari juga, tidak kurang dan tidak lebih. Dalilnya adalah hadith penerangan Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu:

Di satu ketika Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mengisyaratkan dengan kesemua 10 jari-jari tangannya tiga kali seraya bersabda: Satu bulan itu adalah begini, begini, begini; menandakan 30 hari. Kemudian beliau mengisyaratkan 10 jari-jarinya dua kali dan diikuti isyarat 9 jari sekali lalu bersabda: Ia juga boleh jadi sebegini, sebegini, sebegini; menandakan 29 hari.[4] Selain itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah menyatakan bahawa jumlah maksimum bilangan hari-hari puasa Ramadhan adalah 30, iaitu dalam hadith berikut: Apabila bulan Ramadhan menemui kamu maka berpuasalah 30 hari kecuali jikalau kamu nampak anak bulan baru (Syawal) sebelum itu.[5]

Oleh itu apabila seseorang itu tiba ke suatu lokasi di mana tarikh sambutan Hari Rayanya adalah esok padahal dia baru sahaja berpuasa 27 atau 28 hari, maka dia seharusnya turut mengikuti sambutan Hari Raya di lokasi tersebut dan kemudian mengqadha 2 hari yang tertinggal supaya dicukupkan kepada jumlah 29 atau 30 hari. Sebaliknya apabila seseorang itu tiba ke suatu lokasi di mana tarikh penentuan Hari Rayanya adalah dalam masa sehari dua lagi padahal dia sudahpun mencukupkan jumlah bilangan 30 hari puasa maka seharusnya dia menunggu kedatangan Hari Raya tersebut dengan tidak berpuasa.

Antara dua pendapat ini penulis lebih mencenderongi pendapat kedua atas dasar pilihan yang lebih selamat. Tambahan lagi dalam dekad-dekad yang akan datang medium pengangkutan akan menjadi lebih pantas sehingga membolehkan seseorang itu melepasi beberapa zon hari dalam masa yang pendek. Pengangkutan moden seperti ini akan menyebabkan orang yang selalu bermusafir menghadapi jumlah bilangan hari puasa sebanyak 35 hari atau mungkin hanya 25 hari. Oleh itu adalah lebih tepat jikalau pendapat kedua menjadi pilihan, samada bagi zaman yang akan datang mahupun di masa kini.

Kesimpulan

1.      Seseorang itu seharusnya memulai 1 Ramadhan dan 1 Syawalnya berdasarkan kepada persaksian anak bulan atau ketetapan tarikh oleh pihak-pihak berwajib di lokasi kehadirannya ketika itu.

2.      Jumlah hari-hari puasa oleh seseorang yang bermusafir dari satu lokasi ke lokasi yang lain terbuka kepada dua pilihan; [1] berpuasa mengikut ketetapan antara lokasi tanpa mengira jumlah hari atau [2] berpuasa mengikut jumlah kiraan 29 atau 30 hari dengan diubahsuai kepada perbezaan ketetapan tarikh antara berlainan lokasi.


 

[1]               Maksud atsar sahabat dari Sahih Muslim - no: 1087.

[2]               Dalam hal ini adalah perbincangan lain yang lebih luas, dikenali sebagai ikhtilaf al-Matali' .  Dijemput menelaah kitab-kitab syarh serta fiqh, antara lain - Majma al-Fatawa Ibnu Taimiyah, 5/111, 25/107 ; Fath-ul-Bari al-Asqalani, 4/147-148 ; Nail-ul-Authar asy-Shaukani, 4/268 ; Fiqh-us-Sunnah Sayid Sabiq, 3/112 dan lain-lain.

[3]               Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu’ Lu’ wal Marjan – no: 0656.

[4]               Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu’ Lu’ wal Marjan – no: 0654.

[5]               Maksud hadith dari Adi ibnu Abi Hatim radiallahu-anhu, riwayat Imam Ahmad dan at-Tabarani, dinilai oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami dalam Majma az-Zawaaid, 3/146 sebagai hadith daif ; tetapi diperkuatkan kedudukannya oleh Shaikh Nasiiruddin Albani dalam Irwaa-ul-Ghaleel - no: 901 atas dasar banyaknya jalur-jalur periwayatan serta sokongan-sokongan dari hadith-hadith lain yang lebih sahih.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan