Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian III   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8

3 Bagaimanakah Kiraan Waktu Puasa bagi Negara-negara Kutub ?

Berpuasa di negara-negara yang berhampiran dengan kutub di mana waktu Fajarnya bermula kira-kira pukul 03.00 pagi manakala waktu Maghribnya pula kira-kira 09.00 malam, jelas adalah sukar lagi memberatkan bagi fizikal dan mental. Situasi ini bertambah rumit apabila sesetengah lokasi yang berada tepat di Kutub Utara mahupun Kutub Selatan yang mengalami waktu siang sehingga berbulan-bulan lamanya dan kemudian diikuti pula dengan suasana waktu malam yang juga berbulan-bulan lamanya. Maka dari dua suasana di atas, bagaimanakah seorang Muslim patut berpuasa atau bagaimanakah harus dia menentukan waktu puasanya ?

Persoalan di atas sememangnya telah menjemput para ahli fiqh sepanjang zaman kepada diskusi serta pengkajian yang amat mendalam. Dalam menghadapi persoalan ini, para ahli fiqh mempunyai beberapa pendapat, antaranya ialah:

1.      Tetap berpuasa mengikut kiraan waktu asal di lokasinya.[1]

2.      Tetap berpuasa mengikut kiraan waktu asal di lokasinya. Akan tetapi jikalau waktu tersebut terlalu panjang (musim panas - summer) sehingga memberatkan atau memberi kesan negatif kepada kesihatan atau dijangkakan secara pasti ia akan memudaratkan kesihatan, maka dia tidak perlu berpuasa tetapi wajib diqada semula pada masa lain apabila musim telah berubah sehingga membolehkan tempoh perbezaan waktu yang sederhana antara Fajar dan Maghrib (musim luruh atau musim bunga).[2]

3.      Berpuasa dengan merujuk kepada kiraan waktu bandar Mekah atau Madinah, tempat turunnya wahyu serta di mana perbezaan antara waktu siang-malamnya adalah sederhana.[3]

Apabila seseorang itu berada di suatu lokasi yang tidak mempunyai waktu Fajar dan waktu Maghrib seperti di daerah-daerah Kutub Utara dan Selatan, maka para ahli fiqh mencadangkan:

1.      Berpuasa dengan merujuk kepada waktu Fajar dan Maghrib mana-mana lokasi atau pusat komuniti Islam terdekat yang mempunyai peredaran siang dan malam yang jelas, di mana telah tersedia kiraan-kiraan waktu solat.[4]

2.      Jikalau tiada lokasi terdekat sebagaimana yang dimaksudkan di atas maka hendaklah dibuat kiraan waktu solat mengikut garislintang 60 darjah utara atau selatan dengan merujuk kepada jadual Almanac atau alat-alat kiraan elektronik.[5]

3.      Merujuk kepada kiraan waktu-waktu solat bandar Mekah atau Madinah, tempat turunnya wahyu.[6]

Antara pendapat-pendapat di atas, boleh diambil mana satu yang diyakini dan dicenderongi kerana setiapnya adalah merupakan ijtihad serta nukilan pandangan dari orang-orang yang sememangnya ahli lagi pakar dalam bidang hukum-hukum agama. Kita sebagai orang awam boleh merujuk dan membanding antara hujah-hujah mereka kemudian mengambil yang dirasakan terbaik. Faktor terpenting yang perlu dijadikan garis ukuran ialah kebolehan serta kemampuan diri masing-masing untuk melaksanakan ibadah puasa tanpa memudarat kesihatan diri sendiri atau sesiapa lain dibawah amanah dan tanggungan. Islam sebagai agama yang syumul lagi sempurna tidak memaksa umatnya melakukan ibadah sehingga memudaratkan diri sendiri atau sehingga mengarah kepada apa-apa kesan negatif. Justeru kita melihat Allah Subhanahu waTa'ala mengakhiri ayat-ayat perintah puasa dalam al-Qur'an, surah al-Baqarah 02, ayat 183-185 dengan penegasan: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Penegasan ini walaupun terletak di akhir ayat-ayat pensyari'atan puasa namun ia adalah prinsip asas ibadah puasa itu sendiri.[7]

Selain itu Allah Azza waJalla juga menegaskan: Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan sudah payah dalam perkara ugama. (Maksud Surah al-Hajj 22 - 78). Bersandarkan kepada ayat-ayat di atas, Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie menrumuskan: Salah satu dari dua pendapat ini boleh diambil mana yang mudah bagi mereka (umat Islam negara kutub). Kedua-dua pendapat itu adalah merupakan ijtihad, sedang taisir (mengambil mana yang mudah antara dua pendapat) adalah suatu prinsip yang ditetapkan oleh syara' .[8] Yang dimaksudkan sebagai mengambil yang mudah ialah memilih ketetapan yang selari dengan daya-mampu diri masing-masing dalam usaha melaksanakan ibadah puasa dan bukannya meremeh atau melecehkan perintah agama.

Kesimpulan

1.      Berbagai kaedah telah digariskan oleh para fuqaha untuk membolehkan umat Islam yang tinggal hampir dengan kawasan Kutub Utara dan Selatan melaksanakan ibadah puasa mereka.

2.      Faktor utama yang menjadi kayu pengukur antara beberapa pilihan yang sedia ada adalah kesihatan diri sendiri serta amanah dan tanggung-jawab yang dipegang oleh diri masing-masing.


 

[1]               Shaikh Muhammad bin Salih al-Othaimeen - Fatawa on Fasting, Zakat and Traweeh, pg 52-53.

[2]               Shaikh Hasanayn Muhammad Makhluf - Fatawa Shariyya' wa Buhuth Islamiyya, 1/271-273; Nuh Ha Mim Keller - Reliance of The Traveller,  w-19.1

[3]               Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 3/238; Prof.Dr.Hasbi as-Shiddieqie - Pedoman Solat, ms 47.

[4]               Shaikh Mahmud Saltut - al-Fatawa, 124-125;  The Oxford Encyclopedia of The Modern Islamic World, 4/9; Ensiklopidi Hukum Islam, 5/1550.

[5]               Prof.Dr.Hamka - Membahas Soal-soal Agama, ms 347.

[6]               Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 3/238; Prof.Dr.Hasbi as-Shiddieqie - Pedoman Solat, ms 47.

[7]               Lihat penerangan Imam as-Suyuti - Tafsir Jalalain, 1/98.

[8]               Prof.Dr.Hasbi as-Shiddieqie - Pedoman Solat, ms 47.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan