Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian 1     Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9

4 Berwudhu' Berulang-ulang 3 Kali atau Kurang Dari Itu.

Persoalan ini dirasakan perlu dihuraikan kerana adakalanya berwudhu' di ketika musafir dilakukan dalam suasana air yang terhad ataupun bagi mengelakkan berlebihan air yang terjatuh ke lantai bilik air pesawat terbang hingga mungkin menyebabkan sesuatu faktor teknikal yang tidak diingini. Sebenarnya jikalau ditinjau keseluruhan riwayat-riwayat yang ada berkenaan tata-cara berwudhu' Nabi sallallahu-alaihi-wasallam, kita akan dapati beliau selalunya mengulangi pembasuhan sebanyak 3 kali tetapi ada juga ketika beliau hanya mengulang-basuh sebanyak dua kali dan ada juga hanya sekali. Tiga hadith berikut menerangkan:

[01] Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu: Bahawasanya Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam berwudhu' sekali-sekali. [1]

[02] Abdullah ibnu Zaid radiallahu-anhu: Sesungguhnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam berwudhu' dua kali dua kali. [2]

[03] Abdullah bin Amr bin Ash radiallahu-anhu: Bahawasanya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam berwudhu' tiga kali tiga kali. [3]

Rujukan kepada ketiga-tiga hadith di atas menunjukkan bahawa mengulang-basuh anggota wudhu' sebanyak 3 kali bukanlah satu syarat wajib. Malah yang dapat dirumus adalah bahawa membasuh dengan hanya sekali sudah mencukupi. Imam an-Nawawi telah berkata: Para ulama semua sepakat bahawa yang wajib dalam membasuh anggota wudhu' hanya sekali sahaja.[4] Asal sahaja pembasuhan yang pertama itu dapat meratai seluruh anggota wudhu' yang dibasuh maka itu adalah memadai sebagai syarat sah wudhu'. Adapun perbuatan melebihkan pembasuhan itu kepada lebih dari sekali, ianya bergantung kepada jumlah air yang dapat diceduk oleh seseorang dan sejauh mana air itu dapat dimaksimakan penggunaannya dalam membersihkan satu-satu anggota wudhu'.

Dr. Abu Ameenah Bilal Philips menerangkan: Bahagian-bahagian anggota wudhu' perlu dibasuh samada sekali atau dua kali atau tiga kali. Walaubagaimanapun tiga kali adalah bilangan maksima melainkan seseorang itu mendapati anggota wudhu'nya itu masih kering (atau tidak bersih).[5]

 Prof. Hasbi as-Shiddieqie juga telah menganalisa: Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mengulang-ulang cedokan air adalah untuk menegaskan bahawa kita tidak semestinya  harus meratai air dengan cedukan yang pertama sahaja. Jika sudah cukup rata dengan cedukan yang pertama maka ia adalah memadai. Jikalau tidak, kita ceduk lagi dan jikalau tidak cukup cedukan kedua kita ceduk sekali lagi. Kesimpulannya ialah seharusnya tiga kali cedukan itu mencukupi bagi meratai seluruh anggota-anggota yang dibasuh. Tegasnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melakukan sehingga tiga kali bukan untuk menyatakan nombor bilangan tetapi hanya untuk melengkap dan meratakan.[6] Penerangan beliau di atas adalah berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang adakalanya berwudhu' membasuh anggotanya sekali-sekali, dua kali-dua kali dan tiga kali-tiga kali dalam satu suasana wudhu'. [7]

Dalam suasana sumber air masa kini yang berasal dari kepala paip yang sentiasa mengalir, seseorang itu dapat menyempurnakan pembasuhan anggota wudhu'nya tanpa kiraan. Yang dikehendaki dalam tuntutan wudhu' ialah membersihkan anggota bukan mengira bilangan pembersihan yang harus dilakukan sepertimana firman Allah Azza waJalla di penghujung ayat perintah wudhu': Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu……[Maksud Surah al-Maidah 05 - 06]

Disamping itu seseorang itu juga harus prihatin terhadap jumlah kuantiti air yang digunakannya kerana sabit daripada beberapa hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam, beliau sering memberi amaran melarang sebarang pembaziran atau berlebih-lebihan dalam penggunaan air wudhu'. Antaranya ialah hadith daripada Abdullah ibnu Amir radiallahu-anhu:

Bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam lewat di hadapan Saad yang sedang mengambil air wudhu' maka beliau berkata kepadanya: Janganlah kamu berlaku boros dalam menggunakan air ! Saad berkata pula: Ya Rasulullah ! Adakah dalam penggunaan air itu ada pemborosan? Beliau menjawab: Ya! Walaupun engkau berada di dalam sungai ! [8]

Kesimpulan

1.      Tidak diwajibkan pengulangan 3 kali basuh bagi setiap anggota wudhu'.

2.      Faktor penentu berapa kali sesuatu anggota wudhu' itu perlu dibasuh ialah kebersihan anggota tersebut serta kesempurnaan rataan air di atasnya.


 

[1]               Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0125 dan Sunan Tirmizi - no:0042.

[2]               Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0123 dan Sunan Tirmizi - no: 0043.

[3]               Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0122.

[4]               Imam an-Nawawi - Majmoo Syarh al-Muhadzzab, 1/385.

[5]               Dr. Abu Ameenah Bilal Philips - Islamic Studies, 1/127.

[6]               Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 1/262.

[7]               Pengajaran hadith dari Sunan Tirmizi - no: 0045.

[8]               Maksud hadith riwayat Imam Ahmad, Koleksi Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie - no: 0227.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan