Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian 1     Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9

2 Hukum Air Dua Kolah.

Apabila mengambil wudhu' dalam pesawat adakalanya mungkin timbul persoalan - Adakah air yang dibekalkan dari tangki pesawat bersih keadaannya ? Atau adakah ia mencukupi kuantiti dua kolah ?  Dalam persoalan ini hukum Islam telah menetapkan bahawa air yang dibolehkan untuk kita berwudhu' dengannya ialah air yang bersih, tanpa dicampuri oleh apa-apa bahan asing atau kotoran atau najis. Inilah yang disebutkan sebagai air mutlak. Air yang dibekalkan dalam tangki pesawat terbang adalah termasuk dalam kategori air mutlak, sama kualiti dan jenis dengan air yang disalurkan ke paip-paip rumah kita ataupun masjid-masjid. Ianya dikira bersih dan boleh diambil-guna bagi tujuan wudhu' dan lain-lain.

Tambahan lagi air yang dibekalkan ke tangki pesawat berkemungkinan adalah lebih bersih kerana ia telah ditapis terlebih dahulu (filtered) berbanding dengan air-air yang ada di rumah kita atau masjid. Oleh itu boleh sahaja berwudhu' dengan menggunakan air yang sedia keluar dari paip-paip bilik air pesawat terbang tanpa ragu atau was-was.

Tuntutan air melebihi dua kolah (216 liter) hanya diwajibkan dalam Mazhab Shafie apabila air tersebut telah bercampur dengan sesuatu benda najis sehingga bertukar sifatnya dari 3 sudut, samada rasa atau bau atau warna. Apabila satu dari sifat ini telah berubah maka untuk menggunakan air tersebut kuantitinya wajib melebih 2 kolah atau 216 liter. Akan tetapi apabila air tersebut bersih, dan tiada kelainan pada rasa, bau dan warnanya, ia tetap boleh digunakan untuk tujuan berwudhu' sekalipun kuantitinya kurang dari 2 kolah.[1]

Kesimpulan

1.      Air yang dibekalkan ke bilik-bilik air pesawat adalah bersih dan mencukupi syarat sebagai alat penyuci bagi tujuan berwudhu'.

2.      Syarat kuantiti air melebih 2 kolah hanyalah diwajibkan apabila air tersebut telah dicemari dari 3 sudut, iaitu bau atau rasa atau warna.

 


[1]               Ensiklopidi Hukum Islam - Air.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan