Berdakwah Melalui Penulisan EfektifHafiz Firdaus Abdullah
|
|
Bahagian
Pertama:
Beberapa orang ada menghubungi saya menyatakan mereka beberapa kali telah cuba menulis tetapi gagal. Akhirnya mereka putus asa daripada melakukan sebarang penulisan. Lantas saya bertanya:“Adakah anda telah melakukan persediaan-persediaan awal sebelum menceburi bidang penulisan?” “Ada persediaan awal ke?” “Sudah tentu!” jawab saya. “Ohh! Ya ke? Ingatkan switch on komputer dan terus taip.” “Ah-ha! Sebab tu anda sukar hendak menulis. Sebenarnya persediaan awal merupakan perkara penting yang perlu diketahui oleh semua orang yang ingin cuba menulis.”
Persedian awal yang saya maksudkan adalah seperti berikut: 1.1 Niat Yang Ikhlas. Menyampaikan ilmu agama adalah satu amal ibadah dan sebagaimana semua amalan lain, ia hendaklah dimulai dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata. Jangan menulis untuk meraih kemasyhuran, kekayaan atau apa-apa tujuan duniawi yang lain. Jika anda menulis ikhlas kerana Allah, Allah akan membantu penulisan anda. Jika anda menulis kerana sebab selain Allah, maka Allah akan membiarkan anda. Di sini timbul persoalan yang lazim dikemukakan, patutkah diminta bayaran royalti? Pada pandangan saya, yang utama ialah tidak meminta bayaran royalti. Sebabnya:
Maka jika anda ialah seorang ilmuan pewaris para Nabi dan Rasul, anda sepatutnya memiliki manhaj yang sama ketika menyampaikan ilmu.
Bayangkan pahala yang diperolehi oleh para imam kita yang menulis buku tanpa royalti sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Penulisan mereka sentiasa mengalirkan pahala sehingga ke hari ini! Di manakah letaknya bandingan antara RM sekian-sekian dengan pahala yang berkekalan?
Jika anda menulis buku ikhlas sebagai satu sarana untuk menambahkan lagi ilmu anda dan memperbaiki agama anda, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala akan memimpin anda ke arah itu. Allah berfirman, maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” [al-Ankabut 29:69] Jika anda menulis buku ikhlas untuk membantu Islam dan umatnya, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” [Muhammad 47: 07] Apabila anda menulis buku tanpa royalti, pastikan anda mendapatkan dua perkara berikut dari penerbit anda:
1.2 Bersiap Sedia Untuk Kerja Keras. Saya menulis risalah ini dengan tujuan memberi motivasi kepada para pembaca untuk menulis. Akan tetapi saya terpaksa bersikap jujur dalam penulisan ini. Menulis buku bukanlah satu kerja mudah. Ketika melakukan kajian sebelum menulis, anda perlu memiliki disiplin yang tinggi untuk menahan mata dari mengantuk dan menahan badan dari tilam yang empuk. Kemudian ketika menulis, anda perlu gagah menghadapi kaki yang kebas, bahu yang lenguh dan jari yang lesu kerana terpaksa menaip untuk jangka masa yang amat panjang. Setelah menulis, anda perlu mengedit dan mengulang-edit. Semua ini belum lagi mengambil kira pemikiran yang terpaksa diperah ke tahap maksima sebelum, semasa dan setelah menulis.
"Gula adalah sumber tenaga yang baik untuk otak anda. Akan tetapi
berlebihan gula tidak baik untuk kesihatan.
Oleh itu bidang penulisan bukanlah untuk orang yang lembik fizikal, lemah hati dan cepat putus asa. Ia hanya untuk orang yang cergas jasmaninya, cekal hatinya dan memiliki semangat positif yang tinggi.
1.3 Wal ‘Ashr…Uruskan Masa Anda. Ramai orang menganggap saya mampu melakukan banyak kerja penulisan kerana kerjaya sebagai seorang juruterbang. Kononnya kerjaya juruterbang ada banyak masa lapang dan boleh “menulis di atas udara!” Saya menolak anggapan ini. Ini kerana jika dikaji latarbelakang tokoh-tokoh yang banyak menulis seperi Abdul Ghani Azmi dan Abdullah al-Qari b. Hj. Salleh di Malaysia, Hasbi ash-Shiddieqie dan Hamka di Indonesia serta Nashiruddin al-Albani dan Yusuf al-Qaradhawi di Timur Tengah, akan didapati mereka semua tidak bekerjaya sebagai juruterbang. Faktor sebenar yang menentukan sama ada seseorang itu boleh menulis atau tidak bukanlah kerjayanya tetapi kemampuan mengurus masanya. Cuba lihat jam anda, sama ada di tangan, dinding atau talifon bimbit. Kiraannya adalah tetap: sehari = 24 jam, sebulan = 30 hari, setahun = 365 hari. Semua orang memiliki kiraan masa yang sama. Orang yang banyak menulis tidak memiliki 40 jam sehari manakala orang yang tidak sempat menulis tidak memiliki 15 jam dalam sehari. Justeru yang penting di sini ialah pengurusan masa, iaitu bagaimana memanfaatkan sepenuhnya 24 jam yang anda ada dalam sehari. Saya memiliki sebuah risalah khusus dalam subjek ini berjudul Wal ‘Ashr: Pengurusan Masa Dalam Islam yang dimuatkan dalam Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) terbitan Jahabersa, Johor Bahru. Dipersilakan merujuk ke sana untuk kaedah-kaedah menguruskan masa anda.
1.4 Penulis Yang Baik Ialah Pembaca Baik. Ada juga yang menganggap seseorang itu menjadi penulis yang baik kerana bakat penulisan yang sedia ada dalam DNAnya. Saya tidak setuju. Pada saya, seseorang itu menjadi penulis yang baik kerana dia adalah seorang pembaca yang baik. Sedar atau tidak, terdapat dua jenis ilmu yang terkandung dalam mana-mana buku:
Lazimnya apabila membaca buku, pembaca hanya memberi tumpuan kepada ilmu jenis pertama. Ada pun ilmu jenis kedua, ramai yang tidak sedar ia wujud. Maka untuk menjadi penulis yang baik, anda perlu menjadi pembaca yang baik. Pembaca yang baik akan memerhatikan ciri-ciri penulisan berikut:
Ada satu teknik bacaan yang disangka baik oleh sebahagian orang, iaitu speed reading. Melalui teknik ini, pembaca dapat menghabiskan satu buku dalam masa yang singkat. Sebenarnya teknik ini memiliki banyak kelemahan, antaranya:
Oleh itu untuk menjadi penulis yang baik, anda perlu menjadi pembaca yang baik. Banyakkan bacaan dan berilah tumpuan khas kepada cara penulisan buku bacaan anda. Apabila saya kata “banyakkan bacaan”, maksudnya minimum lima buku sebulan, bukan satu buku setahun.
"Sebenarnya
untuk belajar teknik penulisan. Ia hanya menggunakan
satu format penulisan sahaja.
1.5 Bersikap Jujur. Sikap jujur yang saya maksudkan adalah:
Penulis seperti ini mengemukakan satu hadis lalu menyatakan di bahagian notakaki: “Shahih al-Bukhari, hadis no: 5121” atau mengemukakan satu nukilan perkataan ulama lalu mencatit selepasnya: “al-Nawawi – al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 3, ms. 42.” Padahal apabila disemak pada kitab yang asal, ternyata lafaz hadis adalah berbeza atau nukilan perkataan hanyalah satu ringkasan dari teks yang asal. Ketika saya bertanya kembali kepada pengarang akan perbezaan ini, mereka mengakuinya: “Ohh! Saya hanya ambil di internet” atau “Errr…saya hanya salin dari buku terjemahan, bukan al-Majmu’ yang asal.” Sikap tidak jujur seperti ini tidak sepatutnya menjadi manhaj seorang penulis buku agama. Bersikap jujurlah dalam menyatakan sumber rujukan anda. Jika anda tidak merujuk kepada sumber yang asal, nyatakanlah ia, umpama: · Shahih al-Bukhari (www.nama_laman_web.com, dirujuk pada 25 Nov 2006), hadis no: 5121. · Ibn Hajar al-‘Asqalani – Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (edisi cdrom Maktabah Syamilah versi 2), jld 6, ms. 433. · Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin – Ushul al-Fiqh (edisi terjemahan oleh Hamidah bt Osman; Ipoh, Pustaka Ilmu, 2001), ms. 87. · al-Nawawi – al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 3, ms. 42; dinukil dari buku Dr. Ahmad bin Jamal Panduan Solat Sunat Rasulullah, (Kuantan, Darul Hadis, 1995), ms. 28. · Ibn Taimiyyah – Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah, 2001), jld. 23, hlm. 42 secara ringkas dan berpisah-pisah. Waspadalah! Jika ada pembaca yang menyemak sumber-sumber anda dan didapati anda tidak jujur dalam menyatakannya, kejujuran anda sebagai penulis akan ditolak secara keseluruhan. Ia melibatkan semua buku anda, sama ada yang sudah atau bakal diterbitkan.
"Sikap menyatakan rujukan secara jujur akan menyebabkan anda segera
memperoleh kepercayaan dari pembaca anda.
1.6 Lakukan Pelaburan RM! Pelaburan ialah anda meletak sedikit duit pada masa kini demi pulangan yang lebih besar pada hari akan datang. Menulis buku adalah juga satu pelaburan, hanya pulangannya ialah pahala yang berkekalan sepertimana yang dinyatakan dalam poin 1.1 di atas. Untuk menjadi penulis, anda perlu melakukan pelaburan untuk: 1.6.1 Membeli sumber rujukan. Menulis buku agama bukanlah menulis novel di mana anda hanya perlu berangan-angan untuk mendapatkan cerita yang baik. Buku agama ialah tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada pembaca dengan kerana itu anda perlu memastikan apa yang ditulis adalah benar. Untuk mencapai kepastian ini, anda perlukan rujukan yang cukup dalam subjek yang bakal anda tulis. Memang, anda memiliki pilihan untuk pergi ke perpustakaan. Akan tetapi bersiap sedialah untuk menghadapi cabaran:
Cabaran-cabaran ini menyebabkan buku yang anda tulis mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan. Padahal jika anda memiliki rujukan sendiri, anda mungkin mengambil masa sebulan untuk menyiapkannya. Anda juga memiliki pilihan menggunakan sumber perisian cdrom atau internet, akan tetapi cabaran penting yang perlu diperhatikan ialah ketepatan maklumat. Ini kerana sekalipun kedua-dua sumber itu merujuk kepada kitab-kitab yang asal, pemindahan maklumat (data transfer) dilakukan oleh para penaip yang kebanyakannya tidak tahu apa yang mereka taip. Justeru para penaip tidak akan sedar seandainya mereka tersalah eja istilah, tertinggal perkataan atau tertinggal satu perenggan sekali gus. Sebagai contoh, seorang perawi hadis dinilai “La thiqat” (tidak boleh dipercayai) dalam kitab al-Jarh wa al-Ta’dil ditaip sebagai “thiqat” (boleh dipercayai) dalam edisi cdrom atau internet. Bagi penaip, perkataan “La” yang dia tertinggal itu tidak memiliki apa-apa kesan yang besar. Akan tetapi bagi seseorang yang sedang menilai darjat sanad hadis, ia mengubah darjatnya dari dhaif kepada sahih. Semua ini menyebabkan saya tetap menyarankan para penulis untuk menggunakan rujukan yang terdiri dari kitab-kitab yang asal. Mulakan bertahap-tahap dengan kitab-kitab yang penting seperti Tafsir Ibn Katsir dan kitab hadis yang enam (al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Nasa’e, al-Tirmizi dan Ibn Majah). Perlahan-lahan ia dikembangkan kepada rujukan yang lain. Membuat sebuah perpustakaan peribadi mungkin melibatkan kos yang agak tinggi tetapi yakinilah, ia memiliki nilai yang jauh lebih berharga bagi seorang penulis yang komited.
1.6.2 Memiliki komputer peribadi Jangan bercita-cita untuk menulis buku agama di cyber kafe dengan suasana orang di sebelah kanan anda khusyuk bermain tembak-menembak manakala orang di sebelah kiri anda syok menonton gambar X-rated. Juga tidak disyorkan anda menulis di pejabat kerana peranan anda di sana ialah melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh majikan. Oleh itu pilihan yang terbaik ialah menulis di rumah. Anda perlu membeli sebuah komputer yang khusus untuk kegunaan menulis sahaja. Komputer ini tidak semestinya yang paling mahal dan paling canggih. Tak silap saya jika sekadar menulis dengan perisian Microsoft Word, anda hanya memerlukan komputer yang menggunakan Pentium II. Di pasaran terdapat banyak komputer riba second hand yang boleh anda beli dengan harga yang rendah.
"Posisi skrin, keyboard, meja dan kerusi yang tidak sesuai akan
menjejas stamina anda ketika menulis.
Alhamdulillah sehingga kini saya masih menggunakan komputer riba jenama Acer yang saya beli pada tahun 2001. Ia menggunakan Pentium III kelajuan 800Mhz dengan cakera padat sebesar 20Gb. Saya tidak tukar ke komputer yang lebih laju dan canggih kerana kerja saya hanya menulis, bukannya membuat rekabentuk roket untuk dilancar ke bulan. Walaubagaimana pun, saya syorkan anda membeli keyboard dan mouse yang berkualiti baik seperti jenama Logitech. Keyboard dan mouse yang berkualiti rendah akan cepat memenatkan anda, bahkan banyak membazir masa dan tenaga anda. Seterusnya, letakkan skrin komputer, keyboard dan mouse di atas meja yang memiliki ketinggian yang sesuai dengan kerusi dan posisi badan anda. Jangan menganggap remeh persoalan ini. Ia memiliki hubungan yang amat erat dalam menentukan sama ada anda cepat lenguh atau sentiasa cergas ketika menulis.
1.6.3 Membeli perisian tulen. Bayangkan jika ada orang yang pergi umrah tetapi membayar tiket penerbangan dengan wang rompakan. Sudah tentu anda akan mempersoalkan sama ada ibadah umrahnya diterima Allah atau tidak. Demikianlah juga dengan menulis buku agama, jangan anda menulis dengan perisian cetak rompak. Pahala berkekalan yang anda harapkan mungkin berubah menjadi sebaliknya. Justeru pastikan perisian dasar komputer anda (Windows, Linux, Apple) adalah tulen. Pastikan juga perisian lain seperti Microsoft Word adalah tulen juga.
1.6.4 System Anti Virus, Back up dan Anti Child. “Kena serang virus”, “hard disk tiba-tiba rosak” dan “anak saya terdelete.” Demikian 3 keluhan yang agak biasa kedengaran dari orang yang sedang menulis. Ia memang satu tragedi yang mengerikan, sekali pun tiada darah yang mengalir keluar. Justeru disarankan kepada semua penulis:
1.7 Belajar Guna Microsoft Word. Saya memiliki seorang sahabat yang pada satu masa dahulu amat benci dengan notakaki. Sekali pun beliau bertugas sebagai seorang pensyarah, beliau enggan menggunakan format notakaki dalam apa-apa hasil tulisannya. Pelbagai alasan diberikan, konon ia tidak perlu, menakutkan pembaca, merumitkan perbahasan dan pelbagai lagi. Pada satu hari beliau menghubungi saya melalui talifon. Beliau telah dijemput untuk membentang kertas kerja bagi satu seminar peringkat kebangsaan. Penganjur seminar telah meletakkan syarat, semua kertas kerja hendaklah menggunakan format notakaki. Nak tak nak, beliau terpaksa menggunakan format notakaki. Saya berkata: “Tak apa lah, apa nak buat. Kali ini Prof terpaksalah guna format notakaki.” “Hmmm!” dia mengeluh. “Bukan apa, saya sebenarnya tak tahu macam mana nak buat notakaki guna Microsoft Word ni. Dulu zaman saya buat tesis, saya guna mesin taip…mudah saja.” “Ooh!” saya tersenyum sendirian. “Tak mengapa, saya boleh ajarkan. Mudah saja.” Sejak hari itu, beliau tidak lagi “anti” dengan penulisan yang menggunakan format notakaki. Mesej yang cuba saya sampaikan, apa jua word prosessor yang anda guna, luangkan sedikit masa untuk mempelajari ciri-cirinya. Anda boleh menghadiri kursus atau membaca dari buku-buku bantuan sendiri seperti The Complete Idiot’s Guide To Word 2003 atau Word 2007 for Dummies. Banyak ciri-ciri yang sebenarnya agak tersembunyi dari pengguna biasa. Padahal ciri-ciri tersebut jika diketahui akan memudahkan kerja penulisan dan menjadikan ia lebih menarik. Ia juga dapat menjimatkan masa anda.
|