Berdakwah Melalui Penulisan Efektif

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Pengenalan

 

Sesungguhnya Allah, para malaikat-Nya, penduduk langit dan bumi, bahkan semut di liangnya sehinggakan ikan besar (di lautan), semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.

 

Demikian maksud sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi di dalam Sunannya. Sementara dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, maksudnya: Orang yang mengajar kebaikan, dia diminta ampun oleh segala sesuatu sehingga ikan besar di lautan.

 

Kedua-dua hadis ini yang saya nukil dari kitab Shahih al-Targhib wa al-Tarhib li al-Munziri oleh al-Albani (hadis no: 81 & 82) jelas menunjukkan keutamaan orang yang mengajar kebaikan. Maksud mengajar kebaikan ialah, mengajar ilmu-ilmu agama Islam. Ada pun cara pengajaran, maka ia tidak ditetapkan oleh hadis-hadis tersebut. Bererti apa jua cara pengajaran, ia termasuk dalam perbincangan hadis.

 

Antara cara tersebut ialah menulis buku agama. Selain dari mendapat keutamaan selawat dan doa keampunan, orang yang menulis buku agama atas tujuan mengajar juga mendapat beberapa keutamaan yang lain. Dua daripadanya ialah:

 

  1. Menulis buku agama dalam sesuatu tajuk akan membuat penulisnya mengkaji tajuk tersebut sedalam-dalamnya. Ini secara tidak langsung menambahkan lagi ilmunya berkenaan subjek tersebut. Sebagai contoh, orang yang ingin solat sunat mungkin hanya akan membaca satu buku. Akan tetapi bagi orang yang ingin menulis buku berkenaan solat sunat, dia akan mengkaji puluhan buku sehingga dapat menguasai secara mendalam subjek tersebut.

  2. Menulis buku agama akan membolehkan ilmu tersebar luas secara berkekalan. Satu perbandingan mudah. Ustaz A dan B ingin menyampaikan ilmu berkenaan hukum memakai tangkal. Ustaz A menyampaikannya melalui lisan. Ceramahnya dihadiri oleh seratus orang. Ustaz B menyampaikannya melalui penulisan. Artikelnya disiarkan dalam sebuah majalah yang memiliki jumlah edaran dua puluh ribu naskah setiap bulan.

 

Antara Ustaz A dan B, siapakan yang dapat menyampaikan ilmu secara lebih luas? Seterusnya, para hadirin ceramah ustaz A mungkin akan lupa apa yang mereka pelajari setelah beberapa ketika. Akan tetapi ilmu yang disampaikan oleh Ustaz B masih kekal selagi mana majalah tersebut disimpan dengan baik oleh pembelinya.

 

Melalui risalah yang serba ringkas ini, saya ingin berkongsi bersama para pembaca yang budiman sekalian panduan menulis buku agama. Apa yang kongsi di sini merupakan apa yang saya pelajari dari pengalaman menulis lebih tiga puluh buah buku dan menyunting lebih dua puluh buah karya penulis lain sejak sepuluh tahun yang lalu. Risalah ini saya bahagikan kepada lima bahagian utama:

 

  1. Persediaan Awal Sebelum Menceburi Bidang Penulisan.

  2. Langkah-Langkah Sebelum Menulis.

  3. Langkah-Langkah Semasa Menulis.

  4. Langkah-Langkah Selepas Menulis.

  5. Memilih Penerbit Yang Baik.

 

Bagi teks utama risalah ini, saya gunakan font Times New Roman. Bagi mengemukakan contoh penulisan, saya gunakan font Comic Sans. Bagi apa-apa catitan atau tips, saya guna font Verdana. Ketika mengemukakan nukilan kata-kata ulama’ atau tokoh, saya gunakan font Arial. Sekali pun tajuk risalah ini ialah Ayuh Kita Menulis Buku, risalah ini saya tujukan kepada semua bentuk penulisan termasuklah kertas kerja dan artikel. Ia juga ditujukan kepada semua kategori penulis termasuklah penterjemah, penyunting dan pembaca pruf.

 

 

 

 

  kandungan