Berdakwah Melalui Penulisan Efektif

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 

 

 2008 merupakan tahun yang istimewa bagi saya kerana ia menandakan genap sepuluh tahun saya menceburi bidang penulisan. Sekali pun buku pertama saya terbit pada tahun 1999, usaha menulisnya bermula sejak tahun 1998.

 

Maka bagi tahun 2008 ini, terlintas di hati saya untuk menulis sebuah buku yang ringkas lagi mudah sebagai panduan kepada orang-orang yang ingin menulis buku agama. Penulisan ini tidaklah bererti saya seorang penulis yang cemerlang, tetapi lebih kepada perkongsian pengalaman dan panduan (guideline) kepada asas-asas penulisan.

 

Saya yakin di luar sana terdapat banyak para ilmuan yang ingin menulis tetapi mungkin samar-samar tentang kaedah penulisan. Mungkin juga sudah siap menulis tetapi kurang jelas samar tentang proses penerbitan. Semoga buku kecil ini dapat membantu mereka.

 

Faktor lain yang menyebabkan saya menulis buku ini ialah kerana mulai tahun 2008, saya membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi penyunting. Ringkas kata, bersara dari menjadi penyunting. Alhamdulillah hingga kini saya telah menyunting lebih daripada dua puluh buah buku. Banyak ilmu yang dapat saya peroleh tentang kaedah penulisan hasil daripada perbincangan dan pertukaran pendapat dengan para penulis yang lain. Apa yang saya peroleh itu saya kongsikan dalam buku ini.

 

Buku ini saya susun secara santai, mudah dan ringkas. Saya tahu tujuan anda membacanya ialah kerana ingin menulis. Justeru saya tidak akan membazirkan masa anda dengan menulis buku yang tebal, cukuplah buku yang nipis agar dengan itu anda dapat terus mula menulis. Insya-Allah.

 

Sebelum berpisah, saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar buku ini mencapai tujuannya. Semoga kehadiran buku ini sedikit sebanyak dapat menggiatkan lagi usaha dakwah di kalangan umat Islam.

 

Sekian, wassalamu‘alaikum warahmatullah.

 

Hafiz Firdaus bin Abdullah

1 Januari 2008

 

 

 

 kandungan