Berdakwah Melalui Penulisan Efektif

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Bahagian Kedua:
Langkah-Langkah Sebelum Menulis

 

Anda masih bersama saya? Alhamdulillah, tahniah diucapkan. Saya menjangkakan agak ramai pembaca yang tawar hati untuk cuba-cuba menulis selepas membaca bahagian Persediaan Awal Sebelum Menceburi Bidang Penulisan. Cabaran-cabaran yang saya senaraikan bukanlah untuk menyah-motivasi atau menakutkan para pembaca sekalian daripada menceburi bidang penulisan. Sebaliknya saya bersikap jujur agar para pembaca sekalian dapat melakukan persiapan yang secukupnya sebelum menceburi bidang penulisan. Pada pengamatan saya, ramai orang tidak dapat menulis kerana tidak melakukan apa-apa persediaan awal. Cuba demi mencuba, tidak berganjak satu mukasurat jua. Akhirnya ramai yang putus asa dari menulis.

 

Baiklah, sekarang kita masuk ke bahagian seterusnya berkenaan langkah-langkah sebelum menulis. Ia adalah seperti berikut:

 

 

2.1  Memilih Subjek Dan Tajuk.

 

Langkah pertama ialah memilih subjek yang sesuai untuk ditulis iaitu apa yang:

1.  Penting untuk Islam dan umat Islam.

2.  Belum ditulis oleh penulis yang lain, atau sudah ditulis tetapi dengan kupasan yang perlu 

     diperbaiki.

 

Bagi mengetahui subjek yang sesuai seperti poin 1 dan 2 di atas, seorang penulis hendaklah peka kepada suasana agama dan umat di negaranya. Pada waktu yang sama hendaklah rajin melawat kedai buku untuk melihat subjek apa yang sudah ditulis, belum ditulis atau sudah ditulis tetapi memiliki kupasan yang perlu diperbaiki.

 

Walaubagaimana pun bagi mereka yang pertama kali mencuba untuk menulis, saya cadangkan memilih subjek yang mudah umpama Adab-Adab Berdoa, Zikir Di Pagi Dan Petang Hari, Panduan Solat Sunat dan Himpunan Puasa Sunat. Saya sendiri mula meneroka bidang penulisan dengan buku mudah Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu. Lama-kelamaan apabila sudah agak selesa menulis, barulah dipertingkatkan ke subjek yang menepati poin 1 dan 2 di atas.

 

Di sini ada baiknya juga memiliki tajuk yang sesuai dengan subjek. Bagi pemilihan tajuk, dicadangkan yang pendek dan padat. Elakkan daripada memiliki tajuk yang terlampau canggih kerana sekali pun ia baik dari sudut menarik perhatian pembeli, dari sudut yang lain ia akan mengelirukan pembeli yang baru hendak berjinak-jinak dengan buku agama.

 

 

2.2  Melaksanakan Solat Istikharah.

 

Setelah dipilih subjek yang sesuai, lakukan solat Istikharah. Jika subjek tersebut adalah baik, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan memudahkan langkah-langkah seterusnya. Jika tidak, Allah akan menyukarkan

 

Menyentuh tentang solat Istikharah, terdapat banyak bid‘ah yang telah menyelinap masuk sehingga mencemari ketulenannya. Justeru saya sarankan anda mengkaji tatacara solat Istikharah yang menepati sunnah. Antara rujukan yang baik lagi sahih ialah Shalat Istikharah: Membuka Kesuksesan hidup oleh Syaikh Abdullah bin Muhammad al-Hamadi. Ia telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Fathurrahman Hamid dan diterbitkan oleh Pustaka Azzam, Jakarta, 2005.

 

  

"Lazimkan diri berdoa dan bersolat istikharah

agar Allah membantu penulisan anda."

 

 

2.3  Membuat Kajian.

 

Langkah seterusnya ialah membuat kajian terhadap subjek yang dipilih. Berkenaan sumber kajian, sila rujuk semula bahagian 1.6.1. Terdapat dua perkara penting yang perlu diperingatkan ketika membuat kajian:

  1. Pastikan sumber kajian anda ialah kitab-kitab muktabar yang ditulis oleh para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Jangan pula menjadikan bahan-bahan tulisan aliran yang menyeleweng seperti Anti Hadis, Syi‘ah, Hizhut Tahrir dan sebagainya sumber kajian.

  2. Jika dalam sesuatu subjek terdapat perbezaan pendapat, kajilah ia secara adil. Jangan sekadar mengikuti pandangan yang masyhur atau apa yang sudah sedia tersemat dalam minda anda.

Seorang penulis perlu sentiasa ingat bahawa apa yang dia tulis pada hari ini akan dipersoal oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala pada hari Akhirat kelak. Oleh itu pastikan anda melakukan kajian yang adil dari sumber yang betul lagi menyeluruh. Jadikan buku anda sebagai pelaburan yang bermanfaat pada hari Akhirat kelak, bukan pelaburan yang merugikan.

 

 

2.4  Memilih Tahap Kesukaran.

 

Anda perlu memilih tahap kesukaran buku yang bakal anda tulis. Terdapat tiga tahap untuk dipilih:

2

2.4.1 Tahap Pertama. Ini ialah tahap yang paling mudah. Ia ditujukan kepada masyarakat umum, khasnya mereka baru hendak berjinak-jinak dengan buku agama. Ia juga ditujukan kepada mereka yang belum berminat membaca buku agama, dengan harapan ia dapat menarik mereka ke arahnya. Contoh buku saya dalam tahap pertama ini ialah Wahai Ibu! Wahai Ayah!, Marilah Bekenalan Dengan al-Qur’an dan  7 Tipu Daya Syaitan Ke Atas Umat Islam.

 

Satu catatan. Kemudahan yang dimaksudkan bagi tahap pertama ini jangan sehingga mengorbankan ciri-ciri kesahihan fakta dan ketepatan maklumat. Buku agama bukanlah novel cinta, ia adalah buku yang menerangkan tentang agama yang asalnya milik Allah Subhanahu wa Ta'ala. Justeru jangan memuatkan hadis yang tidak diketahui darjatnya, hikayat-hikayat dongeng serta petua-petua yang batil di dalamnya.

 

 

"Cabaran kepada penulisan yang cemerlang

ialah kemampuan menyampaikan

subjek yang berat

dengan cara yang mudah."

 

 

Paling afdhal ialah apabila seorang penulis dapat mengekalkan ciri ilmiah bagi buku di tahap pertama ini. Dalil-dalil al-Qur’an dan hadis disertakan, hanya diberikan penjelasan mudah akan maksudnya. Notakaki di kekalkan, hanya ia ringkas dan padat. Perbezaan pendapat diperincikan, hanya ia dikemukakan dengan cara yang dapat menarik minat pembaca, bukan menjauhkan. Elak dari menggunakan istilah yang tidak dikenali umum. Jika perlu menggunakannya, jelaskan maksud istilah di bahagian notakaki atau sedia senarai istilah di akhir buku.

 

Ada yang berkata: “Buku-buku hendaklah ditulis ke tahap yang amat mudah sehingga Mat Rempit pun dapat memahaminya.” Saya memandang sinis terhadap pendapat ini kerana:

  1. Mat Rempit jarang-jarang membaca buku agama.

  2. Tidak perlu meletakkan tahap yang amat rendah kerana para pembaca, termasuk Mat Rempit, memiliki pilihan membaca artikel-artikel agama yang terdapat dalam akhbar harian. Artikel-artikel tersebut ditulis dengan cara yang amat mudah sehingga boleh difahami oleh mereka yang tidak faham. Berbeza dengan buku, ia hendaklah menyediakan sesuatu yang lebih baik, lebih ilmiah dan lebih informatif dari akhbar. Buku hendaklah menawarkan sesuatu yang lebih baik, lebih tinggi tahapnya berbanding akhbar harian.

  3. Jika ditulis buku pada tahap yang sama dengan pembaca, kita tidak akan dapat mengangkat tahap mereka ke aras yang lebih tinggi. Akhirnya Mat Rempit tetap pada tahap Mat Rempit, Bohsia tetap pada tahap Bohsia. Penulisan yang baik tidak sekadar menyampaikan ilmu kepada para pembaca tetapi mengangkat taraf bacaan pembaca.

 

2.4.2 Tahap Kedua. Ini ialah tahap pertengahan yang sesuai untuk para pembaca yang sudah lazim membaca buku agama dan memiliki asas yang cukup untuk mencerna bahan bacaan yang ilmiah. Tahap ini juga sesuai untuk mereka yang memiliki pendidikan tahap sarjana dan kedoktoran.

 

Contoh buku saya dalam tahap kedua ini ialah 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya, Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah dan Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

 

2.4.3 Tahap Ketiga. Ini ialah tahap agak sukar yang ditujukan kepada para pengkaji dan para pembaca yang tajam daya kefahamannya. Contoh buku saya dalam tahap ketiga ini ialah Pembongkaran Jenayah Ilmiah dan Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah.

 

 

 

2.5  Memilih Format Penulisan.

 

Terdapat beberapa format penulisan yang boleh anda pilih:

 

2.5.1    Format penyampaian yang terus. Kebanyakan buku menggunakan format ini.

 

2.5.2    Format soal-jawab. Format ini amat berkesan untuk mendudukkan subjek yang berat pada tahap yang pertama (mudah). Contohnya ialah buku Ustaz Adlan bin Abdul Aziz yang berjudul 20 Persoalan Asas Tentang Hadis.

 

2.5.3    Format senarai. Format ini sesuai untuk mencapai kefahaman yang praktikal kepada pembaca. Perhatikan buku Beberapa Persoalan Lazim Tentang Solat karangan Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus dan buku 15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang karangan Dr. Azwira bin Abdul Aziz.

 

2.5.4    Format dialog. Format ini sesuai sebagai pembuka tulisan. Ia melibatkan perbincangan antara dua atau lebih orang berkenaan subjek yang bakal ditulis dalam buku. Perbincangan itu mungkin merupakan kisah benar atau lakonan. Cuba lihat pembukaan kepada buku saya Wahai Ibu! Wahai Ayah!

 

2.5.5    Format undang-undang. Format ini menggunakan penomboran bagi setiap bab dan pecahan bab. Ia sesuai digunakan bagi buku yang memerlukan pembacanya merujuk kembali kepada beberapa perbincangan yang berbeza dalam buku yang sama. Karya saya Apakah Jihad Di Jalan Allah (Buku 1 & 2) serta risalah ini menggunakan format undang-undang.

 

2.5.6    Format poin dan penjelasan. Bagi setiap bab atau perbincangan, kemukakan poin dasar, diikuti dengan penjelasan bagi poin tersebut. Format ini saya gunakan dalam buku Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

 

2.5.7    Format hujah dan jawapan. Cuba selidik buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah, Kaedah Memahami Hadis-Hadis Musykil dan Pembongkaran Jenayah Ilmiah. Ia menggunakan format mengemukakan hujah, dalam kes ini hujah yang batil, diikuti dengan jawapan bagi membantah kebatilan tersebut. Format ini sesuai untuk menjawab buku-buku atau pendapat-pendapat batil yang dikemukakan oleh aliran atau individu yang menyeleweng.

 

"Banyak membaca akan memudahkan

anda memilih format yang sesuai

 dengan subjek anda."

 

 

 2.5.8    Format variasi. Beberapa format berasingan digunakan dalam satu buku yang sama. Format yang bervariasi ini akan menjadikan pembaca merasa seolah-olah membaca buku yang berbeza-beza sekali pun pada hakikatnya ia adalah satu buku yang sama. Contohnya ialah buku saya 7 Tipu Daya Syaitan Ke Atas Umat Islam, ia menggunakan format penyampaian terus (2.5.1), senarai (2.5.3), dialog (2.5.4) serta poin dan penjelasan (2.5.6).

 

 

 

2.6       Membuat Kerangka Buku.

Langkah terakhir sebelum mula menulis ialah membuat kerangka buku. Ia seolah-olah membuat pelan rumah sebelum pembinaan dimulakan. Dengan membuat kerangka seorang penulis dapat:

  1. Merancang bab-bab yang akan dikupas.

  2. Menyusun tertib bab.

  3. Menambah bab yang perlu, membuang yang tidak perlu.

  4. Merancang perincian bagi setiap bab.

  5. Membuat jangkaan ketebalan buku. Poin ini adalah penting kerana para pembaca kurang meminati buku agama yang tebal. Ketebalan buku yang sesuai ialah dua ratus mukasurat dan ia bersama dengan seratus mukasurat saiz A4. Demi mencapai jangkaan atau target ketebalan buku, pastikan bab terakhir yang anda susun merupakan sesuatu yang boleh diubah-ubah jumlah kupasannya.

Berikut dikemukakan satu contoh. Umpamakan anda memiliki subjek Panduan Solat Sunat dan ingin menulisnya pada tahap yang mudah (2.4.1) melalui format penyampaian terus (2.5.1). Ketebalan maksimum ialah seratus mukasurat A4. Berikut adalah langkah-langkahnya:

 

Langkah 1:    Merancang bab-bab yang akan dikupas, umpama:

·         Jenis-jenis solat sunat berdasarkan dalil sahih.

·         Beberapa kesalahan lazim dalam melaksanakan solat sunat.

·         Jenis-jenis solat sunat yang diperselisihkan.

·         Keutamaan melaksanakan solat sunat.

·         Jenis-jenis solat sunat yang tidak berdasarkan dalil sahih.

 

 

Langkah 2:    Bab-bab yang telah anda pilih untuk dikupas kini disusun semula mengikut tertib yang sesuai, seperti:

·         Bab 1: Keutamaan melaksanakan solat sunat.

·         Bab 2: Jenis-jenis solat sunat berdasarkan dalil sahih.

·         Bab 3: Jenis-jenis solat sunat yang diperselisihkan.

·         Bab 4: Jenis-jenis solat sunat yang tidak berdasarkan dalil sahih.

·         Bab 5: Beberapa kesalahan lazim dalam melaksanakan solat sunat.

 

 

Langkah 3:    Memandangkan anda telah memilih tahap penulisan yang mudah, bab 3 dan 4 mungkin memberatkan para pembaca. Ia melibatkan penjelasan yang panjang tentang mengapa ia diperselisihkan atau mengapa ia masyhur dilaksanakan padahal tiada dalil yang menyokongnya. Oleh itu, sesuai dengan tahap mudah yang anda pilih, bab 3 dan 4 tidak akan disertakan.

 

Bab 5 juga agak berat tetapi ia tetap penting kerana banyak orang tidak sedar akan kesalahan yang mereka lakukan ketika melaksanakan solat sunat. Justeru ia dikekalkan dan akan cuba disampaikan semudah mungkin. Maka bab yang tinggal kini ialah:

·         Bab 1: Keutamaan melaksanakan solat sunat.

·         Bab 2: Jenis-jenis solat sunat berdasarkan dalil sahih.

·         Bab 3: Beberapa kesalahan lazim dalam melaksanakan solat sunat.

 

 

Langkah 4:    Bab 2 agak besar, maka ia diperincikan kepada beberapa bab kecil seperti:

·         Bab 2: Jenis-jenis solat sunat berdasarkan dalil sahih.

(a) Solat sunat Rawatib (sebelum dan sesudah solat fardhu).

(b) Solat sunat khusus:

(b-1) Solat sunat malam.

(b-2) Solat sunat witir.

(b-3) Solat sunat dhuha.

(b-4) Solat sunat tahhiyatul masjid.

(b-5) ………… (demikianlah seterusnya dengan solat-solat sunat yang lain)

 

Bab 3 juga agak besar, maka ia diperincikan kepada beberapa bab kecil bagi menerangkan jenis-kenis kesalahan yang lazim dilakukan oleh masyarakat.

 

Langkah 5:    Bagi Bab 3, bilangan jenis kesalahan yang akan diperincikan bergantung kepada jumlah mukasurat buku yang masih berbaki. Jika jumlahnya pada saiz A4 setelah selesai Bab 2 ialah enam puluh mukasurat, maka anda ada tiga puluh lima mukasurat untuk perincikan jenis-jenis kesalahan. Anda perlu simpan tiga mukasurat untuk Kata Penutup dan dua mukasurat lagi untuk Senarai Rujukan. Dengan tiga puluh lima mukasurat yang ada, anda mungkin dapat perincikan tujuh jenis kesalahan.

 

Seandainya Bab 2 selesai pada mukasurat yang ketujuh puluh, anda ada dua puluh lima mukasurat untuk perincikan jenis-jenis kesalahan. Dengan jumlah ini, anda mungkin dapat perincikan lima jenis kesalahan. Justeru Bab 3 adalah sesuatu yang dinamik dari sudut ketebalan dan jumlah kupasan.

 

 

"Menulis buku tanpa kerangka

adalah seumpama

membina rumah tanpa pelan."

 

 

  kandungan