Berdakwah Melalui Penulisan Efektif

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Bahagian Kelima:
Memilih Penerbit Yang Baik

 

Langkah seterusnya ialah memilih penerbit yang baik. Hampir semua penerbit ialah syarikat perniagaan, maka dengan itu hampir semua penerbit mementingkan keuntungan. Anda akan dapat mengenali penerbit yang hanya mementingkan keuntungan melalui dua ciri berikut:

  1. Penerbit akan meminta anda menulis buku yang mudah sehingga bohsia dan bohjan boleh membacanya. Maksud tersirat dari permintaan ini ialah, buku yang mudah akan lebih laris dan ini akan memberi keuntungan besar kepada penerbit.

  2. Penerbit akan meminta anda memadamkan semua notakaki dalam penulisan anda, konon notakaki menakutkan pembaca awam. Maksud yang tersirat ialah, notakaki sebenarnya mengiklankan sumber bacaan yang lain. Ini akan menyebabkan pembaca mencari sumber tersebut dan akhirnya mengurangi keuntungan penerbit.

Walaubagaimana pun dicelah-celah itu semua ada segelintir penerbit yang memberi perhatian kepada kebaikan Islam dan umatnya. Mereka cuba memberi pertimbangan yang adil antara keuntungan dan kebaikan, antara dunia dan akhirat.

 

 "Penulis dan penerbit saling memerlukan

antara satu sama lain. Pastikan wujud suasana

saling menghormati antara kedua-duanya"

  

5.1  Bagaimana Memilih Penerbit Yang Baik?

Bagi memilih penerbit yang baik, saya cadangkan anda memerhatikan faktor-faktor berikut yang saya susun berdasarkan prioriti:

  1. Edaran (marketing). Cari penerbit yang luas edarannya. Amatlah merugikan jika usaha dan ilmu yang anda curahkan dalam penulisan anda tidak tersebar kepada orang ramai.

Rajinkan diri pergi ke kedai-kedai yang lazim menjual buku agama dan lihat penerbit manakah yang buku mereka dijual oleh kebanyakan kedai. Penerbit yang memiliki edaran yang luas lagi teratur akan anda temui buku-buku mereka di hampir setiap kedai, tak kira kedai besar atau kecil, kedai ternama atau biasa-biasa.

 

Setiap penerbit akan mencatitkan alamat dan nombor talifon mereka di dalam buku yang mereka terbit. Salin maklumat tersebut, kemudian hubungi mereka untuk bertanya apa prosedur untuk mereka menerbitkan buku anda.

 

Cara lain yang lebih profesional, cetak penulisan anda dalam saiz A4 dengan menggunakan pencetak laser, jilidkan ia kemas dengan comb binding dan plastic cover. Kemudian poskan ia kepada penerbit dengan disertakan sebuah surat rasmi yang menyatakan hasrat anda agar penulisan yang disertakan itu diterbitkan oleh mereka. Nyatakan juga apa-apa permintaan khas atau syarat tambahan yang anda kehendaki berkaitan penerbitan buku anda. Sertakan cara mudah untuk mereka menghubungi anda, sama ada nombor talifon atau alamat emel.

 

  1. Hakcipta. Pastikan hakcipta (copyright) berada di atas nama anda supaya seandainya berlaku apa-apa yang tidak baik kepada penerbit anda pada masa akan datang, anda masih dapat menerbitkan buku tersebut dengan penerbit yang lain.

  2. Saling hormat menghormati. Pilih penerbit yang menghormati anda sebagai penulis. Maksud saya di sini ialah penerbit yang sudi berbincang dengan anda dan mendengar apa-apa permintaan khas anda. Melalui perbincangan antara penulis dan penerbit, satu kata sepakat yang memenangkan kedua-dua pihak dapat dicapai.

Sebagai contoh, anda mungkin meminta agar buku anda diterbitkan dengan format 1.5 line spacing (rujuk 3.1.8). Penerbit pula ingin menerbitkan dengan format single line spacing. Cuba bincang untuk mencari solusi pertengahan, umpama menggunakan format 1.25 line spacing.

 

  1. After sales service. Tanya kepada penerbit anda beberapa soalan berikut:

a)  Jika anda ingin membeli buku anda sendiri daripada penerbit, berapakah diskaun yang anda dapat dari harga pasaran? Pastikan anda mendapat diskaun minimum 30%.

 

b) Jika anda ingin menghantar buku anda ke sesuatu lokasi lain, adakah mereka menyediakan khidmat penghantaran dan berapakah kosnya? Soalan ini penting kerana anda mungkin dijemput menyampaikan kuliah yang mengupas buku anda di satu lokasi yang jauh. Anda tidak perlu bersusah payah membawa tiga ratus naskah buku anda ke sana, sebaliknya minta penerbit menghantar buku tersebut kepada pihak penganjur.

 

c)  Apakah penerbit menyediakan ruang untuk anda membuat apa-apa pembetulan dalam buku anda? Kadangkala disebabkan bertambahnya ilmu dan maklumbalas pembaca (rujuk 4.3), anda ingin membuat beberapa pembetulan dalam buku anda pada masa akan datang

 

  1. Royalti. Seandainya anda tetap memilih untuk meminta bayaran royalti, maka bincang dengan penerbit kadar bayarannya. Jangan meminta kadar yang terlalu tinggi kerana kemungkinan besar penerbit akan menolaknya. Kadar yang sesuai ialah antara RM0.50 hingga RM1.00 bagi setiap buku yang dijual, bergantung kepada kualiti ilmu dan kadar efektif penulisan anda dalam buku tersebut.

Apabila anda memilih penerbit berdasarkan faktor-faktor di atas, jangan mudah mengalah. Ingat! Penerbit tidak akan wujud tanpa penulis. Oleh itu beranikan diri berbincang dengan mereka dan jangan mengalah seandainya mereka tidak menepati faktor-faktor di atas. Di luar sana terdapat banyak penerbit lain.

Seandainya tidak ada penerbit yang mahu menerima penulisan anda, jangan putus asa. Teruskan mencari. Tahukah anda bahawa siri buku Harry Potter yang dikarang oleh J.K. Rowling pada asalnya tidak diterima oleh mana-mana syarikat penerbitan yang besar. Pengarangnya tidak berputus asa dan terus mencari sehinggalah dia menemui sebuah penerbit yang sudi menerbitkannya. Kini pada tahun 2008, siri buku tersebut menjadi antara yang paling laris di seluruh dunia dan telah ditukar menjadi filem blockbuster.

 

 

5.2  Adakah Khidmat Penyunting Sesuatu Yang Positif Atau Negatif?

Sebahagian penerbit menyediakan khidmat penyunting. Adakah ini sesuatu yang positif atau negatif? Jawapannya bergantung kepada peranan penyunting itu sendiri. Khidmat penyunting adalah sesuatu yang positif jika:

  1. Penyunting menghormati anda sebagai penulis dan berlaku perbincangan yang harmonis antara penulis dan penyunting.

  2. Penyunting hanya memberi cadangan pembaikan manakala kata putus untuk memasukkan atau tidak cadangan tersebut diserahkan sepenuhnya kepada anda. Pada waktu yang sama, janganlah pula anda berkeras kepala sehingga menolak semua cadangan penyunting. Manfaatkan penyunting sebagaimana anda memanfaatkan pembaca pruf (rujuk 4.1.4).

 

 "Khidmat penyunting tidak semestinya lebih baik

 kerana adakalanya penyunting itu

 tidak pernah menulis satu buku jua"

 

Justeru jangan mudah terpedaya dengan khidmat penyunting yang disediakan oleh pihak penerbit. Jangan serahkan buku anda kepada penerbit dan berkata: “Suntinglah apa yang patut”. Kebanyakan penyunting tidak pernah menulis buku dan seandai mereka menulis, ia tidak tentu lebih baik daripada apa yang anda tulis. Jika penerbit yang anda pilih menyediakan khidmat penyunting, pastikan ia adalah sesuatu yang positif dan bukannya negatif.

 

 

 

 kandungan