Berdakwah Melalui Penulisan Efektif

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Kata Penutup:
Jangan Menulis Al-Qur’an

 

Di alam ini hanya ada satu buku yang sempurna, iaitu al-Qur’an. Ia adalah kalam Allah dan Maha Suci Allah daripada apa-apa kekurangan atau kesilapan. Semua buku selain al-Qur’an adalah hasil karangan manusia dan semua buku selain al-Qur’an akan memiliki kekurangan dan kesilapan. Justeru apabila anda menulis buku, jangan menulis al-Qur’an. Jika anda bercita-cita menulis buku yang sempurna seumpama al-Qur’an, anda tidak akan dapat mencapainya.

 

Sebaliknya bercita-citalah menulis buku yang sebaik mungkin. Kekurangan tetap akan wujud, kesilapan tetap akan berlaku. Kekurangan dan kesilapan ini anda dapat minimumkan, akan tetapi anda tidak akan dapat mensifarkannya.

 

Saya menyatakan hakikat ini kerana saya memiliki beberapa kenalan yang memiliki penulisan yang amat baik, akan tetapi mereka enggan menerbitkannya kerana menganggap ia masih belum sempurna. Selain itu ada juga beberapa kenalan lain yang amat berilmu lagi berwawasan, tetapi enggan menulis kerana menganggap ilmu mereka masih belum sempurna.

 

Menulis bukan bererti ilmu anda sempurna atau anda adalah penulis yang cemerlang. Sebaliknya menulis bererti anda ingin menuntut ilmu dan ingin belajar menulis. Ini kerana dengan menulis, anda akan mengkaji subjek tersebut secara meluas sehingga ia akhirnya menambah ilmu anda. Menulis juga menyebabkan anda melatih menulis dan perlahan-lahan ia akan meningkatkan kecemerlangan anda sebagai penulis. Oleh itu betulkan manhaj anda tentang menulis. Masyarakat menunggu hasil penulisan anda dengan penuh harapan.

 

 

  kandungan