Berdakwah Melalui Penulisan Efektif

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Bahagian Keempat:
Langkah-Langkah Selepas Menulis

 

Apabila seseorang itu menulis, dia menulis apa yang dia fahami. Cabaran seterusnya adalah, adakah para pembaca akan memahami apa yang ditulis mengikut kefahaman yang dikehendaki oleh penulis?

 

"Ramai penulis menyangka

kerja mereka selesai sebaik saja

 menaip ayat terakhir dalam buku mereka"

 

Cabaran ini sebenarnya adalah sesuatu yang besar dan penting. Ia secara tidak langsung menjadikan bahagian keempat ini sesuatu yang tidak kurang besar dan penting. Pengalaman saya menyunting hasil penulisan orang lain mendapati kebanyakan mereka tidak memberi perhatian kepada bahagian ini. Mereka menganggap sesebuah penulisan sudah selesai apabila mereka habis menulisnya. Ini amat jauh dari kebenaran.

Terdapat tiga langkah yang perlu dilakukan selepas menulis:

  1. Membaca pruf.

  2. Mengadakan tempoh masak.

  3. Menerima maklum balas pembaca.

Marilah kita memperhatikan langkah-langkah ini secara lebih mendalam.

 

4.1  Membaca Pruf.

Membaca pruf ialah anda menyerahkan tulisan anda kepada orang lain untuk disemak ketepatan fakta dan bahasa. Secara lebih lanjut:

4.1.1    Sebaik-baiknya empat pembaca pruf.

Sebaik-baiknya anda mencari empat orang untuk membaca pruf tulisan anda. Dua daripada mereka ialah orang yang pakar dalam subjek yang anda tulis untuk menyemak ketepatan fakta. Dua selebihnya ialah orang yang tidak duduk dalam subjek yang anda tulis. Peranan mereka ialah menyemak kadar efektif penulisan anda, termasuklah ejaan, tatabahasa dan susunan ayat.

Satu nasihat, jangan khabarkan kepada keempat-empat orang tersebut bahawa mereka semua sedang membaca pruf tulisan anda. Ini akan menyebabkan masing-masing pembaca pruf menganggap ringan tanggungjawab mereka kerana “Jika saya terlepas pandang sesuatu kesilapan, pembaca pruf lain akan menangkapnya.”

Dicadangkan juga untuk mempelbagaikan pembaca pruf anda untuk setiap buku yang berlainan. Pembaca pruf yang berbeza akan memberikan suntikan yang berbeza dan ini dapat anda manfaatkan untuk meningkatkan kualiti penulisan anda.

 

4.1.2    Pilih pembaca pruf yang cerewet, berani dan komited.

Pembaca pruf bukanlah sebarangan orang, tetapi hendaklah terdiri daripada mereka yang  cerewet, berani dan komited. Maksud saya sebagai cerewet adalah dalam konteks yang positif, iaitu pembaca pruf yang amat teliti lagi tajam dalam semakannya. Dia mengeja huruf demi huruf, menyebut perkataan demi perkataan dan membaca ayat demi ayat. Dia memerhatikan format penulisan sama ada seragam atau tidak, sama ada memudahkan kefahaman atau mengelirukan dan sama ada efektif atau sebaliknya. Dia menyemak ketepatan fakta sekadar mampu dan aktif menyemak kenyataan-kenyataan dalam penulisan tersebut sama ada ia saling menyokong atau saling bercanggah.

 

 "Lebih cerewet guru anda,

lebih banyak ilmu yang dapat anda perolehi"

 

 Pembaca pruf yang berani ialah mereka yang tidak segan-segan untuk mencatit kesilapan yang mereka temui dan tidak keberatan untuk mengemukakan apa-apa cadangan pembaikan yang dirasakan perlu. Ciri ini penting kerana budaya masyarakat kita adakalanya menyebabkan seseorang pembaca pruf bersifat segan atau keberatan, lebih-lebih lagi jika mereka sedang membaca pruf penulisan seorang tokoh agama yang dipandang masyarakat.

Komited. Ini adalah satu ciri yang agak sukar dicari di kalangan umat Islam. Ada yang rajin membaca pruf beberapa bab yang awal, kemudian menjadi malas pada bab selebihnya. Ada yang membaca pruf dengan kaedah speed reading sehingga buku setebal tiga ratus mukasurat saiz A4 selesai dibaca pruf dalam masa sehari. Ada pula yang sebaliknya, buku setebal seratus mukasurat saiz A4 mengambil masa dua bulan dan empat puluh tiga suku hari untuk dibaca pruf.

Apabila anda meminta seseorang untuk membaca pruf, berikan dia satu tempoh (dateline) untuk menghabiskannya. Tempoh sebulan adalah sesuai untuk buku setebal seratus mukasurat saiz A4. Jika tempoh ini sudah luput dan dia masih belum habis membaca pruf, berikan peringatan kepadanya dan tetapkan tempoh yang baru, umpama seminggu. Jika tempoh baru juga sudah luput, maka abaikan pembaca pruf tersebut. Jangan jadikan orang yang tidak amanah sebagai faktor penghalang penulisan anda.

 

4.1.3    Jangan membaca pruf melalui komputer.

Apabila anda ingin menyerahkan tulisan untuk dibaca pruf, jangan sekadar menghantarnya melalui emel. Membaca pruf melalui skrin komputer adalah sama dengan tidak membaca pruf langsung. Banyak kesilapan yang akan terlepas pandangan oleh orang yang membaca prufnya. Tak percaya? Cuba hantar sebuah artikel lebih kurang sepuluh mukasurat kepada rakan anda melalui emel. Di tengah-tengah artikel itu, anda taip sesuatu yang lucu umpama: “Orang yang membaca tulisan ini amat busuk baunya.” Nescaya rakan anda tidak akan menyedarinya.

 

  "Membaca pruf melalui skrin komputer adalah sama

 dengan tidak membaca pruf langsung" 

 Justeru serahkan tulisan anda dalam bentuk bercetak. Sebaik-baiknya guna pencetak laser kerana ia lebih tajam dan jelas. Jangan guna pencetak di pejabat anda kerana ia akan melibatkan persoalan halal-haram. Sebaliknya pergi ke mana-mana cybercafe dan cetak di sana dengan dengan sedikit bayaran.

Jika anda banyak menulis, cuba pertimbangkan untuk membeli pencetak laser peribadi. Ia mungkin mahal tetapi kos operasinya amat rendah berbanding pencetak ink jet. Sebagai contoh saya menggunakan pencetak laser jenama Samsung yang dibeli pada tahun 2004 dengan harga RM1800.00. Ia mampu mencetak dengan kelajuan sepuluh helai seminit, setiap helai dicetak depan dan belakang sekali gus. Satu toner dakwat berharga RM400.00 boleh mencetak secara purata tujuh ribu helai. Semua ini menjimatkan masa dan kos saya.

 

4.1.4    Manfaatkan pembaca pruf anda.

Banyak berdiam diri akan menjemput ilmu, banyak berbicara akan menghalang ilmu. Demikian satu petua mudah yang saya gunakan sebagai petua untuk menuntut ilmu. Apabila ada orang memberi maklumbalas kepada anda, diam dan dengar. Bertanya hanya jika perlu. Biarkan orang itu selesai menyampaikan apa yang dia hendak sampaikan. Setelah itu anda menganalisa dengan mengambil apa yang bermanfaat dan menangguhkan apa yang dirasakan tidak bermanfaat. Jangan dibuang terus kerana apa yang tidak bermanfaat pada saat ini mungkin akan bermanfaat pada hari kemudian.

 

 "Jangan membantah pembaca pruf anda.

Bukankah anda sendiri yang memintanya

membaca pruf?"

 Jangan banyak berbicara, iaitu dengan membantah atau cuba membela pandangan anda. Sikap ini akan menyebabkan orang lain merasa tawar hati untuk memberi apa-apa maklumbalas selanjutnya kepada anda. Manakan tidak? Jika dibetulkan seayat, anda membantah seperenggan. Jika diberi cadangan sepatah dua, anda membela pandangan anda berjilid-jilid. Jika anda banyak berbicara, orang lain tidak akan berminat memberi apa-apa maklumbalas kepada anda kerana mereka merasakan anda tidak menghargainya. Akhirnya anda sendiri yang rugi.

Petua ini hendaklah juga digunakan apabila menerima hasil semakan pembaca pruf. Semak dan analisa pembetulan dan cadangan pembaikan yang dia kemukakan kepada anda. Jangan banyak bicara, jangan membantah. Ambil apa yang bermanfaat dan tangguhkan apa yang dirasakan tidak bermanfaat.

 

4.2  Mengadakan Tempoh Masak.

Buah mangga yang sudah besar memutik tentu menggiurkan selera anda. Akan tetapi jika anda membiarkannya di dahan untuk beberapa ketika sehingga masak, sudah tentu ia lebih sedap, lebih manis. Walaubagaimana pun jangan dibiarkan terlalu lama kerana dibimbangi ia akan jatuh ke tanah, busuk atau dimakan oleh burung.

Demikianlah juga dengan penulisan anda. Biarkan ia seketika untuk mencapai tempoh masaknya. Setelah itu baca semula dan buat apa-apa pembaikan terakhir (finishing touch). Tempoh masak yang optimum ialah satu bulan. Jangan dibiarkan terlalu lama kerana anda mungkin menjadi bosan dengannya.

Tempoh masak sebulan yang dicadangkan adalah selari dengan tempoh yang anda berikan kepada pembaca pruf untuk menyemak penulisan anda. Anda dapat manfaatkan semua ini sekali gus, seperti contoh berikut:

  • 15 Januari: Anda habis menulis dan menyerahkannya kepada para pembaca pruf.

  • 16 Januari hingga 15 Febuari: Para pembaca pruf anda sedang menyemak penulisan anda. Pada waktu yang sama tempoh ini juga menjadi tempoh masak penulisan anda.

  • 16 Febuari: Para pembaca pruf menyerahkan tulisan anda yang sudah habis disemak.

  • 17 Febuari: Anda memasukkan pembetulan dan cadangan para pembaca pruf ke dalam penulisan anda. Setelah itu anda membaca untuk kali terakhir sambil melakukan apa-apa pembaikan terakhir.

Jangan melakukan terlalu banyak pembaikan terakhir kerana ini akan menyebabkan tulisan anda perlu dibaca pruf semula. Lazimnya pembaikan terakhir hanya untuk mengemas kini pilihan perkataan dan susunan ayat.

 

4.3  Menerima Maklumbalas Pembaca.

Sekali pun anda telah menyerahkan penulisan anda untuk disemak oleh empat atau lebih pembaca pruf, pasti akan ada kesilapan yang terlepas pandang. Ini kerana kesempurnaan hanyalah milik Allah Subhanahu wa Ta'ala, bukan milik kita.

 

 "Penulis yang benar tidak akan takut untuk dihubungi oleh para pembacanya"

 

Oleh itu usaha menyemak sesebuah penulisan tidak berakhir dengan pembaca pruf. Ia adalah satu proses berterusan yang tidak mengenal titik noktah. Sedar atau tidak, para pembaca anda juga boleh menjadi pembaca pruf. Sambil membaca, mereka akan dapat mengesan sesuatu kesilapan atau mampu memikirkan cadangan pembaikan yang bernas.

Bagi memanfaatkan para pembaca anda sebagai pembaca pruf, anda perlu sediakan jalan mudah untuk mereka menghubungi anda. Cara terbaik ialah meletak alamat emel atau nombor talifon anda di bahagian awal buku. Melalui cara ini, anda bukan sahaja dapat menerima maklumbalas pembaca, tetapi juga dapat berkenalan dengan para pembaca anda. Sudah tentu ini sesuatu yang menyeronokkan, apatah lagi merupakan sesuatu yang sememangnya ditekankan oleh Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya:

 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu

lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

[al-Hujurat 49:13]

 

Sekali sekala anda akan dihubungi dengan pembaca yang amat marah dengan penulisan anda. Bertenanglah, dengan sedikit sembang-sembang ringan, permusuhan yang disangkakan ketat akan menjadi persahabatan yang rapat. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya:

 

Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat.

Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik;

apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

[Fussilat 41:34]

 

 "Apabila anda mendengar seseorang

 lazim berkata dia tidak tahu, maka bersaksilah bahawa

 dia ialah seorang yang berilmu"

 

 Sekali sekala juga para pembaca akan menghubungi anda untuk bertanya sesuatu persoalan agama. Jika anda tahu jawapannya, maka bantulah dia. Jika anda perlu mengkaji, maka tangguhkan dahulu. Jika anda tidak tahu, maka jawab “Saya tidak tahu”. Jangan gelisah untuk menerima soalan kerana ia sebenarnya adalah salah satu cara untuk anda belajar. Jangan takut untuk menjawab “Saya tidak tahu” kerana ia sebenarnya mengisyaratkan bahawa anda ialah seorang yang jujur terhadap ilmu. Para tokoh generasi awal pernah berpesan: “Apabila anda mendengar seseorang lazim berkata dia tidak tahu, maka bersaksilah bahawa dia ialah seorang yang berilmu”.

 

 

 

  kandungan