Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Panduan Membicara Sejarah Para Sahabat

 Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

 

 

Panduan Keempat:             

Setiap peristiwa sejarah hendaklah dinilai kewajarannya.

 

Jika kesahihan sesebuah hadis dinilai dari sudut sanad dan matannya, demikianlah juga kesahihan sesebuah peristiwa sejarah. Ia tidak sahaja dinilai dari sudut para penyampainya tetapi juga apa yang disampaikan. Di sini sesebuah peristiwa sejarah yang disampaikan hendaklah dinilai kewajarannya berbanding faktor tempat, zaman dan keadaan manusia saat itu. Jika faktor-faktor ini adalah tidak wajar, dapat dikenali bahawa peristiwa tersebut sebenarnya adalah tidak sahih. Sering kali sesebuah peristiwa sejarah didapati tidak wajar kerana ia telah dibesar-besarkan (exaggeration). Lebih menarik, peristiwa sejarah yang sering dibesar-besarkan ialah apa yang menyangkut peperangan dan harta benda. Al-Allamah Ibn Khaldun menerangkan hakikat ini:

 

“Apabila seseorang pembicara pada sesuatu zaman ingin menggambarkan tentang jumlah tentera sesuatu kerajaan itu atau semasanya dan apabila mereka bercakap fasal tentera Islam atau Kristian, atau ketika hendak menggambarkan hasil-mahsul dan jumlah wang yang dibelanjakan, apa yang dilakukan oleh orang kaya, semuanya itu didapati bagai sengaja dilebih-lebihkan, sesuatu yang melampaui apa yang sepatutnya, dan sesuatu yang hanya untuk membangkitkan perhatian umum semata. Apabila seseorang pegawai yang bertanggungjawab disoal tentang jumlah tenteranya, apabila barang-barang dan harta benda itu ditaksirkan, dan apa yang dibelanjai oleh si kaya-raya dilihat mengikut keadaan biasa, ternyata jumlah itu hanya mencapai 1/10 daripada apa yang telah dinyatakan tadi. Sebabnya mudah sekali, ia sengaja direka-reka untuk menarik perhatian.” [Muqaddimah, ms. xxiv]

 

 

Contoh terbaik peristiwa sejarah yang dibesar-besarkan sehingga melebihi batas kewajaran adalah jumlah pasukan yang terlibat dalam Perang Jamal dan Siffin serta jumlah yang terkorban daripadanya. Ambil sahaja Perang Siffin, disebut-sebut kononnya pasukan Ali berjumlah 90,000 orang manakala pasukan Muawiyah berjumlah 120,000 orang. Jumlah yang terkorban daripada kedua-dua pihak ialah 70,000 orang. Sedikit penelitian yang kritis akan mendapati jumlah di atas telah dibesar-besarkan berkali ganda sehingga lebih mirip kepada sebuah mitos dongeng. Perhatikan poin-poin berikut:

 

·        Sebelum ini diterangkan bahawa jumlah sahabat yang terlibat dalam Perang Siffin adalah tidak lebih daripada 30 orang. Maka siapakah yang membentuk baki selebihnya? Adakah mereka terdiri daripada orang-orang yang baru memeluk Islam? Hal ini tidak mungkin kerana orang-orang yang baru memeluk Islam akan menjadikan para sahabat yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada mereka sebagai tempat rujukan. Jika para sahabat ini tidak turut serta dalam Perang Siffin, maka mereka juga tidak akan turut serta.

 

·        Mungkinkah baki selebihnya adalah tentera upahan? Jawapannya tetap tidak mungkin kerana menggerakkan pasukan tentera dengan jumlah sebesar itu adalah sesuatu yang amat sukar lagi mustahil dari sudut logistik. Setiap anggota perlu terlebih dahulu dilatih dan diberi kelengkapan yang sesuai. Kemudian ketika bergerak ke medan peperangan, perlu disediakan bekalan makanan dan minuman yang mencukupi kepada setiap anggota pasukan, termasuk kepada haiwan tunggangan mereka. Perlu diingatkan bahawa pada zaman itu tidak ada kemudahan logistik yang membolehkan persiapan dan pergerakkan pasukan tentera secara besar-besaran dalam masa yang singkat.

 

·        Seandainya benar dua pasukan umat Islam yang amat besar telah terlibat dalam Perang Siffin, sudah tentu ia akan melemahkan kedudukan umat Islam secara keseluruhannya di mata musuh. Seterusnya pasti musuh-musuh ini akan mengambil kesempatan untuk menyerang mana-mana wilayah Islam. Ternyata hal ini tidak berlaku. Musuh Islam tetap gerun kepada umat Islam sepanjang tempoh itu, menunjukkan tidak ada dua pasukan umat Islam yang amat besar telah saling bertempur sesama mereka.

 

·        Disebut bahawa jumlah korban adalah 70,000 orang. Siapakah orang terpercaya yang menghitung jumlah ini? Jawapannya tidak ada.

 

·        Seandainya 70,000 orang telah menjadi korban, nescaya proses pengkebumian akan mengambil masa yang tersangat lama. Ini kerana pada zaman itu tidak ada jentera berat yang dapat mempercepatkan proses ini. Anehnya tidak ditemui kitab sejarah yang mencatit proses pengkebumian ini.

 

·        Akhir sekali, seandainya 70,000 orang gugur di Siffin, sudah tentu tempat itu akan menjadi lokasi arkeologi besar-besaran yang amat masyhur sekarang ini. Ia akan dibanjiri dengan para pengkaji arkeologi bagi meneliti susuk manusia, pakaian, kelengkapan mereka 1400 tahun yang lalu. Akan tetapi hal ini jelas tidak berlaku.

 

Berdasarkan penelitian yang adil terhadap poin-poin di atas, benarlah kenyataan al-Allamah Ibn Khaldun bahawa jumlah yang sebenar hanyalah 10 peratus daripada apa yang disebut-sebutkan. Malah tidaklah menjauhi kebenaran jika dikatakan jumlah yang sebenar adalah lebih kecil daripada 10 peratus. Sebagai contoh, kitab-kitab sejarah menyebut bahawa jumlah korban Perang Jamal adalah 10,000 orang. Akan tetapi Dr. Muhammad bin Shamil al-Sulami dalam kajian tesisnya mendapati jumlah yang sebenar adalah tidak lebih daripada 300 orang. [Tartib wa Tahzib Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari; Darul Haq, Jakarta, 2004), ms. 476] Jumlah ini hanyalah 3 peratus daripada jumlah yang disebut-sebut dalam kitab sejarah. Setakat ini penulis tidak menemui kajian khas tentang jumlah korban Perang Siffin. Namun tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa jumlahnya adalah sekitar satu hingga lima peratus daripada jumlah 70,000 yang disebut-sebutkan.

 

Pengajaran penting Panduan Keempat ini adalah, apabila ingin membicara sejarah para sahabat, hendaklah diperhatikan kewajarannya berbanding faktor tempat, zaman dan keadaan manusia saat itu. Hendaklah berbicara dengan pemikiran tajam yang bersifat menganalisa, lebih-lebih lagi apabila ia menyangkut peristiwa peperangan dan harta benda. Ini kerana pada kedua-dua peristiwa ini, lazimnya telah berlaku tokok tambah yang berganda-ganda. Ingat, sejarah para sahabat bukanlah novel pengembaraan yang boleh ditulis dan dibaca begitu sahaja dengan pemikiran yang tumpul lagi mendatar.

 

Panduan Pertama

Panduan Kedua

Panduan Ketiga

Panduan Kelima dan penutup 

 

Kandungan