|
|||||||||
|
Panduan Membicara Sejarah Para Sahabat Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
Panduan Ketiga: Setiap peristiwa sejarah hendaklah dinilai sama ada ia adalah sahih atau tidak.
Perlu diketahui bahawa sumber yang lazim digunakan untuk membicara sejarah para sahabat terbuka kepada pelbagai manfaat dan mudarat. Sumber yang dimaksudkan ialah kitab-kitab sejarah itu sendiri. Ini kerana tidak ada kitab sejarah yang ditulis ketika berlaku sesebuah peristiwa sejarah pada zaman sahabat. Kitab sejarah hanya ditulis beberapa dekad atau kurun selepas berlaku sebuah peristiwa berdasarkan riwayat-riwayat yang dicerita daripada seseorang kepada orang yang lain. Riwayat-riwayat inilah yang memenuhi kitab-kitab sejarah kita. Orang-orang yang menyampaikan peristiwa sejarah ini, hanya segelintir yang dipercayai dan boleh diambil pengkhabaran mereka. Bakinya yang majoriti terdiri daripada orang yang tidak dapat dipercayai, pendusta, pemfitnah, pengampu pemerintah, tukang cerita yang menokok tambah dan sebagainya.
Memang, para pengarang kitab sejarah telah mengemukakan nama-nama penyampai peristiwa sejarah agar orang-orang terkemudian dapat mengkajinya dan membezakan antara yang benar dan salah. Pun begitu, pada hakikatnya tidak ramai yang mampu atau mahu melakukan kajian dan pembezaan sedemikian. Tanpa kajian dan pemeriksaan ini, ditambah dengan kejahilan akan Panduan Pertama dan Kedua di atas, ramai penulis buku atau artikel sejarah hanya mengambil cerita-cerita yang menyeronokkan para pembacanya. Tidak ketinggalan adalah para penulis daripada aliran Syi‘ah, mereka memilih cerita-cerita yang dapat dijadikan sumber fitnah ke atas para sahabat.
Justeru melalui Panduan Ketiga ini, hendaklah setiap yang ingin membicara sejarah para sahabat terlebih dahulu menilai kesahihan sesuatu peristiwa sejarah yang bakal dibicarakan. Hendaklah peristiwa sejarah itu dirujuk kepada kitabnya yang asal agar dengan itu dapat ditemui nama para penyampainya. Kemudian dikaji sama ada para penyampai tersebut boleh dipercayai atau sebaliknya.
Tugas ini pasti amat memberatkan. Ia hanya mampu dilakukan oleh para tokoh yang menguasai kesemua kitab hadis dan sejarah dengan pengkhususan kepada ilmu sanad dan al-Jarh wa al-Ta’dil. Disebut “kitab-kitab hadis” kerana sumber-sumber sejarah para sahabat juga terhimpun di dalam kitab-kitab hadis dan ianya lebih terjamin kesahihannya berbanding kitab sejarah. Maka dengan itu ambillah sejarah para sahabat daripada para tokoh yang penulis sebutkan ciri-cirinya di atas. Manhaj ini jugalah yang diguna oleh penulis (Hafiz Firdaus) dalam artikel-artikel sebelum ini berkenaan pendirian para sahabat di sebalik Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Hasan dan Husain. Penulis tidak merujuk terus kepada kitab sejarah, sebaliknya terus kepada para tokoh yang telah meneliti kitab-kitab sejarah tersebut dan seterusnya membezakan antara yang hak dan batil.
Jika menghadapi kesukaran untuk mempraktikkan Panduan Ketiga ini, memadailah dengan Panduan Pertama dan Kedua di atas. Tenangkanlah diri dengan kedudukan para sahabat yang telah dipersaksikan oleh Allah dan Rasul-Nya serta pelbagai jasa mereka untuk membela dan menegakkan Islam. Janganlah diberi perhatian atau disebar-sebarkan riwayat tentang sejarah pertikaian para sahabat yang ditemui di sana sini. Ini kerana riwayat-riwayat sejarah tersebut kemungkinan besar adalah dusta atau ditokok tambah manakala kesaksian Allah dan Rasul-Nya adalah bebas daripada semua itu.
Al-Imam Ibn Baththah berpesan:
“Kita wajib menahan diri daripada pertikaian yang terjadi di antara sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Sebabnya, mereka telah melalui pelbagai peristiwa bersama Rasulullah dan telah mendahului manusia yang lain dalam hal keutamaan. Allah telah mengampuni mereka dan memerintahkan agar (umat Islam terkemudian) memintakan ampun untuk mereka dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan mencintai mereka. Semua itu Allah wajibkan melalui lisan Rasul-Nya.
Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, bahawa mereka akan saling berperang. Mereka memperoleh keutamaan daripada yang lainnya kerana segala kesalahan dan kesengajaan mereka telah dimaafkan. Semua pertikaian yang terjadi di antara mereka telah diampuni.
(Oleh itu) janganlah melihat (memberi perhatian) ulasan-ulasan tentang Perang Siffin, Perang Jamal, pertikaian di Dewan (Bani Sa‘idah) dan selainnya yang terjadi di antara mereka. Janganlah anda tulis untuk dirimu sendiri atau orang lain. Janganlah anda meriwayatkannya daripada seorang jua dan jangan pula membaca serta menyampaikannya kepada orang lain. Itulah perkara yang disepakati oleh para ilmuan umat Ini. Mereka sepakat melarang perkara yang kami sebutkan (di atas).” [al-Syarh wa al-Ibanah, ms. 268-269]
|
|||||||||