Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Panduan Membicara Sejarah Para Sahabat

 Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

 

Panduan Pertama:  

Menyedari bahawa sejarah yang bakal dibicara melibatkan sekumpulan manusia yang paling mulia sesudah para Rasul dan Nabi.

 

Pembicaraan sejarah para sahabat hendaklah dimulai dengan penetapan asas yang kukuh bahawa sejarah yang bakal dibicarakan bukanlah melibatkan calang-calang orang. Akan tetapi ia melibatkan sekumpulan manusia yang telah dipersaksikan kedudukan mereka oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Salah satu daripada sekian banyak persaksian tersebut adalah firman Allah (yang bermaksud):

 

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:100]

 

 

Dalam ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyebut para sahabat daripada kalangan Muhajirin, Ansar dan yang selepas mereka, Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah. Allah juga menjanjikan syurga yang kekal kepada mereka semua. Ayat di atas membuktikan kedudukan istimewa para sahabat yang dipersaksikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Persaksian Allah adalah berterusan daripada zaman kehidupan Rasulullah sehinggalah kepada zaman kewafatan para sahabat itu sendiri. Ini kerana Allah Maha Mengetahui perbuatan semua sahabat, sama ada yang sudah, sedang atau akan dilakukan.

 

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) mengulas:

 

“Para sahabat seluruhnya adalah adil di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Allah telah memuji mereka dalam kitab-Nya (al-Qur’an) dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah memuji mereka melalui sabda baginda. (Pujian ini merujuk kepada) seluruh akhlak dan perbuatan mereka. Juga terhadap pengorbanan harta dan jiwa yang mereka persembahkan demi membela Rasulullah, semata-mata mengharapkan balasan yang besar dan pahala yang mulia di sisi Allah.” [al-Ba‘its al-Hatsits (الباعث الحثيث) Syarh Iktishar ‘Ulum al-Hadits (diteliti dan disyarah oleh Ahmad Syakir, Dar al-Fikr, Beirut, 1996), ms. 127]

 

 

Oleh itu al-Imam Ibn Baththah rahimahullah (387H) mengingatkan:

 

“(Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) bersaksi bahawa seluruh kaum Muhajirin dan Ansar dijamin masuk syurga, mendapat keredhaan, diterima taubatnya dan memperoleh rahmat daripada Allah. Hendaklah anda meresapkan ilmu ini benar-benar dan engkau yakini dengan hatimu bahawa seorang yang telah melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, menyertai baginda, beriman kepada baginda dan mengikuti baginda meskipun sesaat adalah lebih utama daripada orang yang belum pernah melihat baginda dan belum pernah menyertai baginda sekalipun dia mengerjakan seluruh amal syurga.” [al-Syarh wa al-Ibanah ‘ala Ushul al-Sunnah wa al-Diyanah (diteliti oleh Redha bin Na’san Mu’thi; Maktabah al-Faisal, Mekah), ms. 263]

 

 

Justeru panduan yang pertama adalah menetapkan asas yang kukuh dalam diri kita bahawa apa yang bakal dibicara ialah perihal sejarah orang-orang yang diredhai dan dijamin kedudukan syurga oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Disebabkan mereka adalah orang-orang yang diredhai oleh Allah, hendaklah kita membicara sejarah mereka agar dengan itu kita juga memperoleh keredhaan Allah, bukan kemurkaannya. Disebabkan mereka adalah orang-orang yang dijamin kedudukan dalam syurga, hendaklah kita orang-orang yang belum terjamin kedudukannya membicara sejarah mereka agar dengan itu kita juga memperoleh tempat di dalam syurga, bukan neraka.

 

 

Panduan Kedua

Panduan Ketiga

Panduan Keempat

Panduan Kelima dan penutup 

 

 

Kandungan