|
Membongkar Aliran Islam Liberal Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
Kenapa Lahir Aliran Islam Liberal? Bagaimana Manhaj Islam Liberal?
|
Kenapa lahir aliran Islam Liberal? Sejak lebih kurang satu abad yang lepas, terdapat dua fenomena yang banyak mempengaruhi psikologi umat Islam. Pertama adalah fenomena ‘penjajahan’ oleh negara-negara Barat ke atas hampir seluruh negara umat Islam. Kedua adalah fenomena ‘ketinggalan’ dari sudut sains dan teknologi di belakang kebanyakan negara-negara Barat. Apabila berhadapan dengan dua fenomena di atas, sikap umat Islam boleh dibahagikan kepada empat:
Pertama adalah mereka yang merasa putus asa secara keseluruhan dan duduk diam menerimanya sebagai satu ketentuan yang sememangnya merendah dan memundurkan mereka.
Kedua adalah mereka berpendapat agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Justeru untuk menjadi umat yang berkuasa dan maju, Islam perlu dipisahkan daripada kehidupan harian. Formula pemisahan ini yang digelar sekularisme terbukti berkesan mengingatkan bahawa semua negara Barat yang berkuasa lagi maju mempraktikkannya.
Ketiga adalah mereka yang juga berpendapat bahawa agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Namun untuk menyelesaikan faktor penghalang ini, mereka berpendapat caranya ialah membuka dan membebaskan agama daripada ajaran dan tafsirannya yang sekian lama telah menjadi pegangan umat. Kelemahan dan kemunduran umat Islam dianggap berpunca daripada belenggu kejumudan umat dalam menafsir dan mempraktikkan agama Islam. Kumpulan ketiga inilah yang digelar sebagai aliran Islam Liberal.
Kelompok terakhir adalah mereka yang mengakui akan hakikat kelemahan dan kemunduran yang dialami umat. Namun hakikat ini tidak mereka persalahkan kepada agama atau selainnya kecuali terhadap diri mereka sendiri dan umat Islam seluruhnya yang telah leka daripada berpegang dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu untuk kembali kuat dan maju, umat Islam perlu mempelajari, memahami dan mempraktikkan semula secara sepenuhnya ajaran Islam yang asli lagi tulen. Formula ‘Islam Sekular’ atau ‘Islam Liberal’ tidak menjadi pilihan kelompok keempat ini kerana ia bukan cara untuk mencapai kekuatan dan kejayaan yang sebenarnya. Kekuatan dan kejayaan yang sebenar hendaklah diukur dengan necara wahyu Illahi yakni Islam yang berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah, bukan neraca peradaban Barat yang berteraskan materialisme dan hawa nafsu. Golongan keempat inilah yang benar. Insya-Allah dengan kesungguhan mereka, kekuatan dan kejayaan akan kembali ke tangan umat Islam. Yang paling menjauhi kebenaran adalah kelompok ketiga, iaitu kelompok Islam Liberal. Secara lebih terperinci, kelompok Islam Liberal adalah aliran yang muncul kerana kesan psikologi kekerdilan diri (inferiority complex) yang dihadapi oleh sebahagian umat Islam hasil penjajahan dan kemunduran yang dihadapi oleh mereka. Kesan kekerdilan ini diburukkan lagi dengan sikap tergiur lagi menyembah kepada negara-negara Barat yang menjajah lagi maju sehingga menyebabkan mereka sendiri terasa hina, bodoh, diperbudak dan hilang kejatian serta kebanggaan diri. Semua ini menghasilkan satu rumusan bahawa untuk mencapai kekuatan dan kemajuan, caranya adalah meniru segala formula peradaban yang dipraktikkan oleh negara Barat. Rumusan ini tidak akan berjaya selagi mana tidak dibuka dan dibebaskan tafsiran Islam daripada kejumudan pegangan umat selama ini.
|
|
|
HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1 Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah |
||