|
Membongkar Aliran Islam Liberal Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
Kenapa Lahir Aliran Islam Liberal? Bagaimana Manhaj Islam Liberal?
|
Bahaya Islam Liberal
Jika sebelum ini kaum Yahudi dan Nasrani telah mengubah ajaran-ajaran agama mereka, maka kini kita juga ada sebahagian umat beraliran Islam Liberal yang mengubah ajaran-ajaran Islam. Jika kita mengkaji secara mendalam tentang manhaj aliran Islam Liberal sepertimana yang disenaraikan di atas, mudah untuk disimpulkan bahawa mereka adalah sekelompok manusia yang menyembah akal dan mempertuhankan peradaban Barat dalam beragama. Mereka ingin bebas daripada penjajahan dan kemunduran, namun sayang sekali yang bebas hanyalah tubuh badan manakala pemikiran mereka masih terjajah dan mundur menjadi hamba kepada negara-negara Barat. Mereka ingin menjadi moden padahal kemodenan mereka hanya tiruan kepada model negara-negara Barat yang pada asalnya tidak mengkehendaki apa-apa kebaikan kepada mereka. Apakah erti kemodenan yang diikut-ikut jika ia mengorbankan maruah dan harga diri?
Mereka mencari kejayaan bukan dengan mengikuti manhaj yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala tetapi dengan manhaj mengikuti orang-orang bukan Islam. Dengan cara ini mereka berharap memperoleh kekuatan dan kemuliaan padahal kekuatan dan kemuliaan tersebut hanyalah milik Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini sebenarnya merupakan salah satu ciri orang munafik sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah. [al-Nisa’ 4:138-139]
Malah tidak berlebihan jika dikatakan bahawa aliran Islam Liberal sebenarnya ingin mencipta agama tersendiri, lalu menumpang sekaki di atas agama Islam demi mencari kekuatan dan kedudukan. Yang mereka inginkan bukanlah agama Allah dan Rasul-Nya tetapi agama akal dan peradaban manusia. Terhadap golongan seperti ini Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. [surah ‘Ali Imran 3:85]
Yang benar kita umat Islam yang beriman sama ada lelaki atau perempuan, tidak boleh mengubah apa-apa ketentuan yang telah dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Barangsiapa yang menukar, menambah, mengurang, menyeleweng dan sebagainya, mereka tergolong dalam orang-orang yang sesat sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzab 33:36]
Kejayaan tidak diukur berdasarkan nalar akal atau peradaban kaum lain tetapi diukur dengan nilai ketaatan kepada syari‘at Allah dan Rasul-Nya. Demikian itulah sikap orang-orang beriman yang berjaya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat", dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. [al-Nur 24:51]
|
|
|
HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1 Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah |
||