|
Menganalisa dan Menjawab Lima Alasan Mereka yang Menolak Penurunan ‘Isa Pada Akhir Zaman. Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
|
Alasan Keempat:
Mustahil Nabi ‘Isa ‘alaihissalam boleh hidup dalam jangka masa yang amat panjang.
Analisa dan Jawapan:
Jika peristiwa pengangkatan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam dan penurunannya pada akhir zaman diukur dengan logik akal, pasti ia tidak logik bahkan mustahil. Akan tetapi jika diukur dengan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala maka ia adalah benar lagi dapat berlaku. Sebagai contoh perhatikan dalam surah al-Kahf kisah beberapa sahabat yang berlindung di dalam gua (ayat 15-17). Lalu Allah Subhanahu wa Ta’ala menidurkan mereka (ayat 18) selama tempoh tiga ratus tahun (ayat 25).
Ini semua adalah kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bukan merupakan urusan yang boleh kita campur tangan di dalamnya – apatah lagi memikirkan logik atau tidak dari sudut akal. Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berkenaan kisah di atas: “Katakanlah: Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagi-Nya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatan-Nya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripada-Nya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukum-Nya.” [Surah al-Kahf 18:26]
Manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam persoalan seperti ini adalah menundukkan akal di bawah wahyu. Ini berbeza dengan ahli kalam, para falsafah, pemikir dan modernis di mana mereka mengunggulkan akal di atas wahyu. Yang dimaksudkan sebagai wahyu ialah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih. [lebih lanjut rujuk buku Mawqif al-Mutakallimin min al-Istidlal bi Nushushu al-Kitab wa al-Sunnah oleh Syaikh Sulaiman bin Shalih al-Ghashan (Dar al-‘Ashimah, Riyadh 1996)]
Akal dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk memahami wahyu, beriman kepadanya dan mempraktikkannya. Akal tidak berperanan menolak atau menghukum sumber wahyu sebagai mustahil. Wahyu adalah kalam Allah manakala akal adalah makhluk ciptaan Allah yang dikurniakan kepada manusia. Wahyu yang bersumber daripada Allah adalah sentiasa benar manakala akal yang bersumber daripada penalaran manusia tidak terlepas daripada pelbagai kelemahan dan kekeliruan. Justeru akal yang benar akan sentiasa selari dengan wahyu yang sahih. Sebaliknya jika wujud pertentangan antara wahyu yang sahih dan akal, maka yang perlu diperbetulkan ialah penilaian akal terhadap wahyu tersebut. Akal manusia sekali-kali tidak memiliki kemampuan untuk diunggulkan di atas wahyu yang sahih sehingga menghukumnya sebagai “tidak benar” atau mustahil. [lebih lanjut rujuk buku Muwafaqat Shahih al-Manqul li Shorih al-Ma’qul oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut)].
|
|
|
HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1 Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah |
||