|
Menganalisa dan Menjawab Lima Alasan Mereka yang Menolak Penurunan ‘Isa Pada Akhir Zaman. Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
|
Alasan Ketiga:
Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam adalah nabi terakhir dan penutup segala nabi berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” [Surah al-Ahzab 33:40]
Oleh itu tidak mungkin Nabi ‘Isa ‘alaihissalam akan turun selepas Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam.
Analisa dan Jawapan:
Jika dicermati semula hadis-hadis yang menerangkan penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam pada akhir zaman, akan didapati bahawa beliau turun tanpa membawa syari‘at baru. Sebaliknya beliau akan berhukum berdasarkan syari‘at Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam. Oleh itu al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (544H) telah menolak alasan ini dengan hujah: “Penurunan ‘Isa ‘alaihissalam dan pembunuhan dia terhadap Dajjal adalah benar lagi sahih di sisi Ahl al-Sunnah (wa al-Jama‘ah) berdasarkan hadis-hadis yang sahih berkenaannya. Dan tidaklah pada akal mahupun pada syari‘at ini sesuatu yang membatalkannya, maka oleh itu wajib menetapkannya. Dan hal ini (penurunan Nabi ‘Isa) telah diingkari oleh sebahagian aliran al-Mu’tazilah dan al-Jahmiyyah dan yang sefahaman dengan mereka dengan hujah bahawa hadis-hadis tersebut tertolak apabila dibandingkan dengan firman Allah Ta‘ala: “kesudahan segala Nabi-nabi” [surah al-Ahzab 33:40] dan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam: “Tidak ada nabi sesudah aku” dan berdasarkan kesepakatan kaum muslimin bahawa tidak ada nabi sesudah nabi kami (Muhammad) shallallahu ‘alaihi wassalam dan bahawasanya syari‘at Islam berkekalan hingga Hari Kiamat tanpa dimansuhkan.
Ini adalah penghujahan yang buruk kerana sesungguhnya tidaklah yang dimaksudkan dengan penurunan ‘Isa ‘alaihissalam sebagai penurunan nabi (yang baru) dengan syari‘at yang memansuhkan syari‘at kita. Dan tidaklah dalam hadis-hadis ini (dalam kitab Shahih Muslim) dan tidak juga selainnya apa-apa petunjuk yang membawa maksud sedemikian. Bahkan jelas daripada hadis-hadis yang sahih di sini (dalam bab ini – Kitab al-Fitan) dan apa yang telah mendahului dalam Kitab al-Iman dan selainnya bahawasanya (Nabi ‘Isa) turun sebagai hakim yang saksama dan beliau berhukum dengan syari‘at kita dan menghidupkan perintah-perintah daripada syari‘at kita apa yang telah ditinggalkan oleh manusia (pada waktu akhir zaman tersebut).” [Dinukil oleh al-Imam al-Nawawi rahimahullah (676H) dalam Syarh Shahih Muslim (tahqiq: ‘Irfan Haswani; Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut), jld. 9, ms. 199].
|
|
|
HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1 Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah |
||