|
“All aircraft this is Medan Control. We just had an
earthquake.
All systems seems to be normal and Medan airport
is still open.”
Demikianlah kata-kata pengawal lalulintas udara pada lebih
kurang pukul lapan setengah pagi pada 26 Disember 2004. Pada
ketika itu penulis sedang berada pada ketinggian 36,000 kaki
di ruang udara kawalan Medan Control dalam
penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Istanbul.
Mengganggap ia hanyalah gempa bumi yang kecil, perkara
tersebut terlepas daripada ingatan penulis sehingga esok
hari ketika menonton BBC World News di bilik hotel di
Istanbul. Jelas bahawa anggapan penulis adalah salah. Gempa
bumi tersebut yang sebenarnya berpusat di dasar lautan di
sebelah Barat kepulauan Sumatra sebenarnya telah melahirkan
ombak besar “Tsunami” yang menghempas tebing hampir
semua negara di sekeliling Lautan India. Malah ombak besar
ini juga mencecah ke tebing negara Somalia di pantai Timur
benua Afrika.
Pesanan ringkas (SMS)
dari Malaysia
Jumlah
kehilangan nyawa amatlah besar sehingga mencapai lebih
100,000. Dalam suasana memikirkan kedahsyatan malapetaka
tersebut, tiba-tiba talifon bimbit penulis berbunyi,
menandakan ada sebuah pesanan ringkas (SMS):
Al-Qur’an, surah Mayram, ayat 88-91: “Demi sesungguhnya,
kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian dan bumi
pula nyaris-nyaris terbelah (Tsunami 26 Disember), serta
gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka
mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak (Hari
Natal 25 Disember).” Sila sebarkan kepada orang ramai.
Penulis
tersentak seketika. Dalam suasana manusia seluruh dunia
sedang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa ombak besar,
ada umat Islam yang sibuk mencari ayat sebagai “dalil” bagi
peristiwa tersebut. Dalam suasana manusia seluruh dunia
bergegas mensedekahkan harta membantu mangsa, ada umat Islam
yang bergegas mencari ayat untuk menjustifikasikan peristiwa
tersebut.
Penulis
menjawab balik pesanan ringkas tersebut:
Tuhan
menunggu lebih 1400 tahun untuk melaksanakan ayat-Nya. Namun
apabila dilaksanakan, Tuhan terlepas satu hari! Sila
sebarkan kepada orang ramai agar kita sama-sama ketawa.
Maksud
penulis dalam pesanan ringkas di atas, seandainya benar
Allah Subhanahu wa Ta‘ala ingin menurunkan azab-Nya
kepada orang-orang yang menyambut Hari Natal pada 25
Disember, nescaya Allah akan melakukannya lama dahulu, tidak
pada tahun 2004. Lebih dari itu Allah dengan segala
kekuasaan-Nya akan menurunkan azab tersebut tepat pada
harinya dan tepat pada sasaran. Maha Suci Allah daripada
terlepas satu hari dan tersalah sasaran! Dikatakan terlepas
satu hari kerana Hari Natal disambut pada 25 Disember dan
bukannya 26 Disember. Dikatakan tersalah sasaran kerana
majoriti manusia yang terkesan dengan bencana Tsunami tidak
menyambut Hari Natal.
Sebenarnya pesanan ringkas yang penulis terima di atas
bukanlah perkara yang terpencil. Terdapat sebahagian umat
Islam yang memiliki sifat angkuh di dalam diri mereka di
mana dengan keangkuhan tersebut mereka berkata “padan muka”
kepada mana-mana kaum yang ditimpa musibah, sekalipun kaum
tersebut seagama dengan mereka. Tidak sekadar itu, mereka
juga dengan sendirinya melantik diri mereka menjadi
“Jurucakap Tuhan” untuk menerangkan kenapa Allah menurunkan
azab tersebut.
Menjadi “Jurucakap Tuhan”
Sebagai
seorang yang angkuh dan “Jurucakap Tuhan”, mereka mencipta
pelbagai alasan untuk menjustifikasikan sesuatu azab yang
berlaku ke atas sesuatu kaum. Sebagai contoh, sebelum ini
apabila berlaku banjir besar di Bangladesh, penulis pernah
mendengar di antara umat Islam ada yang berkata:
“Itulah azab Allah yang melanda. Orang Bangla tu banyak yang
tak betul Islam mereka!”
Apabila berlaku gempa bumi di bandar Bam di Iran yang
mengorbankan puluhan ribu nyawa, ada di antara umat Islam
yang berkata:
“Azab Allah turun kerana mereka itu orang Syi‘ah yang
sesat!”
Seandainya sesuatu
musibah berlaku pada zaman para sahabat radhiallahu
'anhum, mereka akan menangguh diri daripada sebarang
komentar sehinggalah berkesempatan untuk bertanya kepada
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
“Kenapakah ia
berlaku?” Rasulullah sendiri tidak akan memberi
apa-apa jawapan sehingga memperoleh wahyu daripada Allah
Subhanahu wa Ta‘ala. Ini kerana sekalipun kita beriman
bahawa setiap yang berlaku adalah dengan kehendak Allah,
menjadi satu kesalahan yang besar apabila kita membuat
andaian sendiri kenapa Allah melakukannya. Allah
Subhanahu wa Ta‘ala memberi amaran keras tentang hal
ini:
Katakanlah: “Sesungguhnya
Tuhanku hanya mengharamkan:
-
Perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata
atau yang tersembunyi;
-
Dan perbuatan dosa;
-
Dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang
benar;
-
Dan kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang
Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya);
-
Dan kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang
kamu tidak mengetahuinya. [al-A’raaf 7:33]
Diingatkan bahawa faktor
“kenapa” Allah melakukan sesuatu perkara tidak sama dengan
“kenapa” yang diandaikan oleh akal manusia. Malah adakalanya
ketidaksamaan tersebut benar-benar bertolak belakang. Firman
Allah:
Dan boleh jadi kamu benci
kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi
kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.
Dan
(ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu),
sedang kamu tidak mengetahuinya. [al-Baqarah 2:216]
Sikap yang sebenar
Sebagai umat Islam, sikap kita
yang benar bukanlah menjadi jurucakap Allah, tetapi menjadi
hamba yang bersyukur kepada Allah kerana terselamat daripada
apa-apa bencana. Kesyukuran tersebut hendaklah dibuktikan
dengan membantu sedaya mungkin orang-orang yang terkesan
dengan musibah.
Marilah kita membanding diri
kita dengan umat-umat daripada agama selain Islam. Dalam
suasana kita berkata:
“Itulah kaum yang
diturunkan azab Allah”, umat-umat agama lain berkata:
“Itulah kaum yang
sangat-sangat memerlukan pertolongan”. Dalam suasana
kita berkata:
“Demikianlah kesalahan yang dilakukan oleh satu kaum
sehingga layak ditimpa musibah”, umat-umat agama lain
berkata:
“Demikianlah musibah yang menimpa satu kaum sehingga mereka
layak menerima bantuan kita”. Dalam suasana kita
sibuk mencari ayat untuk menjustifikasikan musibah yang
menimpa satu kaum, umat-umat agama lain sibuk mencari
peralatan Search and Rescue untuk dibawa bersama
dalam misi penyelamat. Dalam suasana kita merasa selesa
mengingati diri yang terselamat daripada musibah, umat-umat
agama lain merasa berat mengingati mereka yang ditimpa
musibah. Sungguh, sangat berbeza sikap umat Islam berbanding
umat-umat agama lain.
Marilah dari saat ini kita
berubah sikap. Berubah bukan sahaja ke tahap yang menyamai
umat-umat lain tetapi melebihi mereka sebagaimana yang
dianjurkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan bagi tiap-tiap umat
ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu
berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana
sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua
(berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan);
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[al-Baqarah 2:148]
Dan kalau Allah
menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang
bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji
kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada
kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan.
Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia
akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
[al-Maidah 5:48]
|