|
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ, قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ
بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ
هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى
اللَّهِ
وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا
يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى
مَا هَاجَرَ
إِلَيْهِ.
Daripada ‘Umar bin al-Khaththab (semoga Allah meredhainya),
dia berkata, Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda)
bersabda: “Sesungguhnya amal itu tidak lain hanyalah dengan
niat dan sesungguhnya bagi setiap orang hanyalah apa yang
dia niatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah
dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan
Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah untuk dunia yang
dia inginkan atau kerana seorang wanita yang ingin dia
nikahi, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah
kerananya.
Kupasan # 1: Periwayat Hadis.
;
Kupasan # 2: Periwayatan Hadis.
;
Kupasan # 3: Kepentingan Hadis.
;
Kupasan # 4: Yang Dimaksudkan Dengan Niat.;
Kupasan # 5: Niat Hendaklah Disertai Dengan Keikhlasan.;
Kupasan # 6: Lawan Kepada Keikhlasan Ialah Riya’.
;
Kupasan # 7: Tempat Niat Adalah Di Dalam Hati.;
Kupasan # 8: Niat Dan Amal Hendaklah Sentiasa Bergandingan.
;
Kupasan # 9: Niat Dan Amal Hendaklah Sentiasa Benar.
Kupasan # 1: Periwayat Hadis.
Hadis ini
diriwayatkan oleh ‘Umar al-Khaththab. Nama penuh beliau
ialah ‘Umar bin al-Khaththab bin Nufail bin ‘Abd al-Uzza.
Beliau dilahirkan pada tahun 39 sebelum hijrah. Sebelum
memeluk Islam, beliau adalah antara musuh yang hebat kepada
dakwah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Walaubagaimanapun Rasulullah tidak memandang beliau sebagai
musuh yang patut dimusnahkan, tetapi sebagai orang yang
banyak manfaatnya, seandainya dia masuk Islam. Lalu
Rasulullah berdoa:
Ya Allah, muliakanlah agama Islam ini dengan orang yang
paling Engkau cintai di antara kedua orang ini, iaitu ‘Umar
(bin al-Khaththab) atau ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahal).
Dengan izin Allah, ‘Umar akhirnya memeluk Islam.
Diriwayatkan bahawa beliau adalah orang ke-52 yang memeluk
Islam. Setelah memeluk Islam, beliau terus berkhidmat secara
berani demi dakwah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam. Sebagai perbandingan, jika sebelum itu umat
Islam dalam ketakutan untuk beribadah di sekitar Ka’bah,
maka setelah ‘Umar memeluk Islam beliau dengan berani
mencabar sesiapa yang menghalang umat Islam daripada
beribadah di sekitar Ka’bah. Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh
berkata:
Islamnya ‘Umar adalah suatu kemenangan besar, hijrahnya
adalah keuntungan dan kepimpinannya adalah
rahmat.
Saya melihat sendiri bagaimana kami tidak mampu melakukan
solat di Baitullah sebelum ‘Umar menyatakan
keislamannya. Tatkala ‘Umar masuk Islam, dia menyatakan
perang kepada mereka (kaum Quraisy) sehingga mereka
membiarkan kami melakukan solat dengan bebas.
Sejak itu
‘Umar menjadi antara tokoh besar di kalangan para sahabat.
Beliau menyertai pelbagai ekspedisi dakwah dan jihad bersama
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Bahkan boleh
dikatakan bahawa ‘Umar sentiasa berada di sisi Rasulullah
dalam apa jua urusan, bersama-sama dengan Abu Bakar
al-Shiddiq radhiallahu 'anh.
Setelah
kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan
Abu Bakar radhiallahu 'anh, ‘Umar menjadi khalifah
umat Islam yang kedua. Manhaj kepimpinan beliau dianalisa
oleh para pengkaji sebagai antara yang terbaik dalam sejarah
manusia. Banyak perkara baru berkenaan kepimpinan negara
yang dimulakan oleh ‘Umar sehingga mendorong sebahagian
pengkaji untuk menyusun kitab yang khas dalam bab kepimpinan
‘Umar sahaja.
‘Umar
wafat pada tahun 24H setelah beberapa hari mengalami
kecederaan hasil tikaman seorang musuh yang bernama Abu
Lu’luah. Beliau menikam ‘Umar ketika ‘Umar sedang mengimami
solat Subuh di Madinah. Demikianlah keberanian ‘Umar
sehingga musuhnya tidak berani berhadapan secara terus
dengan beliau, tetapi perlu mencari jalan lain untuk
menumpaskannya.
‘Umar
dikebumikan bersama-sama dua orang yang sentiasa beliau
dampingi ketika masa hidupnya, iaitu bersebelahan dengan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan Abu Bakar
radhiallahu 'anh.
UP
Kupasan # 2: Periwayatan Hadis.
Hadis ini
diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab
Shahih masing-masing. Lafaz di atas adalah lafaz
Muslim. Berkata Imam al-Nawawi setelah mengemukakan hadis di
atas:
Diriwayatkan oleh dua imam ahli hadis, iaitu Abu ‘Abd Allah
Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin
Bardizbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj
bin Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi dalam kitab Shahih
masing-masing dan kedua-duanya merupakan kitab (hadis) yang
paling sahih yang pernah disusun.
Imam al-Bukhari rahimahullah dilahirkan pada tahun
194H di daerah Bukhara, kini terletak dalam negara
Uzbezkistan. Beliau mula mendalami ilmu hadis pada usia yang
awal. Pada umur 16 tahun beliau berhijrah ke Mekah untuk
menunaikan ibadah haji. Seterusnya beliau tinggal di sana
untuk menuntut ilmu. Pada umur 18 tahun, beliau menulis
kitab al-Tarikh al-Kabir yang memuatkan biografi para
perawi hadis. Kitab ini menjadi rujukan para ahli hadis
sehingga kini.
Sejak itu Imam al-Bukhari rahimahullah melakukan
banyak pengembaraan demi mencari ilmu, khasnya dalam ilmu
hadis. Diriwayatkan bahawa beliau memiliki lebih daripada
1,080 orang guru. Imam al-Bukhari rahimahullah wafat
pada tahun 256H.
Peninggalannya yang paling berharga ialah kitab Shahih
al-Bukhari. Selain itu ialah kitab al-Tarikh
al-Ausath dan al-Tarikh al-Shagheir, kedua-duanya
berkenaan biografi perawi hadis dan al-Adab al-Mufrad
berkenaan adab dan akhlak. Kitab Shahih al-Bukhari
dan al-Adab al-Mufrad telah diterjemahkan ke bahasa
Indonesia dan Inggeris.
Imam Muslim rahimahullah lahir di Naisabur pada tahun
204H. Beliau dilahirkan dalam kalangan ilmuan Islam, di
bandar yang terkenal juga sebagai pusat ilmu-ilmu Islam.
Beliau mula mendalami ilmu hadis ketika berumur 12 tahun.
Banyak mengembara ke pelbagai wilayah Islam demi mencari
hadis. Antara guru beliau ialah Imam al-Bukhari. Imam Muslim
wafat pada tahun 261H.
Seperti gurunya, Imam Muslim rahimahullah juga
meninggalkan kepada umat Islam sesuatu yang amat berharga,
iaitu kitab Shahih Muslim. Kitab ini, bersama-sama
kitab Shahih al-Bukhari, adalah dua kitab hadis yang
paling sahih yang pernah disusun. Demikian pengiktirafan
Imam al-Nawawi rahimahullah sepertimana di atas dan
ini dipersetujui oleh para ilmuan Islam yang jujur
seluruhnya.
UP
Kupasan # 3: Kepentingan Hadis.
Hadis ini memang memiliki kedudukan yang penting kepada umat
Islam. Ini sedia terisyarat dengan tindakan Imam al-Nawawi
rahimahullah yang meletakkannya sebagai hadis yang
pertama daripada 40 hadis yang disusunnya. Sebelum itu, Imam
al-Bukhari rahimahullah juga telah meletakkan hadis
ini sebagai yang pertama dalam kitab Shahihnya. Ibn
Rajab al-Hanbali rahimahullah menerangkan sebabnya:
Al-Bukhari memulai kitabnya al-Shahih dengan hadis
tersebut dan menempatkannya sebagai Kata Pengantar
sebagai isyarat bahawa semua amal perbuatan yang tidak
dimaksudkan dengan keredhaan Allah adalah batil dan tidak
ada hasilnya di dunia dan akhirat. Oleh kerana itu ‘Abd
al-Rahman bin Mahdi berkata: “Seandainya aku menulis bab-bab
(dalam sebuah buku), aku pasti meletakkan hadis ‘Umar
al-Khaththab tentang seluruh amal perbuatan harus dengan
niat pada setiap bab.”
Abu Daud al-Sijistani rahimahullah berkata:
Aku menulis hadis daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam sebanyak 500,000 buah. Kesemua hadis itu aku
saring sepertimana yang termuat dalam kitabku al-Sunan
(Sunan Abu Daud) hingga akhirnya berjumlah 4,800
buah hadis. Di antara hadis-hadis tersebut ada empat hadis
yang sudah cukup bagi manusia demi agama mereka.
Keempat-empat hadis tersebut adalah:
-
“Sesungguhnya amal itu tidak lain hanyalah dengan niat”
-
“Di antara kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan
sesuatu yang tidak berguna baginya.”
-
“Orang mukmin tidak menjadi mukmin sehingga tidak dia redha
untuk saudaranya melainkan apa yang dia redha untuk dirinya
sendiri.”
-
“Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.”
UP
Kupasan # 4: Yang Dimaksudkan Dengan Niat.
Niat adalah gerak hati, kehendak dan keazaman untuk
melakukan sesuatu perkara, sama ada ianya baik atau buruk.
Al-Baidhawi rahimahullah berkata:
Niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai
dengan tujuan, baik yang mendatangkan manfaat atau menolak
mudarat.
UP
Kupasan # 5: Niat Hendaklah Disertai Dengan Keikhlasan.
Niat yang dikehendaki oleh Islam bukanlah semata-mata gerak
hati tetapi gerakan yang ikhlas kerana Allah Subhanahu wa
Ta‘ala. Oleh kerana itulah dalam hadis di atas,
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut:
Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya
maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan
barangsiapa yang berhijrah untuk dunia yang dia inginkan
atau kerana seorang wanita yang ingin dia nikahi, maka
hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah kerananya.
Pengajaran hadis tidak terhad kepada peristiwa hijrah tetapi
umum kepada apa jua amal yang kita buat, baik ia adalah amal
khusus kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau ibadah
umum di antara sesama manusia. Imam al-Hafiz Ibn Hajar
al-‘Asqalani rahimahullah menegaskan:
Syaikh al-Islam
mengatakan: “Konteks penjelasan hadis tersebut adalah umum
walaupun mempunyai sebab yang khusus.” Maka kita dapat
mengambil kesimpulan bahawa yang menjadi dasar dalam
menentukan hukum adalah lafaz nas secara umum, bukan
sebab-sebab yang khusus.
Gerak hati yang ikhlas kerana Allah tidaklah bererti sesuatu
amalan itu tidak boleh dilakukan untuk tujuan-tujuan yang
lain. Boleh dilakukan sesuatu amalan dengan niat yang lebih
dari satu dengan syarat yang pertama dan tertinggi ialah
ikhlas kerana Allah. Sekali lagi, penjelasan Imam al-Hafiz
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjadi rujukan:
Imam al-Ghazali menggariskan bahawa apabila keinginan untuk
memperoleh dunia lebih besar daripada keinginan untuk
mendekatkan diri kepada Allah, maka orang tersebut tidak
mendapat pahala. Begitu pula, apabila terjadi keseimbangan
antara kedua-duanya antara keinginan untuk mendapatkan dunia
dan mendekatkan diri kepada Allah, dia tetap tidak mendapat
pahala. Akan tetapi apabila seseorang berniat ibadah dan
mencampurkannya dengan keinginan selain ibadah yang dapat
mengurangi keikhlasan, maka Abu Ja’far al-Thabari telah
menukil pendapat para ulama’ Salaf bahawa yang harus
menjadi tolok ukuran adalah niat awal. Apabila dia memulai
dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka
perubahan niat (dalam hal-hal seterusnya) tidak menggugurkan
pahalanya.
Contoh beramal dengan lebih daripada satu niat ialah seorang
yang pergi menunaikan solat secara berjamaah. Niatnya yang
pertama ialah ikhlas kerana Allah manakala niatnya yang
kedua ialah ingin berbincang dengan beberapa ahli jamaah
yang lain dalam hal-hal tertentu. Contoh kedua ialah seorang
yang berpuasa sunat, niatnya yang pertama ialah ikhlas
kerana Allah manakala niatnya yang kedua ialah menjaga
kesihatan dirinya. Contoh ketiga ialah orang yang pergi
menunaikan ibadah haji. Niatnya yang pertama ialah ikhlas
kerana Allah manakala niatnya yang kedua ialah ingin
melakukan perniagaan jual beli. Allah 'Azza wa Jalla
berfirman:
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari
Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan
Haji).
[al-Baqarah 2:198]
UP
Kupasan # 6: Lawan Kepada Keikhlasan Ialah Riya’.
Jika ikhlas ialah beramal kerana Allah maka riya’ ialah
beramal kerana manusia. Perkataan riya’ berasal daripada
perkataan Ru’yah yang bererti melihat. Oleh itu riya’
ialah mengingini agar orang ramai melihat kepada amalannya.
Sebagai contoh ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
berikut ini:
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar
dari negerinya (untuk berjihad di jalan Allah) dengan
berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (riya’) kepada orang
ramai.
[al-Anfal 8:47]
Riya’ ialah satu penyakit hati yang amat besar padahnya.
Sekalipun seseorang itu melakukan amalan yang amat besar
lagi berat, jika dia riya, amal tersebut tidak membawa
apa-apa manfaat kepada dirinya. Malah ia akan menjadi
penyebab kepada azab di akhirat. Masih merujuk kepada contoh
ayat di atas, hadis berikut menerangkan padah orang yang
keluar berjihad kerana riya’:
Sesungguhnya manusia yang pertama dihitung ke atasnya pada
Hari Kiamat adalah orang yang mati syahid. Maka dia dibawa
dan (Allah) memperkenalkan kepadanya akan segala nikmat-Nya
lalu dia mengenalinya. (Kemudian) Allah berfirman: “Maka
apakah yang telah engkau lakukan terhadapnya (nikmat-nikmat
tersebut) ?”
Dia menjawab: “Aku berperang pada (jalan) Engkau sehingga
aku mati syahid.”
Allah berfirman: “Engkau berdusta, akan tetapi engkau
berperang supaya diperkatakan: Dia seorang yang berani maka
sungguh telah diperkatakan (oleh orang lain).”
Kemudian diperintahkan (para malaikat kepada)nya, maka
diseret di atas mukanya sehingga dilemparkan ke dalam neraka.
Riya’ boleh berlaku pada tiga peringkat ketika seseorang itu
beramal:
-
Sebelum dia beramal, seperti contoh ayat dan hadis di atas
yang menerangkan seseorang yang keluar berjihad kerana
riya’. Amalnya ditolak oleh Allah.
-
Semasa beramal, yakni seseorang itu pada asalnya ikhlas
dalam beramal. Akan tetapi ketika sedang beramal dia
didatangi dengan sifat riya’. Amalnya ditolak oleh Allah
kecuali jika sifat riya’ tersebut segera dipadamkan secepat
dan semaksima mungkin.
-
Selepas beramal, yakni seseorang yang pada asalnya ikhlas
dalam beramal dari mula hingga akhir. Akan tetapi setelah
itu dia didatangi sifat riya’. Amalnya akan diterima oleh
Allah sehinggalah ke saat dia didatangi dengan sifat riya’
tersebut. Pada saat itu, amalnya tidak lagi diterima oleh
Allah kecuali jika dia segera berusaha memadamkannya secepat
dan semaksima mungkin.
Penerangan Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah berikut
ini menjelaskan lagi poin kedua dan ketiga di atas:
Jika sejak awal amal itu adalah kerana Allah lalu kemudian
niat riya’ muncul, jika pengamal segera menghilangkannya,
maka itu (kemunculan riya’) tidak membahayakan pengamal.
Tidak ada perbezaan pendapat (di kalangan ilmuan) dalam hal
ini.
Terdapat beberapa petanda bagi seseorang itu mengukur
dirinya sama ada dia memiliki sifat riya’:
-
Merasa lebih bersemangat apabila beramal di hadapan orang
ramai berbanding bersendirian.
-
Mengharap-harapkan pujian daripada orang ramai terhadap
amalannya. Merasa tidak senang jika tidak ada pujian yang
diberikan atau pujian yang diberikan tidak mencukupi.
-
Merasa tidak selesa jika amal tersebut dilakukan secara
berkumpulan. Ini kerana penghargaan akan diberikan kepada
semua ahli kumpulan dan tidak kepada dirinya seorang.
Walaubagaimanapun perlu dibezakan antara orang yang
sememangnya lazim beramal secara sendirian atau berkumpulan.
Jika dia lazim beramal secara bersendirian kerana
berpendapat itu lebih efektif, maka ia tidaklah dinamakan
riya’.
Terdapat beberapa langkah untuk menghindari dan menepis
sifat riya’ daripada diri seseorang:
1.Menginsafi bahawa riya’ adalah salah satu penyakit hati yang
buruk padahnya. Hadis di atas berkenaan orang yang berperang
kerana riya’ patut menjadi sumber iktibar. Ini kerana jika
satu amal yang amat berat lagi besar seperti berjihad
sehingga gugur syahid tetap ditolak kerana riya’, apatah
lagi amal-amal yang lain.
2.Menyedari
bahawa mencari kemuliaan di sisi manusia hanyalah bersifat
relatif dan sementara. Ia bersifat relatif kerana apa yang
dianggap mulia di sisi sebahagian orang mungkin dianggap
hina di sisi sebahagian yang lain. Ia bersifat sementara
kerana apa yang dianggap mulia pada saat ini mungkin
dianggap hina pada saat akan datang sekalipun di sisi orang
yang sama. Oleh itu kemuliaan tidak sepatutnya dicari di
sisi manusia tetapi hendaklah dicari di sisi Allah kerana ia
bersifat tetap dan berkekalan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala
berfirman:
Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah
segala kemuliaan. [Fatir
35:10]
3.Melazimkan diri bersahabat dan bersama kalangan orang-orang
yang memiliki ciri-ciri yang mulia di sisi Allah. Ini kerana
ciri-ciri orang dipersekitaran kita sangat memberi kesan
kepada diri kita sendiri, sama ada kita menyedarinya atau
tidak. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
berpesan:
Sesungguhnya perumpamaan teman yang salih dan teman yang
buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup
tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi,
boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak
wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau
kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api
seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar
pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat
bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi).
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat
dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada
waktu pagi dan petang, yang mengharapkan wajah Allah
semata-mata;
Dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka
hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan
janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya
lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di
dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan
tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
[al-Kahfi 18:28]
4. Berdoa kepada Allah agar dipelihara daripada sifat riya’.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita
sebuah doa yang amat baik:
Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada
menyekutukan Engkau padahal aku mengetahui dan aku memohon
keampunan Engkau (daripada menyekutukan Engkau dengan
sesuatu) yang tidak aku ketahui.
Doa di atas mengajar kita berlindung daripada menyekutukan
Allah. Riya’ ialah salah satu bentuk penyekutuan terhadap
Allah (syirik) berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam berikut ini:
“Mahukah aku khabarkan kepada kalian dengan sesuatu yang
lebih aku bimbangi ke atas kalian daripada al-Masih
al-Dajjal?” Perawi berkata: Kami berkata: “Sudah tentu!”
Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “(Ia
adalah) syirik yang tersembunyi, yakni seseorang yang
bersolat lalu dia memperkemaskan solatnya kerana mendapati
ada orang yang memandangnya.”
5.
Segera mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala apabila
tiba-tiba terlintas sifat riya’ dalam diri yang asalnya
ikhlas kerana ia adalah bisikan syaitan:
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka
disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka
ingat (kepada Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan
yang benar).
[al-A’raaf 7:201]
Perlu dibezakan bahawa menghindari riya’ tidaklah bererti
menjauhkan amalan di hadapan orang ramai. Janganlah atas
alasan menghindari riya’ seseorang itu meninggalkan
amalan-amalan yang bermanfaat untuk orang ramai.
Ada
beberapa amalan yang memiliki kaitan dengan orang ramai yang
tidak dikira sebagai riya’, antaranya:
1. Melakukan amalan di hadapan orang ramai sebagai pendorong
kepada mereka untuk melakukan hal yang sama juga. Ini tidak
dianggap sebagai riya’ dengan syarat niatnya yang pertama
adalah ikhlas. Sebagai contoh ialah dalam bersedekah:
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang),
maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang
baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu
serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu
adalah baik bagi kamu.
[al-Baqarah 2:271]
2. Bersungguh-sungguh dalam beramal demi mencapai kecemerlangan
tidak dikira sebagai riya’. Seperti seorang pekerja yang
bersungguh-sungguh dalam kerjanya di pejabat, seorang
pengajar yang bersungguh-sungguh mendidik muridnya dan
seorang tuan rumah yang bersungguh-sungguh mengemas rumah
serta menyediakan masakan demi memuaskan tetamunya.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu
beramal, dia beramal dengan cemerlang.
3. Menerima penghargaan daripada orang ramai atas amalan yang
dilakukannya, seperti seseorang yang diberi penghargaan atas
usaha-usaha kebajikannya. Ia tidak dikira sebagai riya’
selagi mana syarat asal dia berbuat kebajikan ialah bukan
untuk menerima penghargaan tersebut. Memberi penghargaan
atau berterima kasih kepada orang yang berbakti adalah
dianjurkan dalam Islam berdasarkan sabda Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak
berterima kasih kepada manusia.
4. Menerima pujian bagi amal yang dilakukan. Pujian terbahagi
kepada dua jenis, yang terpuji dan yang tercela. Pujian yang
terpuji adalah sekadar menerangkan apa yang baik dan
bermanfaat agar orang yang melakukannya dapat mengenali apa
yang baik dan bermanfaat dalam amalannya. Dengan mengenali
apa yang baik dan bermanfaat, dia dapat meneruskan amalan
tersebut dan memperluaskannya. Pujian yang tercela adalah
yang berlebih-lebihan sehingga boleh merosakkan keikhlasan
orang yang beramal.
Abu Zar radhiallahu 'anh pernah bertanya kepada
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang
seorang yang beramal lalu dia dipuji oleh manusia.
Rasulullah menjawab:
Ia adalah sebahagian daripada berita gembira bagi orang yang
beriman.
Inilah yang dimaksudkan sebagai pujian yang terpuji dan yang
dibolehkan.
Dalam ketika yang lain Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam pernah bersabda:
Apabila kalian melihat orang-orang yang (berlebih-lebihan
dalam) memberi pujian,
maka simbahlah muka mereka dengan
debu.
Inilah yang dimaksudkan sebagai pujian yang tercela.
5.Menampilkan diri sendiri jika yakin ia dapat membawa
manfaat. Ini berdasarkan tindakan Nabi Yusuf
‘alaihissalam yang berpesan kepada salah seorang banduan
yang bakal dibebaskan agar mengkhabarkan kepada Raja tentang
kepandaiannya menafsir mimpi:
Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang dia percaya akan
terselamat
di antara mereka berdua: “Sebutkanlah perihalku
(yang pandai menafsir mimpi)
kepada tuanmu.”
[Yusuf 12:42]
UP
Kupasan # 7: Tempat Niat Adalah Di Dalam Hati.
Tempat niat adalah di dalam hati seseorang. Oleh itu tidak
perlu melafazkan niat apabila ingin melakukan sesuatu
amalan. Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah berkata:
Niat adalah
keinginan melakukan sesuatu dan tempatnya adalah di hati. Ia
sama sekali tidak ada kaitan dengan lisan. Oleh kerana itu
tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi shallallahu
'alaihi wasallam, juga tidak daripada para sahabat
tentang lafaz niat. Demikian pula kita tidak mendengar
daripada mereka tentang disebutkan niat tersebut.
Melafazkan niat dengan lisan
bukan sahaja tidak perlu tetapi sia-sia kerana yang diambil
kira oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah apa yang
ada di dalam hati dan bukannya di lisan. Abu ‘Ubaidah
Masyhur bin Hasan hafizahullah berkata:
Ijma’ para ulama’
bahawa jika ucapan lisan tidak sesuai dengan kata hati, maka
yang dianggap sah (yang diambil kira) adalah yang ada dalam
hati. Ijma’ ini diceritakan oleh al-Nawawi dalam al-Majmu
Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 376. Jika demikian apa
faedahnya melafazkan niat jika ijma’ ulama’ mengatakan
bahawa yang dianggap sah adalah kata hati, bukan apa yang
diucapkan di lisan.
Lebih dari itu, melafazkan niat
di lisan menjadi medan untuk syaitan mengganggu seseorang
memulakan ibadahnya. Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah
meneruskan:
Adapun beberapa
bentuk lafaz niat yang diada-adakan ketika permulaan untuk
bersuci (wudhu’) dan bersolat, ia dimanfaatkan oleh syaitan
sebagai senjata bagi orang yang selalu was-was. Syaitan
menyeksa mereka dengannya, terus menerus menekan mereka agar
mencari pembenarannya. Oleh itu engkau melihat salah seorang
daripada mereka selalu mengulang-ulang niat dan lafaz
tersebut padahal ia bukanlah bahagian daripada solat.
Oleh itu sekali lagi ditegaskan, tempat niat adalah di dalam
hati dan bukannya di lisan. Tidak perlu menzalimi diri
sendiri dengan bersusah payah melafazkan niat di lisan.
Sebahagian para ilmuan ada yang mengesyorkan agar niat
dilafaz dengan lisan. Pengesyoran mereka hanya bagi
orang-orang yang sering ragu-ragu agar apa yang ada di lisan
dapat mengukuhkan apa yang ada di hati. Akan tetapi
perlafazan tersebut hanyalah sekadar “Inilah wudhu’ aku”
atau “Inilah solat Zohor aku”.
Melafazkan niat di lisan boleh membawa kepada kesalahan yang
besar apabila seseorang itu beriktikad ia adalah sebahagian
daripada agama atau apabila ia mengganggu orang lain ketika
solat berjamaah. Al-Qadhi Abu al-Rabi’ rahimahullah
berkata:
Mengeraskan suara ketika membaca lafaz niat dan ayat-ayat
al-Qur’an
ketika bersolat sebagai makmum bukanlah termasuk perbuatan
sunnah, malah dianggap makruh. Jika yang dikerjakan itu
boleh mengganggu orang yang sedang solat, maka hukumnya
menjadi haram. Barangsiapa yang mengatakan bahawa
mengeraskan suara ketika membaca niat termasuk perbuatan
sunnah, maka pendapat itu tidak benar. Tidak halal baginya
dan sesiapa jua mengatakan sesuatu tentang agama Allah
Subhanahu wa Ta‘ala tanpa dilandasi ilmu.
UP
Kupasan # 8: Niat Dan Amal Hendaklah Sentiasa Bergandingan.
Jika diperhatikan semula hadis di atas, Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam mengaitkan niat dengan
amal. Oleh itu kedua-dua perkara ini, niat dan amal,
sentiasa bergandingan. Tidak boleh berniat sahaja tanpa
amal. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Oleh itu sesiapa yang berharap akan pertemuan dengan
Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang salih dan
janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya
kepada Tuhannya.
[al-Kahfi 18:110]
Terdapat dua unsur penting dalam ayat di atas yang saling
mengikat antara satu sama lain. Jika salah satu daripadanya
terpisah, maka gugurlah kedua-duanya:
1.
Keikhlasan niat, yakni “…berharap akan pertemuan
dengan Tuhannya…” dan “…janganlah dia
mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
2.
Amal perbuatan, yakni “…hendaklah dia mengerjakan amal
yang salih…”
Tidak boleh berniat sahaja lalu dengan sengaja meninggalkan
amal. Ini sebagaimana yang berlaku kepada sebahagian orang
sekarang ini di mana mereka mendakwa berniat melakukan
sesuatu amal yang baik di sisi agama namun niat tersebut
secara sengaja tidak diterjemahkan kepada perbuatan.
Contohnya ahli-ahli segelintir tareqat tasawuf yang kononnya
hanya mencukupkan diri dengan niat solat tanpa melakukan
solat itu sendiri.
Pada waktu yang sama tidak boleh berniat untuk menjauhi
kemungkaran akan tetapi tetap melakukannya. Ini sebagaimana
yang berlaku kepada sebahagian lain yang melakukan amal yang
salah di sisi agama, lalu apabila ditegur akan kesalahannya
itu dia menjawab “Yang penting ialah apa yang ada di dalam
hati.”
Dalam perenggan di atas, penulis menggunakan perkataan
“sengaja meninggalkan amal” kerana jika seseorang itu
berniat untuk melakukan sesuatu amal lalu ia terhalang
secara tidak sengaja, maka dia tetap mendapat pahala ke atas
niatnya tersebut. Inilah anugerah daripada Allah yang Maha
Pengasih lagi Penyayang. Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda:
Barangsiapa yang ingin melakukan amal kebaikan akan tetapi
dia tidak melakukannya, ditulis baginya satu kebaikan. Dan
barangsiapa yang ingin melakukan amal kebaikan lalu dia
melakukannya, ditulis baginya sepuluh sehingga digandakan
kepada tujuh ratus. Dan barangsiapa yang ingin melakukan
amal keburukan lalu dia tidak melakukannya, tidak ditulis
(apa-apa kesalahan baginya) dan jika dilakukan, ditulis
baginya (pada kadar kesalahan tersebut).
UP
Kupasan # 9: Niat Dan Amal Hendaklah Sentiasa Benar.
Niat dan amal hendaklah sentiasa benar. Niat yang benar
ialah ikhlas kepada Allah. Ini sebagaimana yang diterangkan
dalam salah satu kupasan di atas. Amal yang benar ialah apa
yang selari dengan petunjuk Allah dan Rasul-Nya, iaitu
al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih daripada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam. Niat yang benar tetapi
amal yang salah atau yang tercemar antara yang tulen dan
palsu tidak akan memberi manfaat kepada seseorang.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru dalam
urusan kami ini (agama) apa yang tidak berasal daripadanya
(daripada agama), maka ia tertolak.
Oleh kerana itu apabila membaca firman Allah:
Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)
untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di
antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa
(membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang
yang bertaubat).
[al-Mulk 67:02],
al-Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah,
seorang tokoh zaman awal Islam berkata:
Yang dimaksudkan dengan “yang lebih baik amalnya” pada ayat
di atas ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Jika amal
itu adalah ikhlas tetapi tidak benar maka ia tidak diterima.
Jika amal itu adalah benar tetapi tidak ikhlas maka ia juga
tidak diterima sehinggalah amal tersebut menjadi ikhlas dan
benar. Ikhlas ialah jika amal tersebut (dilakukan) kerana
Allah 'Azza wa Jalla manakala benar ialah jika amal
tersebut sesuai dengan al-Sunnah.
Oleh itu hendaklah setiap orang yang ingin beramal tidak
sekadar memerhatikan keikhlasan dirinya tetapi juga menyemak
kebenaran amal yang bakal dilakukannya. Semakan adalah pada
tolok ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, bukan
amalan majoriti atau turun temurun. Tiada jalan mudah
melainkan memperbanyakkan ilmu agar keikhlasan dalam beramal
sentiasa bergandingan dengan kebenaran dalam beramal.
Pengajaran Penting Daripada Kupasan Hadis No: 1:
-
Niat
ialah gerak hati, kehendak dan keazaman untuk melakukan
sesuatu ikhlas kerana Allah.
-
Tidak
mengapa jika niat digandingkan dengan sesuatu tujuan
lain dengan syarat keikhlasan kerana Allah menduduki
tempat yang pertama.
-
Lawan
kepada ikhlas adalah riya’, iaitu beramal dengan niat
mempamerkannya demi mencari kemuliaan di sisi manusia.
-
Tempat niat adalah di dalam hati, bukan di lisan.
-
Niat
Dan Amal Hendaklah Sentiasa Bergandingan.
-
Niat
Dan Amal Hendaklah Sentiasa Benar.
UP
TOP |