|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
1] Penggunaan Tangkal dan azimat: Menurut Pandangan penulis Pada pandangan penulis, pilihan yang lebih selamat dan terpelihara ialah tangkal dan azimat tetap terlarang tanpa mengira sama ada dijampi dengan kalimah-kalimah Allah atau tidak. Sebab-sebabnya adalah: [1] Hadis-hadis yang melarang penggunaan tangkal dan azimat adalah umum tanpa mengambil kira sama ada ia dijampi dengan kalimah-kalimah Allah atau tidak. [2] Pengecualian hanya diberi oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada jampi-jampi yang terdiri dari kalimah-kalimah yang tidak mengandungi unsur syirik, seperti ayat-ayat Qur‘an dan zikir-zikir. Tetapi Rasulullah tidak memberikan pengecualian yang seumpama kepada tangkal dan azimat. Kita sama-sama tahu bahawa penggunaan tangkal dan azimat adalah sangat lazim pada ketika itu sehingga mustahil untuk dianggap bahawa Rasulullah telah terlupa akan hukumnya. Seandainya Rasulullah ingin membenarkan penggunaannya sepertimana pengamalan jampi-jampian, pasti baginda akan menerangkannya dan penerangan ini akan sampai kepada kita melalui hadis-hadis yang sahih. Dengan tidak adanya penerangan tersebut maka bererti ia memang tidak dibolehkan oleh baginda. [3] Terdapat perbezaan yang besar antara pengamalan jampi-jampian dan penggunaan tangkal dan azimat sekalipun kedua-duanya terdiri daripada kalimah-kalimah Allah. Jampi-jampian adalah memohon terus kepada Allah manakala tangkal dan azimat berperanan sebagai agen pertengahan. Seandainya seseorang mengguna tangkal dan azimat mendakwa bahawa yang menolong itu adalah Allah, kita bertanya kembali, bukankah pertolongan Allah itu dapat diperolehi secara terus, tanpa melalui jalan tengah? Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. [al-Baqarah 2:186] [4] Seseorang yang menggunakan tangkal dan azimat dengan dakwaan bahawa yang menolong itu ialah Allah, lambat-laun akan terperangkap juga dengan “pertolongan” daripada tangkal dan azimat tersebut. Iaitu apabila seseorang yang sudah biasa menggunakan tangkal dan azimat lalu di satu hari dia terlupa memakainya, maka hatinya akan menjadi gusar lagi resah, tidak lagi yakin untuk menempoh harinya itu melainkan dengan penuh ketakutan, kebimbangan dan was-was. Berbagai-bagai imaginasi yang buruk sentiasa tergambar di dalam fikirannya, diikuti dengan berbagai-bagai bisikan negatif dalam sanubari. Inilah yang penulis maksudkan dengan: “lambat-laun akan terperangkap juga dengan ‘pertolongan’ daripada tangkal dan azimat tersebut”. Ahmad bin Hanbal [85] pernah ditanya tentang penggunaan tangkal dan azimat, beliau menjawab: Sesiapa yang menggunakan tangkal dan azimat (lambat laun) akan bergantung kepadanya.[86] [5] Perlindungan sebenar dari ayat-ayat al-Qur’an dan zikrullah adalah pada kefahaman dan keyakinan kepada yang diseru dalam kalimah-kalimah tersebut sebagai pelindung, yakni Allah Tabaraka wa Ta‘ala. Menggantungnya tidak membawa sebarang faedah kecuali salah guna dan penghinaan. [6] Sesetengah pihak berhujah dengan tindakan seorang sahabat yang bernama ‘Abd Allah bin ‘Amru radiallahu ‘anhu bahawa beliau telah menggantung sebagai azimat beberapa lipatan kertas yang di dalamnya ditulis doa-doa pelindung. Riwayat yang dimaksudkan adalah: Diriwayatkan dari ‘Abd Allah bin ‘Amru radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajar mereka (atau kami para sahabat) beberapa kalimat apabila ketakutan, (iaitu): “Aku berlindung kepada kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kemurkaannya, dan (dari) kejahatan hamba-hamba-Nya, dan dari godaan syaitan dan (dari) kedatangan mereka kepadaku." Seterusnya berkata perawi: Dan adalah ‘Abd Allah bin ‘Amr biasanya mengajar ia (doa tersebut) kepada anak-anaknya yang telah berakal (baligh) manakala yang belum berakal (baligh), beliau menulisnya dan digantungkan pada mereka.[87] Doa pelindung yang diajar oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tersebut adalah benar akan tetapi keterangan perawi tentang tindakan ‘Abd Allah bin ‘Amru radiallahu ‘anhu adalah daif dan tidak dapat dijadikan hujah, apatah lagi dalam isu ini yang melibatkan antara tauhid dan syirik, bukan keutamaan beramal. Sekalipun ianya adalah benar, ia tetap tertolak kerana dua sebab berikut: [6-A] Yang sedemikian hanyalah merupakan perbuatan seorang sahabat, dan apabila bertembung antara perbuatan sendirian seorang sahabat dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, hendaklah diunggulkan sabda Rasulullah.[88] [6-B] Apabila bertembung antara dua dalil, yang pertama melarang manakala yang kedua membolehkan, maka hendaklah diunggulkan yang melarang. Maka berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, penulis berpendapat bahawa penggunaan tangkal dan azimat adalah tetap dilarang sekalipun ianya diperbuat atau dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an atau zikirullah. Allah sahaja yang lebih mengetahui.[89]
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
=========================== [85] Beliau ialah Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, kepada beliau disandarkan Mazhab Hanbali. Dilahirkan di Baghdad pada tahun 164H, merantau di pelbagai pelusuk dunia Islam untuk mencari hadis dan ilmu. Karya beliau yang paling terkenal dan dimanfaatkan umat ialah Musnad Ahmad yang menghimpunkan kira-kira 30,000 buah hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan atsar sahabat. Meninggal dunia pada tahun 241H. [86] Dinukil oleh al-Suyuti dalam Medicine of The Prophet, pg 171. [87] Hasan (tanpa tambahan penjelasan perawi: Dan adalah ‘Abd Allah bin ‘Amru..........): Hadis daripada ‘Abd Allah bin ‘Amr radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad (6696), Abu Daud (3745), al-Tirmizi (3590) dan al-Hakim (2010), di atas adalah dengan lafaz Abu Daud manakala dalam lafaz al-Tirmizi diterangkan bahawa doa tersebut ditulis di atas kertas dan digantung di leher kanak-kanak tersebut. Juga dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah (23594), al-Nasa’i (‘Amal al-Yaum wa al-Lail – no: 766) dan Ibn Sunni (al-Adzkar al-Nawawi – no: 259) tanpa tambahan penjelasan perawi: Dan adalah ‘Abd Allah bin ‘Amru.......... . Semua di atas dikeluarkan dari jalan Muhammad bin Ishaq, daripada ‘Amr bin Syu‘aib, daripada ayahnya, daripada datuknya bahawa Rasulullah.......... . Dalam sanad ini terdapat dua perawi yang memiliki kecacatan: [1] ‘Amr bin Syu‘aib: Hadis-hadis beliau diterima kecuali apabila dia meriwayatkan daripada ayahnya, daripada datuknya. Berkata Abu Daud, penyusun kitab Sunan Abu Daud: ‘Amr bin Syu‘aib daripada ayahnya daripada datuknya tidak dapat dijadikan hujah. Demikianlah juga penilaian beberapa pengkritik rawi seperti al-Tirmizi, Yahya bin Ma‘in, Yahya bin Sa‘id al-Qathan dan al-Mizzi, sepertimana yang dinukil oleh Syamsul Haq Abadi dalam Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, jld 1, ms 178-179 (Kitab Taharab, Bab berwudhu’ tiga kali-tiga kali). Lebih lanjut lihat al-‘Uqaili – al-Dhu‘afa’ al-Kabir – perawi no: 1280, Ibn ‘Adiy – al-Kamil fi Dhu‘afa’ al-Rijal, perawi no: 1281 dan al-Mizzi – Tahzib al-Kamal – perawi no: 4375. [2] Muhammad bin Ishaq: Beliau terkenal sebagai seorang mudallis dan riwayat beliau daripada ‘Amr dengan lafaz ‘an tidak dapat diterima. Berkata Ibn Hajar al-’Asqalani: Jujur (tetapi) masyhur dengan (sifat) tadlis daripada orang-orang yang daif dan majhul (tidak dikenali). [Tabaqat al-Mudallis - perawi no: 125] Lebih lanjut lihat Abu Sa‘id bin Khalil – Jami’ al-Tahsil fi Ahkam al-Marasil – perawi no: 666 dan Ibrahim bin Muhammad – al-Tibyan li Asma’al-Mudallis – perawi no: 63. Antara yang jelas dalam bab ini adalah, Ibn Ishaq sendiri pernah meriwayatkan hadis daripada ‘Amr bin Syu‘aib dengan lafaz haddathani, iaitu dalam Musnad Ahmad – no: 7037 dan Sunan al-Nasa’i – no: 4795. Justeru apabila Ibn Ishaq meriwayatkan daripada ‘Amr bin Syu‘aib dengan lafaz ‘an, ia menunjukkan bahawa beliau meriwayatkannya daripada seseorang lain sebelum ‘Amr bin Syu‘aib. Terhadap hadis ini, al-Hakim mensahihkannya manakala al-Dzahabi mendiamkannya. Hal ini tidak apa-apa kerana sepertimana nilai para pengkritik hadis, al-Hakim memang adakalanya mengenakan syarat yang amat longar ketika mensahihkan sesuatu hadis. Namun yang perlu diberi perhatian adalah penilaian Ahmad Muhammad Syakir terhadap hadis ini dalam semakannya terhadap Musnad Ahmad, jld 6, ms 246 di mana beliau berkata: Isnadnya sahih. Mungkin ada sesuatu yang diketahui oleh al-Allamah Ahmad Syakir yang tidak saya ketahui, kepada Allah sahajalah segala ilmu dan kebenaran. Selain itu, berkata Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud – no: 3893: Hasan tanpa perkataan “Dan adalah ‘Abd Allah bin ‘Amru..........” . Saya berkata, yang dinilai hasan oleh beliau hanyalah merujuk pada doa pelindung yang diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tanpa keterangan tambahan perawi tentang tindakan menggantungkannya dalam bentuk tulisan di leher kanak-kanak. Ini adalah kerana doa pelindung tersebut memiliki penguat dari jalan lain yang sahih daripada Khalid bin al-Walid radiallahu ‘anhu, di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajar beliau doa di atas dengan lafaz yang sedikit berbeza: Aku berlindung kepada kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada kemurkaan-Nya dan hukuman-Nya, daripada kejahatan hamba-hamba-Nya dan daripada godaan syaitan dan kedatangan mereka kepada aku. Ia dikeluarkan oleh Malik (1704), Ibn Abi Syaibah (23588), Ahmad (16526) dan al-Thabarani (al-Mu’jam al-Ausath – no: 931). Malik mengeluarkannya daripada Yahya bin Sa‘id, dia berkata: Disampaikan kepada aku (balghni) bahawa Khalid bin al-Walid........ Saya mensahihkan sanad ini sekalipun terputus antara Yahya bin Sa‘id dan Khalid bin al-Walid kerana Yahya menyebut “Balaghni” dan ini adalah petunjuk bahawa beliau menerimanya dari Khalid dari sejumlah jalan sehingga tidak perlu disebutkan nama-nama mereka. Ini adalah kaedah periwayatan hadis yang diiktiraf di zaman awal Islam, sebelum tahun 200H. Dikeluarkan secara musnad oleh Ibn Abi Syaibah dan Ahmad dan dinilai sahih oleh Hamzah Ahmad Zain, manakala dalam sanad al-Thabarani terdapat seseorang yang matruk. [88] Lebih lanjut lihat keterangan ‘Abd al-Haq al-Dahlawi sepertimana yang dinukil oleh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwadzi Syarh Jami’ al-Tirmizi, jld 9, ms 356 (Kitab Doa-doa dari Rasulullah, bab no: 96). [89] Lebih lanjut lihat ‘Abd al-Rahman bin Hasan al-Asy-Shaikh – Fath al-Majid, ms 140-149; Yusuf al-Qaradhawi - Wangsit, Kasyaf, Mimpi, Jimat, Perdukunan dan Pengubatan Spritual dalam Tinjauan Islam, ms 143-144; ‘Abd Allah bin Qasim al-Wasyli – Syarh Usul Isyrin: Menyelami Samudera 20 Prinsip Hasan al-Banna, ms 189-192 dan Abu Anas ‘Ali bin Husain – Penyimpangan Terhadap al-Qur‘an (Himpunan Fatwa ‘Abd al-Aziz bin ‘Abd Allah bin Baz, ‘Abd Allah bin Jibrin dan Shalih bin Fauzan), ms 63-89.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||