|
[2] Pengamalan
Jampi-jampian:
Jampi-jampian
dibolehkan asalkan ianya tidak terdiri dari kalimah-kalimah yang memiliki
unsur syirik, seperti menyeru pertolongan dari sesama manusia – hidup
mahupun mati, jin-jin – Islam atau bukan Islam, berhala, benda mati dan
berbagai lagi.
Manusia
yang diseru pertolongan darinya adalah juga merupakan makhluk Allah Subhanahu
wa Ta‘ala yang turut mengharapkan pertolongan dari-Nya. Firman Allah:
Katakanlah
(wahai Muhammad): “Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi
pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa
menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya”.
Orang-orang
yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada
Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada
Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmat-Nya dan gerun takut akan
azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya)
ditakuti.
[al-Isra’ 17:56-57]
Demikian
juga, segala benda-benda yang diseru adalah juga merupakan makhluk Allah
Azza wa Jalla:
Patutkah
mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan
sesuatupun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan ? Dan benda-benda
itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya
sendiri.
Dan jika kamu menyeru benda-benda itu untuk memperoleh
petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat menurut (menyampaikan hajat)
kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu
menyerunya
atau mendiamkan diri.
Sesungguhnya
benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti
kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan
permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.
[al-A’raaf 7:191-194]
Dengan
ayat-ayat ini, jelaslah bahawa apa-apa yang diseru, didoa dan diharapkan
pertolongan darinya tidak berdaya apa-apa, yang menyeru dan diseru adalah
sama-sama lemah lagi tidak berkemampuan. Firman Allah:
Wahai umat manusia, inilah diberikan
satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh.
Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu,
tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun
beramai-ramai untuk membuatnya;
Dan jika lalat itu mengambil
sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya.
(Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya),
dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). [al-Hajj
22:73]
Menyeru dan meminta pertolongan kepada jin
adalah juga salah di sisi Islam, tanpa mengira sama ada jin tersebut adalah
jin Islam atau bukan Islam. Firman Allah:
Dan (ingatlah) hari (Kiamat yang padanya)
Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin
! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia”.
Dan berkatalah pula pengikut-pengikut
mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia)
telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain
(jin-jin), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari Kiamat) yang
Engkau telah tentukan bagi kami”.
(Allah berfirman): “Nerakalah
tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki
Allah”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha
Mengetahui. [al-An‘aam 6:128]
Oleh itu Islam melarang umatnya dari berdoa,
menyeru dan mengharapkan pertolongan dari sesama mereka, sesama jin dan
sesama benda-benda mati. Para ilmuan Islam telah menggariskan beberapa
syarat untuk pengamalan jampi-jampian.
|