Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH NO 4

Hadis A:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:  

Berkata Abu Khizamah dari ayahnya, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah ditanya oleh seseorang:

Khabarkanlah kepada aku (wahai Rasulullah) tentang beberapa ubat yang kami gunakan, jampi-jampi yang kami baca dan pelindung yang kami berlindung dengannya, – Adakah ini semua bererti menolak takdir Allah ? Baginda menjawab:

Ia (semua itu) adalah takdir Allah.[63]

Hadis B:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesungguhnya jampi-jampi, azimat dan al-Tiwalah adalah syirik.[64]

Antara Hadis A dan B di atas berlaku dua percanggahan –

Pertama: Hadis A membenarkan jampi-jampian manakala Hadis B melarangnya.

Kedua: Hadis A membenarkan alat-alat atau benda-benda yang dijadikan pelindung, iaitu tangkal dan azimat manakala Hadis B melarangnya.

Percanggahan pertama dihilangkan dengan kefahaman bahawa yang dibenarkan oleh Hadis A hanyalah jampi-jampian yang tidak mengandungi kalimah bersifat syirik. Hadis berikut dari Auf bin Malik radiallahu ‘anhu menjadi rujukan:

Adalah kami di zaman Jahiliyyah mempraktikkan jampi-jampian. Maka kami berkata: Ya Rasulullah, apakah pendapat anda tentang hal ini ? Rasulullah menjawab: Tunjukkan kepada aku jampi-jampian kamu. Tidak mengapa dengan jampi-jampian yang di dalamnya tidak mengandungi syirik.[65]

Bagi percanggahan kedua, terlebih dahulu perlu kita fahami erti perkataan al-Tuqatan, al-Tamaim dan al-Tiwalah. Al-Tuqatan adalah benda-benda yang dijadikan pelindung oleh manusia apabila ketakutan kepada musuh.[66]Al-Tamaim adalah jamak (plural) dari Tamimah, iaitu sesuatu yang dijahit dan digantungkan oleh orang–orang Arab pada anak-anak mereka dengan tujuan untuk melindung dari penyakit ‘ain [67] atau bala bencana.[68] Penyakit ‘ain adalah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata, iaitu pandangan yang dapat “menghantar” penyakit berbahaya kepada sesiapa yang dipandangnya [69] At-Tiwalah ialah sesuatu yang digunakan bagi membuat seorang wanita tertarik dan mencintai suaminya, seperti sihir dan sebagainya.[70]

Benda-benda yang dijadikan pelindung, sebagaimana yang dimaksudkan oleh Hadis A adalah luas maksudnya, ia boleh terdiri dari pedang, perisai, baju besi dan topi besi sehinggalah yang kecil-kecil seperti tangkal dan azimat. Namun dalam Hadis B, benda-benda yang dijadikan pelindung telah diperincikan, iaitu tangkal dan azimat. Tangkal adalah sesuatu yang digunakan untuk menolak bala seperti penyakit, hantu, jin dan lain-lain.[71] Manakala azimat adalah bahan yang terdiri dari tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu, atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian tertentu tubuh seperti di pinggang yang dianggap mempunyai sakti dan boleh mengelakkan penyakit, bencana dan sebagainya [72]

             Maka dalam kes percanggahan kedua ini, yang bercanggah adalah antara suatu Lafaz Am dengan suatu Lafaz Khas. Lafaz Am adalah lafaz yang cakupan maknanya dapat meliputi berbagai objek di dalamnya tanpa adanya batasan tertentu.[73] Manakala Lafaz Khas adalah lafaz yang digunakan untuk menunjukkan pengertian pada satu-satu objek tertentu sahaja. [74] Apabila bertembung antara Lafaz Am dengan Lafaz Khas, maka Lafaz Khas berperanan mengecualikan sebahagian dari keumuman maksud yang terkandung dalam Lafaz Am tersebut.

Berdasarkan kaedah yang penulis terangkan ini, percanggahan kedua antara Hadis A dan B di atas dapat diatasi dengan kefahaman bahawa seseorang itu boleh menggunakan sesuatu alat atau benda sebagai pelindung dirinya daripada musuh kecuali tangkal dan azimat. Larangan khusus dalam Hadis B mengecualikan keumuman Hadis A yang membenarkan penggunaan sesuatu alat sebagai pelindung.

Beza antara kedua-dua jenis pelindung ini adalah, yang pertama melihatkan usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri manakala yang kedua melihatkan kepercayaan kepada sesuatu yang ghaib lagi tidak nyata. Seseorang yang menggunakan tangkal dan azimat tidak boleh mendakwa bahawa dia mengharapkan perlindungan Allah Azza wa Jalla kerana perlindungan Allah boleh diperolehi secara terus tanpa perlu kepada tangkal dan azimat yang bertindak sebagai perantara (middle man). Menggunakan tangkal dan azimat hanyalah merupakan satu kepercayaan tahayul, ia bukanlah merupakan ikhtiar memohon perlindungan dari Allah.

Dalam dua contoh di atas, percanggahan telah dapat diatasi dengan kaedah al-Jam‘u. al-Jam‘u menurut bahasa ialah mengumpulkan atau menyatukan hal-hal yang berbeza dan bercerai-berai. Menurut istilah agama pula, al-Jam‘u ialah menyelaras dan menyesuaikan dua dalil yang saling bercanggah dengan satu cara yang dapat menghilangkan percanggahan tersebut.[75]

            Adakalanya dua hadis nampaknya bercanggah tetapi pada hakikatnya ia tidak bercanggah. Percanggahan tersebut hanyalah pada pandangan atau anggapan seseorang sahaja. Malah hadis yang dikatakan bercanggah tersebut sebenarnya saling menyokong dan menyempurna antara satu sama lain. Setiapnya mewakili sebahagian dari beberapa bahagian syari‘at Islam yang amat luas ini.

Oleh itu apabila seseorang berhadapan dengan dua hadis yang bercanggah, hendaklah dia menghimpun semua hadis-hadis yang terdapat dalam bab tersebut dan menelitinya secara mendalam antara satu sama lain. Pasti akan didapati setiapnya akan saling menjelaskan antara satu sama lain. Juga seseorang itu hendaklah meneliti susunan teks hadis tersebut agar dapat dikenal pasti ciri-ciri khas serta petunjuk hukum yang terkandung di dalamnya. Di atas adalah contoh percanggahan antara hadis yang memiliki Lafaz Am dengan Lafaz Khas, berikutnya insya-Allah akan kita kaji pula percanggahan antara hadis yang memiliki Lafaz Mutlaq dengan Lafaz Muqayyad (iaitu dalam Contoh ke – 5).

Penjelasan Tambahan:

Penggunaan tangkal dan azimat, jampi-jampian dan ubat-ubatan sememangnya adalah merupakan salah satu perkara yang sering diperbincangkan oleh orang ramai. Daripada nukilan hadis-hadis di atas, paling sedikit kita sekarang dapat memiliki gambaran awal apakah pandangan syari‘at Islam terhadap perkara ini. Di sini penulis ingin merebut peluang untuk memberi beberapa perincian untuk melengkapkan perbincangan, khasnya tentang

[1] Penggunaan tangkal dan azimat,

[2] Pengamalan jampi-jampian

[3] Berubat apabila sakit.

 

 

===========================

[63]               Hasan: Hadis ini memiliki 3 jalan periwayatan:

[1]           Dikeluarkan oleh al-Tirmizi (2148) dan Ibn Majah (no: 3437, Kitab al-Tibb, Bab Tidaklah Allah menurunkan penyakit melainkan diturunkan baginya ubat) dengan lafaz di atas daripada Sufyan bin Uyaynah, daripada al-Zuhri, daripada Ibn Abi Khizamah, daripada Abi Khizamah daripada ayahnya. Ibn Abi Khizamah, beliau majhul, tidak ditemui keterangan tentang kedudukan beliau sebagai perawi hadis (al-Jarh wa al-Ta’dil). Lebih lanjut lihat al-Mizzi – Tahzib al-Kamal, jld 34, ms 437, perawi no: 7720; dan al-Dzahabi – Mizan al-Iktidal, jld7, ms 450, perawi no: 10787; Ibn Hajar al-‘Asqalani – Tahzib al-Tahzib, jld 12, ms 292, perawi no: 1431 dan Taqrib al-Tahzib, jld 2, ms 508, perawi no: 8510.

[2]           Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dari jalan lain tanpa melalui Ibn Abi Khizamah (2065), yakni daripada Sufyan bin Uyaynah, daripada al-Zuhri, daripada Abi Khizamah, daripada ayahnya. Berkata al-Tirmizi, ini adalah yang lebih kuat dan justeru beliau menilainya hasan sahih. Tentang Abu Khizamah, lihat al-Mizzi – Tahzib al-Kamal, jld 33, ms 279, perawi no: 7341 dan Ibn Hajar al-‘Asqalani – al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, jld 7, ms 89, perawi no: 9837.

Dalam kedua-dua jalan periwayatan di atas, terdapat Sufyan bin Uyaynah, beliau seorang imam yang masyhur tetapi mudallis. Namun dikenali bahawa beliau tidak akan melakukan sedemikian kecuali daripada seseorang yang thiqah. Lihat Ibrahim bin Muhammad al-‘Ajami – Tibyan al-Asma’ al-Mudallis, ms 94, perawi no: 29 dan Ibn Hajar al-‘Asqalani – Tabaqat al-Mudallis, ms 32, perawi no: 52.

[3]           Dikeluarkan oleh Ibn Hibban (6100) dengan lafaz sedikit berbeza daripada Ka‘ab bin Malik radiallahu ‘anhu, di dalamnya terdapat Ishaq bin Ibrahim, beliau diperbincangkan sebagaimana terang penyemak: Syu‘aib al-Arna’uth.

Dengan beberapa jalan periwayatan ini, penulis menilai hadis ini sebagai hasan.

Hadis ini juga diriwayatkan daripada Hakim bin Hazm, dikeluarkan oleh al-Thabarani (al-Mu’jam al-Kabir, jld 3, ms 192, no: 3090) dan al-Hakim (87, 88, 7431 & 8223) tetapi riwayat ini tidak disebut tentang benda-benda yang dijadikan pelindung. Yang seumpama juga dikeluarkan oleh al-Thabarani daripada Abi Khizamah (al-Mu’jam al-Kabir, jld 6, ms 47, no: 5468) namun ia memiliki kelemahan juga, lihat Majma’ al-Zawa‘id – no: 8283.

[64]               Sanad Hasan: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn Mas‘ud radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dan Ibn Hibban, sanadnya dinilai hasan oleh Ahmad Syakir dalam semakannya ke atas Musnad Ahmad – no: 3615. (Musnad ‘Abd Allah ibn Mas‘ud, haddathana Abu Muawiyah.......).

[65]               Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Muslim dan Abu Daud, lihat Sahih Muslim – no: 2200 (Kitab al-Salam, Bab Tidak mengapa dengan ruqya.........).

[66]               al-Sindi – Syarh Sunan Ibn Majah, jld 4, ms 88; al-Mubarakfuri – Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmizi, jld 6, ms 300.

[67]               Ibn Athir – al-Nihayah fi Gharib al-Hadis wa al-Athar, jld 1, ms 192.

[68]               Sebagaimana terang ‘A‘isyah radiallahu ‘anha: Bukanlah al-Tamimah sesuatu yang digantung selepas menghadapi bala, tetapi sesungguhnya al-Tamimah adalah sesuatu yang digantung sebelum menghadapi bala. [Hasan: Dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinukil oleh al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib – no: 5070 (Bab Ancaman dari menggantung tangkal dan azimat) dan sanadnya dinilai hasan oleh Muhyiddin Dibb Mastu dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas kitab tersebut].

[69]               Ibn al-Qayyim – The Prophetic Medicine, ms 195.

[70]              Ibn Athir – al-Nihayah, jld 1, ms 195.

[71]               Kamus Dewan: Tangkal (ms 1371).

[72]               Kamus Dewan: Azimat (ms 79).

[73]               Zaki al-Din Sya’ban – Usul al-Fiqh al-Islami, ms 322; dinukil daripada Muqaranah Mazahib fil Ushul, ms 195-196 oleh Romli SA.

[74]               ‘Abd al-Wahhab Khalaf – Ilmu Usul al-Fiqh, ms 191; dinukil daripada Muqaranah Mazahib fil Ushul, ms 195-196 oleh Romli SA.

[75]               Muhammad Wafaa – Metode Tarjih, ms 126.

 

 
:: laman utama