Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH NO 3

Hadis A:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:              

Sesungguhnya air daripada air.[60] Air yang pertama ialah mandi manakala air yang kedua ialah air mani. Justeru maksudnya adalah Sesungguhnya mandi menjadi wajib kerana keluarnya air mani. Ini adalah termasuk salah satu seni sastera Arab (ilmu Badi’) yang disebut sebagai Jinasut Tam – iaitu persamaan lafaz dua perkataan tetapi berbeza maksudnya.

Hadis B:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Apabila telah duduk antara 4 anggota dan bersentuhan alat kelamin dengan kelamin, maka  wajiblah mandi (ghusl).[61]Duduk antara 4 anggota adalah bahasa kiasan yang bererti sedang berlakunya persetubuhan.

             Nampaknya wujud percanggahan antara Hadis A dan B di atas. Hadis A hanya mewajibkan mandi wajib apabila telah keluar air mani ketika persetubuhan manakala hadis B mewajibkan mandi wajib apabila sahaja berlakunya persetubuhan tanpa mengambil kira keluar atau tidak air mani. Percanggahan ini dapat dihilangkan apabila kita mengkaji sejarah dan latar belakang kedua-dua hadis.

              Hadis A sebenarnya diperintahkan di zaman awal Islam sebagai satu kemudahan bagi umat manakala Hadis B diperintahkan di zaman pertengahan atau akhir Islam apabila umat sudah biasa dan faham dengan hukum dan hikmah mandi wajib. Dengan itu Hadis B membatalkan Hadis A. Petunjuk kepada terbatalnya hukum Hadis A adalah dari keterangan sahabat sendiri, iaitu Ubay bin Ka‘ab radiallahu ‘anhu:

Sesungguhnya air dengan air adalah ia satu rukhsah (kemudahan) yang dipermudahkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada awal zaman atau di permulaan Islam. Kemudian beliau memerintahkan mandi wajib sesudah itu (sesudah bersetubuh).[62]

Kes di atas dikenali sebagai Nasikh dan Mansukh. Hadis yang membatalkan disebut nasikh manakala hadis yang dibatalkan disebut mansukh. Hikmah wujudnya nasikh dan mansukh adalah kerana Islam mendidik dan mentarbiyah umatnya secara berperingkat-peringkat, tidak secara mendadak dan terburu-buru. Apabila mensyari‘atkan sesuatu hukum, Islam mengambil kira kondisi umat terlebih dahulu, khususnya dalam kekuatan akidah, iman dan taqwa mereka, serta kefahaman mereka terhadap tujuan-tujuan syari‘at.

Pada awalnya syari‘at Islam lebih bersifat memelihara akidah umat dan memudahkan hukum-hakam, yakni apabila berkaitan akidah umat, syari‘at bersifat melarang. Manakala dalam kaitan hukum-hakam, syari‘at bersifat menganjurkan daripada mewajibkan, menegah daripada mengharamkan. Apabila akidah, keimanan, ketaqwaan dan kefahaman umat bertambah kukuh, diturunkan semula hukum-hukum baru yang mewakili kehendak sebenar syari‘at Islam. Hukum-hukum baru ini (nasikh) membatalkan hukum-hukum yang awal tersebut (mansukh).

Oleh itu salah satu langkah yang perlu ditempuh oleh seseorang dalam menghilangkan percanggahan antara hadis (setelah disemak bahawa kedua-duanya adalah sahih) ialah menyemak sama ada salah satu daripadanya telah dibatalkan.

Seperkara penting yang perlu ditekankan adalah, sebelum seseorang itu mengatasi percanggahan antara dua hadis berdasarkan kaedah nasikh dan mansukh, dia perlu memiliki keterangan yang sahih bahawa hadis tersebut telah dibatalkan hukumnya. Keterangan tersebut boleh berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam atau para sahabat sendiri (seperti contoh di atas). Juga dengan mengkaji sebab-sebab lahirnya sesuatu hadis (asbabul wurud). Jika seseorang tidak berhati-hati dalam hal ini, dia menghadapi risiko menghukum batal sebuah nas syari‘at yang sebenarnya masih sah diperlakukan.

             Sesetengah pihak berpendapat, hadis nasikh dan mansukh dapat dikenal pasti dengan menyemak siapakah sahabat yang meriwayatkannya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sahabat senior dikatakan berasal dari zaman awal Islam manakala hadis yang diriwayatkan oleh sahabat junior dikatakan berasal dari zaman akhir Islam.

Oleh itu apabila wujud percanggahan antara dua hadis, yang pertama diriwayatkan oleh sahabat senior dan yang kedua diriwayatkan oleh sahabat junior, dianggap bahawa hadis kedua tersebut membatalkan hadis pertama.

Kaedah ini kurang dipersetujui penulis kerana diketahui bahawa sahabat junior sering kali meriwayatkan sesuatu hadis yang mereka pelajari dari sahabat senior. Contohnya ‘Abd Allah ibn Abbas dan Abu Hurairah radiallahu ‘anhuma adalah dua orang sahabat junior yang sangat rajin belajar hadis daripada sahabat yang senior. Oleh itu mungkin sahaja mereka menyampaikan hadis yang mereka pelajari daripada sahabat-sahabat senior tersebut lalu kita menafsirkan pula ia sebagai hadis dari akhir zaman padahal ia adalah hadis dari awal zaman.

Oleh itu penulis berpendapat kaedah menentukan hadis nasikh dan mansukh berdasarkan semakan sejarah sahabat adalah satu kaedah yang sangat longgar. Setepatnya hadis nasikh dan mansukh ditentukan berdasarkan keterangan Rasulullah, para sahabat dan asbabul wurud. Jika dengan 3 kaedah ini tidak dapat dipastikan antara hadis nasikh dan mansukh, maka tempohilah kaedah al-Jam‘u  – iaitu menghimpunkan hadis-hadis atau Tarjih – iaitu mengutamakan salah satu dari dua dalil yang saling bercanggah berdasarkan sesuatu yang dapat mengunggulkannya. Kedua-dua kaedah ini: al-Jam‘u dan Tarjih akan penulis terangkan dalam contoh-contoh yang akan datang, insya-Allah.

 

 

===========================

60]          Sahih: Hadis daripada Abu Said al-Khudri radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 343. (Kitab Haid, Bab Wajibnya mandi apabila keluar mani).

[61]          Sahih: Hadis daripada ‘A‘isyah radiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 349. (Kitab Haid, Bab Nasikh wajibnya mandi apabila keluar air mani).

[62]         Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban, sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban – no: 1179. (Kitab Taharah, Bab Mandi Wajib).

 
:: laman utama