Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

[1] Penggunaan Tangkal dan azimat.

Antara ajaran terpenting Islam adalah mentauhidkan Allah Azza wa Jalla, termasuk dalam prinsip tauhid ini adalah keyakinan sepenuhnya bahawa tidak ada yang akan dapat menolak kemudaratan atau membawa kemanfaatan melainkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Semua perkara berada di bawah pengawalan Allah dan tidak ada manfaat, mudarat, kebaikan, keburukan, kehidupan dan kematian kecuali semuanya berada di bawah kekuasaan Allah Ta‘ala. Firman Allah:

Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian hamba-Nya (dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam Pengetahuan-Nya. [al-An‘aam 6: 17-18]

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi ?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu ? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahaya-Nya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu ?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”. [az-Zumar 39:38]

Antara ajaran Islam dalam mentauhidkan Allah Azza wa Jalla ialah membersihkan kepercayaan umat daripada pertolongan benda-benda yang mereka percaya dapat membantu mencapai kebaikan atau menjauhi kemudaratan. Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berhadapan dengan orang yang memakai tangkal dan azimat, baginda berlaku tegas terhadapnya. Baginda terus melarang tanpa bertanya terlebih dahulu apakah tujuan seseorang itu memakai tangkal atau adakah tangkal tersebut diperbuat atau dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an.

Dalam satu riwayat, 10 orang telah datang menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam untuk berbai‘at kepada baginda (memeluk Islam). Baginda menerima bai’at mereka kecuali seorang. Lalu ditanya kepada Rasulullah, kenapa tidak diterima bai’at seorang tersebut. Rasulullah menjawab:

Sesungguhnya padanya terdapat tangkal dan azimat. Kemudian orang tersebut memasukkan tangannya (ke dalam baju) dan melepaskannya (azimat tersebut). Maka Rasulullah menerima bai‘atnya seraya bersabda:

           Sesiapa menggantung tangkal dan azimat maka sesungguhnya dia telah (berbuat) syirik.[76]

             Tangkal dan azimat tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada si-pemakainya kecuali ia menjauhkan lagi dari apa yang dihajatinya. Ini adalah kerana seseorang itu boleh berdoa dan berharap secara terus kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan apa yang dihajatinya tanpa menggunakan “jalan tengah”. Apabila seseorang itu menggunakan jalan tengah, maka Allah tidak berkenan untuk mengabulkan hajatnya, malah dijauhkannya dari hajat tersebut. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda tentang penggunaan tangkal dan azimat:

Sesiapa menggantung tangkal dan azimat maka semoga Allah tidak menyempurnakan baginya (hajatnya) dan sesiapa menggantung cengkerang siput maka semoga Allah tidak mententeramkan baginya (dengan siput tersebut).[77]

Dalam satu riwayat lain Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melihat seorang lelaki yang ada ikatan di tangannya, lalu baginda bertanya: Apakah ini ? Lelaki itu menjawab: Aku menjadikannya sebagai pelindung daripada al-Wahinah.[78] Lalu bersabda Rasulullah:

         Tiadalah ia menambah bagi engkau kecuali kelemahan, lemparkan ia daripadamu, kerana jika datang kematian kepadamu dan ia berada di atasmu, akan diserahkan (kamu) ke atas ia.[79]

Tangkal dan azimat juga dilarang penggunaannya ke atas binatang sebagaimana perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Janganlah dibiarkan di leher unta kalung (yang diperbuat) daripada tali atau (apa-apa jenis) kalung kecuali dilepaskan.[80]

Berkata Malik bin Anas, yang sedemikian (memakaikan kalung) adalah untuk menjauhkan dari penyakit al-‘Ain.[81]

            Sesetengah pihak membolehkan penggunaan tangkal dan azimat apabila ia dibuat atau dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an atau zikir-zikir kepada Allah. Mereka berhujah dengan penyataan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani [82] berikut ini:

             Semua ini (hadis-hadis yang melarang azimat) adalah pada menggantung azimat dan yang sebagainya daripada apa yang tidak diperbuat (dijampikan) dari (ayat-ayat) al-Qur’an atau yang seumpama. Adapun apa yang diperbuat dengan (jampian) zikruLlah maka tidaklah ia dilarang padanya, kerana sesungguhnya ia hanya dilakukan sebagai tabarruk (mencari keberkatan) dengannya, perlindungan dengan nama-nama-Nya dan zikir kepada-Nya.[83]

            Ibn Hajar berpendapat sedemikian berdasarkan beberapa hadis yang menerangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah menjampi dirinya dan telah juga mengajar jampi kepada ahli keluarga dan para sahabat yang terdiri daripada kalimah-kalimah zikir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.[84]

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [al-Mu’min 40:60]

 

 

===========================

[76]        Sanad Hasan: Ringkasan hadis daripada Uqbah bin Amir al-Juhani radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai hasan oleh Muhyiddin Dibb Mastu dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas al-Targhib wa al-Tarhib – no: 5065 (Bab Ancaman dari menggantung tangkal dan azimat) manakala di sisi Hamzah Ahmad Zain sanadnya adalah sahih, lihat Musnad Ahmad – 17353 (Kitab Hadith Uqbah bin Amir al-Juhani, haddathana ‘Abd al-Samad………). al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa‘id – no: 8399 menyandarkan riwayat ini kepada al-Thabarani.

[77]          Sanad Hasan: Hadis daripada Uqbah bin Amir radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad (17335), Abu Ya’la (1759), al-Thabarani (al-Mu’jam al-Kabir, jld 17, no: 820), Ibn Hibban (6086) al-Hakim (7501) dan al-Baihaqi (al-Sunan al-Kubra – no: 19605), semuanya dari jalan Khalid bin ‘Ubaid al-Ma‘afiri, beliau dithiqahkan oleh Ibn Hibban sahaja (Kitab al-Thiqah – perawi no: 7644). Selainnya adalah perawi yang disepakati thiqah dan sahih. Berkata al-Munziri: Isnadnya kuat (Targhib wa al-Tarhib – no: 5064). Berkata penyemak Targhib wa al-Tarhib – Muhyiddin Dibb Mastu dan rakan-rakan: Isnadnya hasan. Berkata penyemak Musnad Ahmad – Hamzah Ahmad Zain: Isnadnya sahih. Berkata Nasr al-Din al-Albani: Isnadnya daif kerana dipersangsikan kedudukan Khalid bin ‘Ubaid [Silsilah Hadis Daif wa Maudhu’ – no: 1266]

      Penulis cenderung menilai sanad hadis ini sebagai hasan, ia tidak sahih kerana diketahui Ibn Hibban tidak mengenakan syarat yang ketat apabila menthiqahkan seseorang perawi, tidak daif kerana Ibn Hibban tetap dapat dipertanggung-jawabkan penilaiannya kecuali dalam beberapa kes tertentu yang bukan di sini tempatnya untuk dibahaskan.

[78]          Ia adalah sejenis penyakit yang menimpa bahu dan seluruh lengan lalu diubati dengan cara jampi dan adakalanya digantung pada lengan tersebut sejenis jahitan. Ia dipakai oleh lelaki, bukan wanita. Ia dilarang kerana merupakan salah satu jenis azimat. [Ringkasan dari al-Nihayah fi Gharib, jld 5, ms 203.]

[79]         Sanad Hasan: Hadis daripada Imran bin Husain radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad (19885), Ibn Majah (3531), al-Thabarani (al-Mu’jam al-Kabir, jld 18, no: 391) dan Ibn Hibban (6075), di atas dengan lafaznya, semuanya dari jalan Mubarak bin Fadhalah, dari Ibn Abi al-Hasan al-Basri, dari Imran bin Husain. Isnad ini memiliki perbincangan tentang kebersambungannya sebagaimana terang al-Hafiz al-Munziri (Targhib wa al-Tarhib – no: 5067) dan Syu‘aib al-Arna’uth (Sahih Ibn Hibban, jld 13, ms 449-450). al-Bushiri menilai sanad ini hasan, demikian juga oleh Muhyiddin Dibb Mastu dan rakan-rakan manakala Hamzah Ahmad Zain menilainya sahih (Musnad Ahmad, jld 15, ms 97).

[80]        Sahih: Ringkasan dari hadis Abu Basyir al-Anshari radiallahu anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2115 (Kitab Pakaian dan perhiasan, Bab tidak disukai kalung tali di leher unta).

[81]         Dinukil oleh Muslim sejurus selepas mengemukakan riwayat di atas, juga oleh al-Asqalani dalam Fath al-Bari, jld 6, ms 249, syarah hadis no: 3005. Ada juga yang berkata, larangan ini adalah bagi memudahkan unta bernafas ketika berlari dan mengelak dari tercekik ketika sedang makan.

[82]         Beliau ialah al-Imam al-Hafiz Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad al-Kinani. Seorang tokoh besar dalam bidang hadis sehingga terkenal dengan gelaran Amir al-Hadis. Lahir pada tahun 773H dan meninggal dunia pada 852H. Banyak berkarya dan antara yang termasyhur ialah Fath al-Bari yang merupakan syarah bagi kitab Sahih al-Bukhari.

[83]        Fath al-Bari, jld 6, ms 250 (syarah terhadap hadis menggantung loceng pada leher unta). Lihat juga keterangan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, jld 9, ms 589 (Kitab Urusan Korban dan Sembelihan, Bab Tangkal dan azimat).

[84]         Lihat Fath al-Bari,jld 11, ms 353, syarah kepada hadis no: 5735. (Kitab Pengubatan, Bab Jampian dengan al-Qur‘an dan al-Mu‘awwizati).

 

 

 
:: laman utama