Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

Penjelasan Tambahan II Contoh 15

Rata-rata dikatakan bahawa mengikut Mazhab Shafi‘i, hendaklah seseorang itu mengangkat jari telunjuk semasa menyebut “IllaLlah” ketika bersyahadah dalam tasyahud ketika solat. Adakah ini benar ?

Mengikut kajian penulis, mengisyaratkan jari telunjuk ketika menyebut kalimah “illaLlah” hanya mula dikenali di kalangan fuqaha Syafi‘iyyah selepas kurun ke-5 hijrah.[182] Sebelum itu kedudukan jari telunjuk yang dipilih oleh para fuqaha Mazhab Shafi‘i adalah sepertimana petunjuk Hadis A, iaitu jari telunjuk diangkat secara terus menerus dari awal sehingga akhir tasyahud.

Di sisi Muhammad bin Idris al-Shafi‘i (204H), jari telunjuk diangkat secara terus menerus dari awal sehingga akhir tasyahud. Tidak disebut bahawa seseorang hanya mengangkat jari telunjuknya ketika mengucap kalimah “illaLlah”.[183]

Selepas itu al-Baihaqi (458H) [184] seorang tokoh besar Mazhab Shafi‘i, dalam kitabnya Sunan al-Kubra, telah menyusun beberapa bab khas dalam menghimpunkan semua hadis dan atsar sahabat berkenaan kedudukan jari telunjuk ketika tasyahud. Tidak satupun yang menunjukan seperti yang di atas. Malah al-Baihaqi membuat rumusan: Maka diperkira (ihtimal) bahawa yang dimaksudkan dengan menggerak-gerakkan jari adalah memberi isyarat dengannya, bukan menggerakkannya berulang kali. Dengan demikian hadis Wail (Hadis B) tidaklah bertentangan dan (malah) sesuai dengan hadis Ibn Zubair (Hadis A).[185] Maka di sini jelas bahawa di sisi al-Baihaqi, yang lebih tepat adalah tidak menggerak-gerakkan jari telunjuk.

Hal ini diperkuatkan lagi oleh al-Baihaqi dalam sebuah kitabnya yang lain berjudul Ma’refat al-Sunan wa al-Atsar, yang merupakan himpunan hadis-hadis hukum fiqh (Qadim dan Jadid) di sisi al- Shafi‘i, di mana beliau telah menyenaraikan beberapa buah hadis bagi menguatkan pendapat dalam Mazhab Shafi‘i bahawa jari telunjuk diangkat secara terus dari awal sehingga akhir tasyahud. Tidak dinukil langsung, sama ada hadis atau atsar sahabat atau pendapat al-Shafi‘i bahawa jari telunjuk diangkat hanya ketika menyebut kalimah “illaLlah”.[186]

Demikian jugalah pendapat al-Syairazi (476H) [187]dalam kitabnya al-Muhazzab. [188]

Sementara itu al-Mawardi (450H)[189], seorang lagi tokoh terkemuka Mazhab Shafi’i di kurun ke 5 Hijrah, ketika mensyarahkan kitab Mukhtasar al-Muzani karangan seorang anak murid al-Shafi‘i yang ulung [190], telah menukil dua buah pendapat dari kalangan fuqaha Shafi‘iyyah di zaman itu tentang kedudukan jari telunjuk ketika Tasyahud:

Pertama: Mengisyaratkan dengan jari telunjuk sambil menggerak-gerakkan secara terus dari awal sehingga akhir tasyahud,

Kedua: Mengisyaratkan dengan jari telunjuk dari awal sehingga akhir tasyahud tanpa menggerak-gerakkannya.

Tidak dinukil langsung, sama ada hadis atau atsar sahabat atau pendapat al-Shafi‘i atau lain-lain fuqaha Shafi‘iyyah bahawa jari telunjuk diangkat hanya ketika menyebut kalimah “illaLlah”.[191]

Terdapat dua orang tokoh terdahulu yang telah memberikan dalil bahawa jari telunjuk diangkat hanya ketika menyebut kalimah “illaLlah”. Marilah kita menganalisa dalil kedua-dua tokoh ini:

Pertama:

al-Baghawi (561H) [192] dalam kitabnya Syarah al-Sunnah, menyebut: Dan sesungguhnya yang dipilih oleh para ahli ilmu dari kalangan sahabat dan tabiin serta orang-orang sesudah mereka adalah mengisyarat dengan jari telunjuk kanan ketika mengucapkan tahlil (La ila ha illaLlah) dan mulai mengisyaratkannya pada sebutan illaLlah.[193]

Analisa:

             Penulis berkata, kenyataan di atas masih perlu dicari dalilnya secara berisnad kerana al-Baghawi hanya menyebutnya tanpa mengemukakan sebarang isnad atau menyandarkannya kepada mana-mana para tokoh terdahulu. Kitab Syarh al-Sunnah yang beliau karang adalah merupakan sebuah kitab hadis, maka adalah memusykilkan apabila beliau tidak mengemukakan hadis atau atsar bagi mendukungi kenyataan beliau di atas. Lebih dari itu perlu diingatkan bahawa jarak masa antara al-Baghawi dan para tabiin adalah lebih 400 tahun.

Kedua:

al-San‘ani (1182H) [194] dalam kitabnya Subul al-Salam, berkata: Dan tempat dan waktu menunjuk itu ialah sewaktu mengucapkan kalimat “La ila ha illaLlah”, ketentuan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.[195]

Analisa:

Riwayat ini ditanggapi oleh al-Mubarakfuri (1353H) [196] dalam kitabnya Tuhfah al-Ahwazi: Dan apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari perbuatan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, maka tidaklah diketahui atas (asal usul)nya, dan tidaklah disebut oleh seseorang sahabat (dan tidaklah diketahui) jalan sanadnya dan tidak (diketahui) lafaznya. Dan (maka) Allah Ta‘ala (sahaja) yang (lebih) mengetahi bagaimana (sebenarnya) persoalan ini.[197]

Sekian analisa ringkas terhadap dua hujah di atas.

Walhasil dari keseluruhan kajian di atas, dapat dikatakan bahawa di sisi Mazhab Shafi‘i sebelum tahun 500 hijrah, kedudukan jari telunjuk ketika tasyahud adalah ianya diangkat secara berterusan dari awal sehingga akhir, tidak ditinggikan ketika mengucap kalimah “illaLlah”. Adapun meninggikannya ketika mengucap kalimah “illaLlah”, tidak ditemui sebarang dalil. Sebaiknya perbuatan ini ditangguhkan sehingga ditemui dalil sahih yang membenarkannya. Sementara itu yang terbaik adalah kita berpegang dan beramal dengan apa yang sahih daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam, iaitu menggerak-gerakkan jari telunjuk atau tidak menggerak-gerakkannya dari awal hingga akhir tasyahud.

Penjelasan Tambahan III Contoh 15

             Sengaja penulis membahas secara panjang lebar mengenai cara menggerakkan jari telunjuk ketika tasyahud kerana ingin memberi kesedaran kepada para pembaca akan satu hal yang penting, iaitu hendaklah setiap orang beramal berdasarkan ilmu, bukan ikutan tradisi. Lebih dari itu, apabila seseorang melihat orang di sebelahnya melakukan sesuatu yang berlainan daripada dirinya, hendaklah dia bertanya, kenapakah ia berlainan ? Apakah dalil dia dan apakah dalil saya ?

Penulis pasti ramai pembaca yang pernah melihat orang yang menggerak-gerakkan jari telunjuknya secara berterusan ketika tasyahud, dan ada pula yang mengangkatnya secara terus dari awal hingga akhir. Apakah reaksi kita ? Lazimnya kita hanya menepisnya dengan berkata “Ahh ! Itu mazhab lain”. Yang lebih buruk ialah tindakan segelintir yang berprasangka terhadap orang yang sedemikian dengan berbagai anggapan buruk dan negatif. Padahal yang berprasangka itulah yang sebenarnya buruk.

Semua ini adalah merupakan sikap taksub kepada sesuatu pendapat atau kumpulan, atau sikap orang yang menganggap diri sendiri sahaja yang benar lagi pandai. Sikap seperti ini wajib kita tolak dari diri kita.

Di sini yang penting bukanlah pada pergerakkan jari telunjuk, tetapi adalah pada sikap kita apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat. Hendaklah kita sentiasa bertanya dan menilai setiap amalan yang kita lakukan – adakah ianya berdasarkan sunnah Rasulullah yang sahih atau tidak ? Manakala apabila kita melihat orang lain berbuat sesuatu yang berbeza, hendaklah kita bertanya – adakah amalan dia juga memiliki dalil ? Jika ia memiliki dalil maka hendaklah kita bandingkan dengan amalan kita sendiri. Jika dia betul, kita perbetulkan diri sendiri, jika dia salah kita perbetulkan dia. Jika sama-sama memiliki kebenaran, maka masing-masing berpegang kepada apa yang paling kuat mengikut kajiannya dan bersifat toleran terhadap orang lain yang menguatkan pendapat lain.

 

 

===========================

[182]        Antaranya, lihat Abu Hamid al-Ghazali (505H) – al-Wasit fi al-Mazhab, jld 1, ms 236 dan al-Nawawi (676H) - Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld 3, ms 301.

[183]      Mausu‘ah al-Imam al-Shafi‘i: Kitab al-Umm, jld 2, ms 187, no: 1441 (Kitab al-Solat, Bab Duduk apabila bangkit dari sujud dan duduk .........).

[184]       Beliau ialah Imam Ahmad bin al-Husain bin Ali, Abu Bakar al-Baihaqi, lahir di Baihaq, Nisapur pada tahun 384H. Seorang al-Hafiz dalam bidang hadis, ahli fiqh dan ahli fikir yang telah menuntut ilmu daripada lebih 100 orang guru. Antara jasa beliau yang terbesar ialah menghimpun dan menyusun semua hadis dan pendapat fiqh al-Shafi‘i. Kebanyakkan karya-karyanya masih diterbitkan sehingga sekarang. Meninggal dunia pada tahun 458H.

[185]        al-Sunan al-Kubra, jld 2, ms 189 (Bab tentang riwayat bahawa diisyarat dengannya dan tidak menggerak-gerakkannya)

[186]         Ma’refah al-Sunan wa al-Athar, jld 3, ms 52-53 (Kitab Solat, Bab Bagaimana kedudukan tangan ketika Tasyahud).

[187]        Beliau ialah Imam Ibrahim bin ‘Ali bin Yusuf, Abu Ishaq al-Syairazi seorang mujtahid Mazhab Shafi‘i yang terkenal di kurun ke 5 hijrah. Kitab-kitab beliau menjadi rujukan bagi Mazhab Shafi‘i sehingga ke hari ini, antara yang terkenal ialah al-Tanbih, al-Muhazzab, al-Luma’, Tabaqat al-Fuqaha, al-Nukat fi al-Khilaf dan al-Tabsirah. Meninggal dunia pada tahun 476H dan dikebumikan di Baghdad.

[188]         al-Muhazzab, jld 1, ms 263.

[189]       Beliau ialah Imam ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Basri, lahir di Basrah pada tahun 364H. Seorang ahli fiqh yang ulung bagi Mazhab Shafi’i dari zamannya sehinggalah sekarang. Beliau banyak mengarang tetapi tidak semua hasil karangannya yang sampai kepada kita. Antara yang terbesar dan terpenting yang sampai ialah kitab al-Hawi al-Kabir yang mensyarahkan hukum-hukum fiqh al-Shafi’i yang diriwayatkan oleh salah seorang anak murid al-Shafi’i yang bernama al-Muzani. Beliau meninggal dunia di Baghdad pada tahun 450H.

[190]        Terkenal dengan gelaran Imam al-Muzani, nama sebenarnya ialah Ismail bin Yahya bin Ismail, berasal dari satu kabilah yang masyhur di kalangan bangsa Arab ketika itu, bernama Muzainah. Seorang periwayat hadis, ahli fiqh dan ahli debat yang kuat hujahnya. Pernah dikatakan terhadapnya: Jika dia berdebat dengan syaitan sekalipun nescaya dia akan menang. Beliau telah berguru dengan al-Shafi’i sekian lama sehingga dianggap sebagai pendamping, sahabat dan murid yang paling istimewa bagi al-Shafi’i. Malah beliau juga dikebumikan berhampiran makam al-Shafi’i setelah meninggal dunia pada tahun 264H.

[191]         al-Mawardi – al-Hawi al-Kabir Syarh Mukhtasar al-Muzani, jld 2, ms 132-133.

[192]      Beliau ialah Imam al-Husain bin Mas‘ud bin Muhammad, Abu Muhammad Muhyi al-Sunna al-Baghawi, lahir di Bagha, Parsi pada tahun 436H. Seorang ahli tafsir, hadis dan fiqh, paling dikenali melalui karyanya Syarh al-Sunnah yang merupakan himpunan hadis-hadis hukum fiqh dan pendapat para imam mazhab mengenainya. Meninggal dunia pada tahun 510H.

[193]         Syarh al-Sunnah, jld 3, ms 177.

[194]        Nama penuhnya Imam Muhammad bin Ismail bin Solah al-Kahlany al-San‘ani, seorang ahli hadis, ahli fiqh dan pentahqiq dari Yaman yang terkenal pada kurun ke 12H. Antara karyanya yang terkenal yang telahpun diterjemahkan ialah Subul al-Salam yang merupakan syarah bagi himpunan hadis-hadis hukum fiqh yang terkandung dalam kitab Bulugh al-Maram susunan Ibn Hajar al-‘Asqalani. Selain itu karya beliau yang terkenal ialah Taudhih al-Afkar li ma‘ani Tanqih al-Anzhor dalam bidang usul hadis, Ijabatul al-Sail, Syarh Bughyatul al-Amal dalam bidang usul fiqh dan al-Uddah Syarh al-Umdat li Ibn Daqiq al-‘Id dalam bidang fiqh. Meninggal dunia pada tahun 1182H.

[195]         Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, jld 1, ms 189.

[196]       Beliau ialah Muhammad ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Rahim al-Mubarakfuri, seorang ahli hadis yang terkenal dari benua India. Karya beliau yang paling masyhur ialah Tuhfah al-Ahwazi yang merupakan syarah bagi kitab Sunan al-Tirmizi. Ia adalah rujukan standard bagi sesiapa yang ingin mengkaji dengan lebih mendalam kitab Sunan al-Tirmizi, sama ada dari sudut sanad atau matan atau hukum fiqh. Meninggal dunia pada tahun 1353H.

[197]        Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmizi, jld 2, ms 159.

 

 

 
:: laman utama