|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
BAHAGIAN KEDUA 20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut CONTOH no 16 Hadis A: Ketika sujud, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membaca: Maha Suci Tuhan aku, lagi Maha Tinggi.[198] Hadis B: Ketika sujud, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membaca Maha suci Engkau (Ya Allah) dan segala puji bagi Engkau, Tiada yang berhak disembah melainkan Engkau.[199] Dua hadis di atas menerangkan zikir yang dibaca oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika sujud dalam solat. Kedua-dua zikir di atas nampaknya saling bercanggah, namun tidaklah demikian, ia hanyalah berbeza antara satu sama lain. Kedua-dua hadis di atas tidak lain hanyalah menunjukkan adanya pilihan untuk bacaan-bacaan zikir ketika sujud, kedua-duanya boleh diamalkan. Demikianlah juga dengan hadis-hadis yang menerangkan bacaan doa iftitah (pembuka solat), bacaan surah-surah al-Qur’an selepas al-Fatiha, zikir ketika rukuk, iktidal, duduk di antara dua sujud dan tasyahud. Terdapat beberapa bentuk bacaan, zikir dan doa yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, semuanya menunjukkan bahawa ia boleh dipilih dan dipraktikkan oleh umat, tanpa dimuktamadkan kepada satu bacaan sahaja. Antara hikmah adanya beberapa bacaan, zikir dan doa di dalam solat (kecuali surah al-Fatiha) adalah supaya seseorang yang bersolat itu mempunyai pilihan yang dapat dia sesuaikan dengan suasana sekeliling dan kehendak dirinya sendiri. Apabila dia bersolat sunat, dia membaca bacaan, zikir dan doa yang ringkas, apabila dia menjadi imam, dia membaca apa yang sederhana panjangnya agar tidak memberatkan makmum dan apabila dia bertahajud di malam hari, dia memilih bacaan yang lebih panjang. Pilihan bacaan, zikir dan doa juga membolehkan seseorang itu menukar-nukarnya bagi setiap solat yang didirikannya, sehingga setiap solat itu seolah-olah berbeza antara satu sama lain, malah terasa “baru dan terkini”. Pilihan bacaan, zikir dan doa juga menolong seseorang itu untuk lebih khusyuk dalam solatnya. Bukankah membiasakan diri dengan satu pilihan sahaja sering kali menyebabkan seseorang itu menjadi selesa dengannya sehingga tidak lagi perlu memberi perhatian terhadap apa yang sedang disebutkan ? Manakala hati dan fikiran pula mencuri kesempatan untuk lari jauh dari jasad. Penulis anjurkan para pembaca untuk cuba menghafal dan mengamalkan dua zikir di atas (Hadis A dan B) di dalam solat mulai saat ini. Dua zikir di atas sengaja penulis pilih kerana ia berbeza dengan apa yang lazim dibaca di Malaysia. Penulis pasti para pembaca akan lebih khusyuk ketika sujud kerana perhatian khas yang dicurahkan kepadanya, sama ada dari sudut sebutan mahupun maksudnya. Akan tetapi perlu diingatkan bahawa apabila seseorang itu memilih bacaan doa dan zikir di dalam solatnya, hendaklah dia memilih yang benar-benar berasal dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Tidak boleh mengubah bacaan dan zikir sesuka hati, kecuali doa yang dipohon kepada Allah Azza wa Jalla ketika sujud dan selepas lengkap bacaan tasyahud, sejurus sebelum memberi salam.[200]
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
=========================== [198] Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud – no: 871. (Kitab Solat, Bab Apa yang dikatakan oleh seseorang dalam rukuk dan sujud). Dalam beberapa hadis lain, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyebut seperti di atas, dengan tambahan wa bihamdih. [199] Sahih: Hadis daripada ‘A‘isyah radiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh Abu ‘Uwanah, Muslim dan al-Nasa’i, lihat Sahih Muslim – no: 485. (Kitab Solat, Bab Apa yang disebut dalam rukuk dan sujud). [200] Bagi beberapa bentuk bacaan dan zikir dalam solat yang sahih berasal dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, lihat buku Sifat Solat Nabi oleh Nasr al-Din al-Albani. Buku ini telah diterjemah ke dalam bhs Melayu, Indonesia dan Inggeris, diedarkan oleh beberapa penerbit; juga terdapat di layar internet. Lihat juga buku Koreksi Total Ritual Shalat oleh Abu Ubaidah Masyhurah.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||