|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
BAHAGIAN KEDUA 20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut Penjelasan Tambahan Contoh 15 Ada beberapa perkara penting yang perlu diperhatikan dalam bab ini: Pertama: Mengisyaratkan dengan jari, sama ada mengerak-gerakkannya atau tidak, bukanlah atas tujuan main-main atau sia-sia. Mengangkat satu jari ialah sebagai simbol dan petanda kita mentauhid dan mengesakan Allah Azza wa Jalla. Diriwayatkan dari Khifaf bin Ima’ bin Ruhdhah al-Ghiffari radiallahu ‘anhu: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam apabila baginda duduk di akhir solat (duduk tasyahud), baginda menunjuk dengan jari telunjuknya. Dan adalah orang-orang musyrikin mereka berkata, dia (Rasulullah) membaca sihir dengannya. Dan dustalah mereka. Akan tetapi (yang sebenarnya dilakukan oleh Rasulullah) ialah mentauhidkan (Allah).[180] Kedua: Kaedah mengerak-gerakkan jari adalah sebagaimana zahir hadis, iaitu ke atas dan ke bawah. Ia bukanlah berpusing-pusing atau dengan gerakan yang tidak menentu. Bukan juga gerakan yang dibuat seolah-olah menulis nama Allah (alif lam lam ha), Muhammad (mim ha mim dal) atau shaikh fulan bin fulan sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir ahli tariqat. Ketiga: Mengangkat jari telunjuk semasa menyebut “IllaLlah” ketika bersyahadah dalam bacaan tasyahud tidak ditemui dalil atau contohnya dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat dan tabiin radiallahu ‘anhum. (Lihat Penjelasan Tambahan II ) Keempat: Menggerak-gerakkan jari telunjuk secara berterusan ketika bertasyahud tidaklah dapat dihukum makruh atau dianggap sebagai pergerakkan yang membatalkan solat kerana ia adalah merupakan sunnah yang sahih dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ada yang berkata menggerakkan jari melebihi 3 kali akan membatalkan solat. Ini adalah juga tidak benar. Pembatasan kepada 3 kali pergerakan adalah pendapat sebahagian ilmuan atas dasar menjaga disiplin solat dari perbuatan yang sia-sia. Jika pergerakan tersebut memiliki dasar dalam sunnah Rasulullah atau kerana sebab-sebab yang benar, maka ia tidaklah membatalkan solat ataupun mengurangkan kesempurnaannya.[181]
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
=========================== [180] Sanad Daif: Atsar dikeluarkan oleh Ahmad, al-Thabarani dan al-Baihaqi, di atas adalah dengan lafaz al-Thabarani. Sanadnya memiliki beberapa perbincangan: al-Thabarani mengeluarkannya secara ringkas dalam al-Mu’jam al-Kabir – no: 4176 dan berkata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa‘id – no: 2843: Para perawinya thiqah. Namun riwayat yang lengkap dalam Musnad Ahmad – no: 16525 dan al-Sunan al-Kubra li al-Baihaqi – no: 2793 mendapati dalam sanadnya terdapat seseorang yang tidak dikenali, iaitu seorang lelaki dari Ahli Madinah yang meriwayatkan dari Khifaf bin Ima’ al-Ghiffari. Oleh itu penyemak Musnad Ahmad: Hamzah Ahmad Zaid berkata: Sanadnya daif. Dikemukakan sebagai penjelas kepada bab isyarat jari telunjuk dalam tasyahud. [181] Lebih lanjut lihat buku penulis: Panduan Ibadah dalam Musafir Penerbangan, ms 134.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||