|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
Maklumbalas Ketiga: Dalam buku Solat Tarawikh: Satu Perbahasan ke atas Fatwa yang Menetapkannya pada 20 rakaat, disebut bahawa riwayat Sa‘ib bin Yazid yang menerangkan bahawa orang ramai di zaman Umar mendirikan Solat Tarawikh sebanyak 20 rakaat adalah daif kerana salah seorang perawinya yang bernama Yazid bin Khusaifah yang dinilai sebagai periwayat hadis-hadis mungkar (ms 80 & 132). Akan tetapi pada bahagian lain (ms 133), disebut pula bahawa hadis tersebut memiliki isnad yang syadz, iaitu suatu hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang terpercaya (thiqah) tetapi matan atau sanadnya menyalahi riwayat daripada perawi lain yang lebih kuat daripadanya. Nampaknya ada dua penilaian terhadap Yazid bin Khusaifah, yang pertama sebagai periwayat hadis-hadis mungkar manakala kedua adalah perawi thiqah. Kenapakah terdapat perbezaan penilaian ini ? Penjelasan: Umumnya hadis mungkar bermaksud: hadis yang diriwayatkan oleh perawi daif dan ia bertentangan dengan riwayat perawi yang thiqah.[6] Malah al-Suyuti menyebut: Hadis mungkar ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang tidak thiqah.[7] Definisi di atas bukanlah yang dimaksudkan terhadap Yazid bin Khusaifah. Beliau, yang nama penuhnya ialah Yazid bin ‘Abd Allah bin Khusaifah bin ‘Abd Allah bin Yazid al-Madani, telah dinilai thiqah oleh beberapa pengkritik rawi, iaitu Yahya bin Ma‘in, al-Nasai, Abi Hatim dan Ibn Hibban.[8] Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani tentang Yazid bin Khusaifah: Thiqah dari (darjat) yang kelima.[9] Thiqah bererti terpercaya, ia adalah satu status yang diberi kepada seseorang perawi yang tidak menyamar dari siapa dia menerima sesuatu hadis (al-Mudallas), tidak terdapat padanya kecacatan (al-Jarh) dan tidak membawa hadis mungkar.[10] Akan tetapi di sisi Ahmad bin Hanbal, terdapat dua penilaian. Yang pertama beliau menthiqahkannya [11], malah beliau pernah berkata: Tidak aku ketahui tentangnya melainkan yang baik- baik.[12] Bagaimanapun dalam penilaian kedua, Ahmad bin Hanbal berkata Yazid bin Khusaifah adalah seseorang yang meriwayatkan hadis-hadis mungkar.[13] Penilaian Ahmad bin Hanbal di atas memerlukan penjelasan yang lebih terperinci. Apakah yang beliau maksudkan sebagai periwayat hadis-hadis mungkar apabila beliau sendiri bersama beberapa tokoh pengkritik rawi yang lain telah menilai Yazid bin Khusaifah sebagai perawi yang thiqah ? Sedangkan kita-kita sama tahu perbezaan antara perawi thiqah dan perawi mungkar sepertimana yang telah penulis nyatakan di atas. Sebenarnya definisi hadis mungkar memiliki erti yang lain di zaman awal terutamanya di sisi Ahmad bin Hanbal dan ‘Abd al-Rahman al-Nasai. Ianya bukan seperti yang ditakrifkan masa kini, tetapi ia bererti sesebuah hadis yang diriwayatkan secara bersendirian (tafarrud) sekalipun oleh perawi yang thiqah.[14] Riwayat tafarrud adakalanya diterima dan adakalanya ditolak. Perawi yang tafarrud dalam meriwayatkan sesuatu hadis hendaklah dikaji terlebih dahulu. Sekiranya hadis yang diriwayatkan itu menyalahi hadis yang diriwayatkan oleh perawi lain yang lebih baik daripadanya dari sudut ingatan (hafiz) dan pemeliharaan (dhabit), maka hadis yang diriwayatkan oleh perawi tersebut dihukum sebagai hadis syadz (aneh, janggal) dan mardud (tertolak). Sekiranya hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang tafarrud tidak bersalahan dengan sesuatu riwayat daripada perawi lain, malah hanya diriwayatkan olehnya dan tidak oleh perawi lain, maka hendaklah diteliti perawi tafarrud itu terlebih dahulu. Jika didapati perawi berkenaan adalah seorang yang adil, hafiz, mauthuq (dipercayai), itqan (sempurna) dan dhabit, maka riwayatnya secara tafarrud itu diterima tanpa sebarang kecacatan.[15] Maka apabila Ahmad bin Hanbal menilai Yazid bin Khusaifah sebagai perawi yang thiqah tetapi pada waktu yang sama sebagai periwayat hadis-hadis mungkar, setepatnya ia bermaksud bahawa Yazid bin Khusaifah adalah perawi yang terpercaya tetapi adakalanya beliau meriwayatkan hadis secara bersendirian sehingga setiap hadis yang dibawanya perlu disemak terlebih dahulu untuk menentukan sama ada ia menyelisihi hadis lain, sama ada dari sudut isnad mahupun matannya. Jika direnung kembali penjelasan ini, akan didapati bahawa ia tidak jauh berbeza dengan definisi hadis syadz, iaitu suatu hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang terpercaya (thiqah) tetapi matan atau sanadnya menyalahi riwayat daripada perawi lain yang lebih kuat daripadanya. Kerana itulah dalam kitab-kitab Usul Hadis, terdapat perbincangan antara perbezaan dan kesamaan istilah hadis mungkar dan hadis syadz, di antara zaman awal Islam (sehingga ke Ibn Salah) dan pertengahan Islam (Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Suyuti dan selepasnya). Maka perbezaan penilaian dalam buku Solat Tarawih penulis adalah perbezaan antara istilah, bukan pengertian.[16] Mengenai perbezaan penilaian Ahmad bin Hanbal terhadap Yazid bin Khusaifah, ia telah diterangkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: Yazid bin ‘Abd Allah bin Khusaifah al-Kindi, dan sesungguhnya dia dinasabkan kepada datuknya. Berkata Ibn Main: dipercayai hujahnya, dan (dinilai) terpercaya (oleh) Ahmad sebagaimana diriwayatkan oleh al-Atsram. Dan demikian juga (oleh) Abi Hatim dan al-Nasai dan Ibn Saad. Dan diriwayatkan (oleh) Abu Ubaid al-Ajri dari Abi Daud dari Ahmad bahawasanya dia (Ahmad) berkata: (Yazid adalah) periwayat hadis mungkar. Aku (Ibn Hajar) berkata: Lafaz ini digunakan oleh Ahmad ke atas sesiapa yang membawa hadis yang berlainan dari perawi-perawi lain yang sebanding dengannya (dalam pembawaan hadis yang berlainan tersebut). Perkara ini diketahui dengan mengkaji hadis yang dibawanya secara keseluruhan. Dan sesungguhnya kesemua Imam termasuk (Imam) Malik menerima Ibn Khusaifah sebagai hujah.[17] Kembali kepada riwayat perlaksanaan Solat Tarawikh secara 20 rakaat yang dibawa oleh Yazid bin Khusaifah, ia perlu dibandingkan dengan riwayat 11 rakaat yang dibawa oleh seorang perawi lain, yang bernama Muhammad bin Yusuf. Kedua-dua riwayat ini berasal dari al-Sa‘ib bin Yazid. Ringkasnya kedua-dua riwayat ini dapat dibandingkan dengan gambaran berikut: al-Sa‘ib bin Yazid > Yazid bin Khusaifah = 20 rakaat.[18] al-Sa‘ib bin Yazid > Muhammad bin Yusuf = 11 rakaat.[19] Di sini jelas nampak perselisihan sekalipun kedua-duanya meriwayatkan dari al-Sa‘ib bin Yazid. Kini giliran kita untuk menyemak kedudukan Muhammad bin Yusuf pula. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Yusuf bin ‘Abd Allah bin Yazid al-Kindi al-‘Araj al-Madani. Beliau dinilai thiqah oleh Yahya bin Ma‘in, Ibn al-Madini, Ahmad bin Hanbal dan al-Nasai.[20] Muhammad bin Yusuf adalah juga merupakan guru kepada Yahya bin Sa‘id al-Qatthan, yang kemudiannya pula menjadi seorang tokoh hadis yang ulung di zamannya. Yahya bin Sa‘id telah menthabitkan Muhammad bin Yusuf.[21] Thabit ertinya dijadikan hujah hadis-hadisnya.[22] Apabila merujuk kepada isnad, Thabit memiliki erti yang sama dengan Sahih atau Hasan.[23] Dalam satu ketika lain Yahya bin Sa‘id berkata: Tidak aku lihat (ketahui) seseorang yang dapat menandingi kethiqahan shaikh aku ini.[24] Selain itu berkata Ahmad bin Saleh, yakni al-Masri, tentang Muhammad bin Yusuf: (Sifat) thabit baginya adalah nyata.[25] Berkata Ibn Hajar: Thiqah, thabit dari (darjat) yang kelima.[26] Di sini jelas kelihatan perbezaan penilaian para tokoh pengkritik, di mana Muhammad bin Yusuf dinilai thiqah dan thabit ; tidak thiqah sahaja dan tidak dinilai mungkar di sisi Ahmad bin Hanbal sepertimana terhadap Yazid bin Khusaifah. Riwayat 11 rakaat yang dibawa oleh Muhammad bin Yusuf juga memiliki jalan (turuq) periwayatan yang kedua, iaitu: al-Sa‘ib bin Yazid > Yahya bin Sa‘id al-Qatthan = 11 rakaat.[27] Kelebihan Muhammad bin Yusuf berbanding Yazid bin Khusaifah dan kewujudan jalan kedua dari Yahya bin Sa’id yang turut menyokong riwayat Muhammad bin Yusuf menyebabkan riwayat yang dibawa oleh Yazid bin Khusaifah jatuh ke tangga syadz dan ini adalah salah satu dari cabang bagi hadis-hadis yang dihukum daif. Ingin ditambah, bahawa pengklasifikasian Yazid bin Khusaifah sebagai periwayat hadis-hadis mungkar di sisi Ahmad bin Hanbal bukanlah bererti penolakan mutlak kepada beliau sebagai perawi hadis. Kerana sebagaimana terang Ibn Hajar al-‘Asqalani: Dan sesungguhnya kesemua Imam termasuk (Imam) Malik menerima Ibn Khusaifah sebagai hujah. Yang ditolak hanyalah sesuatu hadis yang dibawanya secara bersendirian yang menyelisihi hadis lain yang dibawa oleh perawi yang lebih thiqah atau / dan perawi-perawi lain yang lebih ramai jumlahnya.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
=========================== [6] Subhi Salih – Ilmu Hadith: Satu Pengenalan dan Kajian, ms 191. [7] Alfiyah fi Mustalah al-Hadis, dinukil dari Subhi Salih – Ilmu Hadith, ms 193. [8] ‘Abd al-Rahman bin Abi Hatim al-Razi – al-Jarh wa al-Ta’dil, jld 9, ms 274, perawi no: 1153, juga Ibn Hibban – Masyahir ‘Ulama’ al-Amsor, ms 135, perawi no: 1066; Ibn Hibban – Kitab al-Thiqah, jld 7,ms 616, perawi no: 11734; al-Mizzi – Tahzib al-Kamal, jld 32, ms 172, perawi no: 7012; al-Dzahabi – Mizan al-Iktidal, jld 7, ms 250, perawi no: 9723; dan Ibn Hajar al-‘Asqalani – Lisan al-Mizan, jld 7, ms 478, perawi no: 5298, juga Tahzib al-Tahzib, jld 11, ms 340, perawi no: 652. [9] Taqrib al-Tahzib, jld 2, ms 327, perawi no: 7766. Yang dimaksudkan dengan darjat ke lima ialah kedudukan generasi perawi (tabaqat). Lebih lanjut lihat bahagian Muqaddimah Taqrib al-Tahzib [10] Farouq Hamdah – al-Minhaj al-Islami fi al-Jarh wa al-Ta’dil, ms 51. [11] al-Jarh wa al-Ta’dil, Tahzib al-Kamal, Mizan al-Iktidal, Lisan al-Mizan dan Tahzib al-Tahzib; seperti di atas. [12] Ahmad bin Hanbal – Jamii’ al-‘Illal wa Ma’refah al-Rijal, jld 2, ms 32, perbincangan no: 248. Dengan perkataan ini, pentahqiq kitab Tahzib al-Kamal: Basyar Awad Ma’ruf (jld 32, ms 173, notakaki 3) berpendapat bahawa keterangan dari Ahmad bin Hanbal bahawa Yazid bin Khusaifah adalah periwayat hadis-hadis mungkar adalah tidak benar kerana nampaknya bertentangan antara satu sama lain. Penulis berpendapat mungkin yang ditolak oleh Bashar Awad adalah pengertian mungkar sepertimana lazimnya, tetapi mungkar yang sebenarnya dimaksudkan oleh Ahmad bin Hanbal adalah berlainan dari yang lazim, sepertimana yang akan diterangkan sejurus nanti, insya-Allah. [13] al-Dzahabi – al-Kasyaf, jld 2, ms 385, perawi no: 6326, juga Mizan al-Iktidal – perawi no: 9723 ; Tahzib al-Kamal – perawi no: 7012 dan Ibn Hajar al-‘Asqalani – Tahzib al-Tahzib, jld 11, ms 297, perawi no: 553. [14] al-San‘ani – al-Taudih: al-Taudih al-Afkar li Ma’ani Tanqih al-Anzar, jld 2, ms 6-7; Subhi Salih – Ilmu Hadith, ms 193 dan Mustafa Said Khin & Badi’ al-Sa‘id al-Laham – al-‘Iydoh fi ‘Ulum al-Hadis wa al-Istilah, ms 179-183. [15] al-Suyuti – al-Tadrib: Tadrib al-Rawi Syarh Taqrib al-Nawawi, ms 82 ; dinukil dari Subhi Salih – Ilmu Hadith, ms 192. [16] Di waktu yang sama penulis mengakui kekurangan buku Solat Tarawih tersebut kerana tidak mengandungi penjelasan terperinci terhadap status dan definisi istilah-istilah hadis yang diperhujahkan. Asalnya memang menjadi hajat penulis untuk menjelaskan status serta istilah setiap hadis secara terperinci tetapi penulis berubah pendapat mengingatkan banyaknya ruang kertas yang diperlukan seperti perbincangan Yazid bin Khusaifah di atas (dan ini akan meninggikan harga buku jika setiap hadis diperincikan sedemikian) dan suasana yang mungkin akan memberatkan para pembaca (sehingga mungkin membosankan segelintir). Maka penulis memilih untuk membincang sesuatu hadis secara “umum” sahaja, tidak terlalu mendalam dan terperinci. [17] Muqaddimah Fath al-Bari, ms 632. [18] Dikeluarkan oleh al-Firyabi dalam al-Siyam – no: 76-1 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, jld 2, ms 496 sebagaimana dalam Solat Tarawikh, ms 80. [19] Dikeluarkan oleh Malik dalam al-Muwatha’ – no: 06-2-4 sebagaimana dalam Solat Tarawikh, ms 82. [20] Ibn Abi Hatim – al-Jarh wa al-Ta’dil, jld 8, ms 118, perawi no: 530; al-Mizzi - Tahzib al-Kamal, jld 27, ms 49, perawi no: 5715 dan Ibn Hajar al-‘Asqalani – Tahzib al-Tahzib, jld 9, ms 534, perawi no: 877. [21] al-Bukhari – al-Tarikh al-Kabir, jld 1, ms 260, perawi no: 843. [22] al-Munziri – Risalah fi al-Jarh wa al-Ta’dil, ms 28. Perhatian: Ianya tidak sama dengan sifat Dhabit. [23] Mustafa Said Khin & Badi’ al-Sa’id al-Laham – al-‘Iydoh fi ‘Ulum al-Hadis wa al-Istilah, ms 94. [24] Tahzib al-Kamal dan Tahzib al-Tahzib, seperti di atas. [25] Tahzib al-Tahzib, seperti di atas. [26] Ibn Hajar al-‘Asqalani – Taqrib al-Tahzib, jld 2, ms 149, perawi no: 6433. [27] Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf, jld 2, ms 89, no: 02, sebagaimana dalam Solat Tarawikh, ms 88.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||