Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

Maklumbalas kedua:

            Dalam buku-buku saudara Hafiz Firdaus, kelihatan banyak semakan status hadis yang disandarkan kepada penilaian Shaikh Nasiruddin Albani. Dalam bacaan saya dan perbincangan bersama rakan-rakan, didapati bahawa Shaikh Albani banyak membuat kesilapan dan kekeliruan dalam semakan dan penilaian beliau terhadap hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ada pula yang mengatakan Shaikh Albani mensahihkan hadis yang selari dengan fikrahnya dan mendaifkan hadis yang bertentangan. Malah ada sebuah buku khas dalam hal ini yang berjudul “Albani Unveiled” yang diterjemah dari karya asal Shaikh Hasan al-Saqqaf. Apa pandangan saudara Hafiz Firdaus tentang hal ini?

Penjelasan:

Kritik mengkritik sesama tokoh ilmuan Islam terhadap pandangan dan ijtihad masing-masing memang merupakan suatu yang lazim di dalam dunia ilmiah Islam. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa antara cara untuk kita menambah pengetahuan dan meluaskan khazanah ilmiah ialah dengan mengikuti kritikan dan perbincangan antara tokoh, asal sahaja kita memiliki kekuatan dan kedewasaan yang secukupnya. Apabila kita orang awam hendak berinteraksi sama dengan suasana sebegini, kita perlu menjadikan dua dasar berikut sebagai asas pertimbangan:

Pertama:

Hendaklah kita pastikan bahawa antara sesama yang mengkritik, mereka memiliki keikhlasan kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bertujuan untuk mencari kebenaran antara beberapa pendapat yang sama-sama benar. Jika yang saling mengkritik memiliki niat dan tujuan selain di atas, maka tidak ada faedahnya untuk kita orang awam mengikutinya, malah lebih baik menjauhinya. Tidak dapat dinafikan bahawa ada segelintir yang saling mengkritik kerana niat dan tujuan lain, seperti untuk mendapat tempat di mata orang awam atau pengikutnya, untuk menegakkan fahamannya dan menjatuhkan kedudukan orang lain yang dipandangnya sebagai “lawan”. Tidak kurang juga yang mengkritik itu adalah dari Golongan Syi‘ah yang berpura-pura (taqiyyah) sebagai seseorang dari Golongan Ahli Sunnah wal Jamaah.

          Antara cara untuk kita mengenali keikhlasan dan tujuan seseorang pengkritik adalah dengan memerhatikan bahasa dan gaya susunan ayat yang digunakannya. Jika ia dipenuhi dengan perkataan sumbang dan susunan bahasa yang kasar, yakinilah bahawa pengkritik tersebut tidak mengkritik kerana Allah demi mencari kebenaran. Firman Allah Azza wa Jalla:

Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik; sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka; sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. [al-Israa’ 17:53]

Kedua:

           Hendaklah kita pastikan bahawa sesama yang mengkritik adalah mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang yang sedang dikritiknya. Kita tidak akan dapat memperoleh sebarang manfaat jika salah seorang dari yang mengkritik adalah seseorang yang tidak memiliki kepakaran dan kemahiran dalam bidang yang dikritiknya. Yang akan kita dapati hanyalah kemudaratan dan kekeliruan.

Dua dasar tersebut hendaklah sentiasa diguna oleh setiap individu yang mahu turut serta mengkaji dan menganalisa kritikan dan perdebatan antara sesama tokoh. Penulis terangkan secara umum kerana hal ini sebenarnya tidak hanya melibatkan antara Shaikh Albani dan Shaikh al-Saqqaf tetapi termasuk juga beberapa tokoh lain di sepanjang zaman, yang telah berlalu atau yang akan datang.

Kembali kepada asal pertanyaan tentang kritikan yang dilontarkan oleh Shaikh al-Saqqaf terhadap Shaikh Albani, penulis menyerahkan penilaiannya kepada semua individu yang masih terbuka fikiran dan mindanya. Hendaklah dinilai berdasarkan dua asas yang penulis gariskan di atas.

           Penulis lebih berminat memberi pendapat terhadap Shaikh Albani itu sendiri, di mana beliau sepertimana tokoh-tokoh yang lain, adalah merupakan seorang manusia yang tidak terpelihara dari membuat kesilapan. Akan tetapi yang dicari-cari dari seseorang tokoh ialah kesanggupan dia menerima kritikan dan membetulkan dirinya apabila didapati kritikan itu adalah benar lagi tepat tanpa mengira sama ada yang mengkritik itu adalah lawannya atau anak muridnya sendiri. Dalam hal ini tidak sedikit kita dapati Shaikh Albani membetul dan meralat semula penilaian beliau terhadap sesebuah hadis jika beliau dapati penilaian yang sebelumnya adalah salah atau kurang tepat.

           Lebih dari itu kita mengalu-alukan kritikan-kritikan tersebut kerana ia secara tidak langsung menyempurnakan lagi semakan asal yang dilakukan oleh Shaikh Albani. Kita akan dapat melihat apa yang tepat dan yang kurang tepat, apa yang jelas dan apa yang samar dan perbandingan antara beberapa pendapat yang sama-sama benar. Ini sudah tentu lebih baik daripada sesuatu yang tidak dikritik dan diulas langsung oleh sesiapa.

            Merujuk kepada buku Shaikh al-Saqqaf yang khas diusahakan bagi mendedahkan kesilapan dan kekeliruan Shaikh Albani, yang telah diterjemah dan diringkaskan di atas tajuk “Albani Unveiled”[4] , ianya telah dijawab semula secara baik dan ilmiah, di mana dalam jawapan tersebut jelas kepada kita siapakah sebenarnya yang telah di “Unveiled” sebagai yang silap lagi keliru. Pada masa penulis menaip maklumbalas ini, jawapan terhadap buku “Albani Unveiled” telahpun dipaparkan secara ringkas di laman web: http://www.Islam.net  dalam bahagian Knowledge di bawah tajuk Refutations. Sesiapa yang pintu-pintu ilmunya masih terbuka dijemput mengkaji jawapan tersebut secara mendalam.[5]

           Merujuk kepada anggapan bahawa Shaikh Albani hanya mensahihkan hadis yang selari dengan fikrahnya dan mendaifkan hadis yang bertentangan, ingin penulis tegaskan bahawa ilmu menyemak dan mengkaji hadis adalah sesuatu yang terbuka lagi telus (transparent). Di dunia Islam masa kini terdapat ramai lagi tokoh hadis seperti Shaikh Siddiq al-Ghumari, Shaikh Syu‘aib al-Arna’uth, Shaikh Salim Husain Asad dan lain-lain lagi. Sekiranya tuduhan di atas benar, ia telah lama dikenal pasti dan dibongkarkan kepada orang awam. Namun yang benar ianya tidaklah sedemikian. Tiga tokoh di atas serta beberapa yang lain memang pernah berbeza pendapat dengan Shaikh Albani tetapi tidak ada yang melampaui batas sehingga melahirkan tuduhan yang seumpama.

            Akhir kata apabila ditanya kepada penulis tentang Shaikh Nasiruddin Albani, penulis berkata, dia merupakan seorang tokoh yang sumbangannya dalam bidang hadis tidak patut kita abaikan begitu sahaja. Dan pada waktu yang sama beliau juga adalah seorang manusia yang tidak terpelihara dari membuat kesilapan, maka tugas kita ialah membetulkan kesilapan tersebut, bukan menjadikannya sebagai sumber fitnah sesama umat.

 

 

===========================

[4]     Boleh dirujuk pada laman web: http://www.ummah.net/Al_adaab/albintro.html

[5]     Lebih lanjut lihat juga laman web: http://troid.org/Janaaza/  dan klik pada hasan1.htm sehingga hasan8.htm. Atau rujuk ke laman web: http://www.troid.org/ dalam bahagian Manhaj, di bawah tajuk Leaving innovations and it’s people.

 

 

 
:: laman utama