Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

Penjelasan hadis-hadis Nabawi tentang harta.

Kini kita kembali kepada asal perbincangan bab ini, iaitu menghilangkan percanggahan antara hadis-hadis yang membenci harta dan yang menyukainya. Mari kita bandingkan hadis-hadis tersebut satu persatu.

Hadis A yang bermaksud Aku berdiri di pintu syurga, maka aku dapati kebanyakan orang yang memasukinya adalah daripada kalangan orang miskin; sedangkan orang-orang yang kaya tertahan bukanlah bererti orang-orang yang memiliki harta kekayaan akan tertahan secara automatik. Hadis ini sebenarnya hanya bertindak sebagai peringatan kepada umat agar berhati-hati dari mana mereka memperolehi harta mereka dan bagaimana mereka membelanjakannya.[220] Jika diperolehi secara halal dan dikeluarkan zakatnya, maka pemilik harta tersebut tidak akan ditahan untuk masuk syurga. Malah jika pemilik tersebut banyak bersedekah dan membuat kebajikan dengan hartanya, dia akan masuk syurga dengan pantas tanpa halangan. Perlu diingatkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan menghisab hamba-Nya di Hari Akhirat nanti bukan berdasarkan satu dua perbuatan tetapi berlandaskan kepada seluruh perbuatan, tindakan dan tujuan.

Mencari harta bukanlah sesuatu yang dilarang, bukankah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: …… dan bermusafirlah nescaya kalian akan kaya (Hadis J). Malah lebih dari itu, Allah Azza wa Jalla juga telah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya. [al-Jumaah 62:9-10]

Maka petunjuk Hadis A di atas bukanlah menetapkan bahawa orang yang berharta akan tertahan dari memasuki syurga, tetapi ia adalah sebagai peringatan agar umat sentiasa berhati-hati akan sumber perolehan harta mereka.

Manakala sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam Hadis B yang bermaksud celakalah hamba dinar dan dirham , yang sebenarnya dilaknat oleh baginda bukanlah dinar dan dirham tetapi adalah orang-orang yang memperhambakan diri mereka kepada dinar dan dirham. Mereka adalah orang-orang yang mempertuhankan harta dan kekayaan, dengan keduanya mereka merasa sempurna lagi berkekalan. Tujuan hidup mereka adalah semata-mata mengutip kekayaan dan harta, menimbun dan memperbanyakkannya. Mereka menjadi gembira apabila harta mereka bertambah, menjadi sedih apabila harta mereka berkurangan. Orang seperti inilah yang juga pernah dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an:

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji; Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini) ! [al-Humazah 104:1-3]

Adapun bagi seseorang yang memandang harta dan kekayaan sebagai amanah Allah Ta‘ala dan dia menguruskannya dengan penuh tanggung jawab mengikut peraturan syari‘at Islam, orang tersebut tidaklah dilaknat atau dicela, malah dikasihi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesungguhnya Allah mengasihi hamba yang bertaqwa, kaya dan tidak menonjolkan diri.[221]

Apatah lagi apabila harta tersebut digunakan untuk membina dan menegakkan agama dan umat Islam seperti projek dakwah, menyebarkan ilmu, pergi berjihad, membantu para mujahidin dan lain-lain lagi. Orang seperti inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai sebaik-baik pemilik harta. Sabda baginda dalam Hadis I: Sebaik-baik harta yang halal adalah harta yang dimiliki oleh orang yang soleh.

Bagaimana orang-orang soleh ini berinteraksi dengan harta mereka telah dirakamkan oleh Allah Tabaraka wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an, antaranya:

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). [al-Hujerat 49:15]

Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. [Hadid 57:07]

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). [al-Saff 61:11]

Adapun hadis …fitnah bagi umatku adalah harta (Hadis C), maka fitnah itu boleh terjadi pada kelebihan atau kekurangan harta. Orang yang kaya banyak memiliki ujian dengan hartanya itu, seperti menahan diri dari sifat tamak (Hadis D), boros, ria’ dan sebagainya. Manakala orang yang fakir juga memiliki ujian dengan kefakirannya itu, seperti tidak menjerumuskan diri dalam kemaksiatan (Hadis K), tidak meminta-minta (Hadis H), tidak melahirkan rasa tidak puas hati, tidak bersyukur dan sebagainya. Kerana itulah apabila mendoakan umatnya supaya terlepas dari fitnah harta, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyama-ratakan antara fitnah kekayaan dan fitnah kefakiran:

            Ya Allah, aku berlindung kepada engkau dari kemalasan dan (dari) sakit tua dan (dari) semua jenis dosa dan (dari) hutang, dan dari fitnah kubur dan dari azab kubur, dan dari fitnah api neraka dan dari azab neraka, dan dari keburukan fitnah kekayaan dan aku berlindung kepada Engkau dari fitnah kefakiran.[222]

Yang terakhir antara hadis-hadis di atas adalah doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (Hadis E) yang bermaksud: Ya Allah, hidupkanlah aku dalam kemiskinan, matikanlah aku dalam kemiskinan dan kumpulkanlah aku (pada Hari Kiamat kelak) dalam golongan orang yang miskin.

Maksud kemiskinan yang didoakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis di atas perlu dikaji bersama dua buah hadis lain, yang pertama adalah doa Rasulullah meminta perlindungan dari kefakiran:

Dan aku berlindung kepada engkau dari kefakiran….[223] manakala yang kedua adalah doa Rasulullah yang memintakan kekayaan (Hadis G): Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Kamu petunjuk, ketaqwaan, kebersihan diri dan kekayaan.

Petunjuk dari dua doa terakhir Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membuatkan kita bertanya, apakah kemiskinan yang dimaksudkan oleh baginda dalam doanya yang pertama di atas ? Jika yang dimaksudkan adalah kemiskinan harta benda, pasti Rasulullah akan berdoa dengan kata-kata: “Ya Allah, hidupkanlah aku dalam kefakiran, matikanlah aku dalam kefakiran dan kumpulkanlah aku (pada Hari Kiamat kelak) dalam golongan orang-orang fakir.” Ini adalah kerana perkataan fakir jelas memiliki erti ketiadaan harta benda. Memandangkan Rasulullah tidak mendoakan dengan kata-kata kefakiran, dan dibandingkan pula dengan lain-lain doa baginda sepertimana di atas, ditafsirkan bahawa kemiskinan yang didoakan oleh Rasulullah tersebut sebenarnya bermaksud mendoakan sifat tawadhu’ dan  rendah diri.[224]

            Berkata Ibn Athir [225] tentang hadis di atas: Yang dimaksudkan adalah tawadhu’ dan rendah diri, dan dia tidak tergolong dari kalangan orang yang bongkak dan membesarkan diri.[226] Al-Munawi [227] dan al-Ajluni [228]mengutip kata-kata Shaikh al-Islam Zakariya [229]: Maknanya adalah meminta sifat tawadhu’ dan rendah diri dan tidak menggolongkan diri dari kalangan orang-orang yang bongkak, membesarkan diri dan bermewah-mewahan dalam kekayaan.[230]

Daripada perbandingan dan penjelasan antara 10 hadis-hadis di atas, nyatalah kepada kita akan apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sepertimana yang penulis katakan sebelum ini, kesemua 10 hadis tersebut sebenarnya saling melengkap antara satu sama lain sehingga ia harus difahami secara keseluruhannya dan tidak secara berasingan. Setelah dilihat secara keseluruhannya, di samping pimpinan dari ayat-ayat al-Qur’an al-Karim, jelaslah bahawa yang dikehendaki Islam dalam bab kekayaan dan pemilikan harta adalah sesuatu yang berada di pertengahan, tidak terlalu condong ke kiri dan tidak terlalu condong ke kanan.

 

 

 

===========================

[220]      Ianya tergolong dalam kategori hadis al-Targhib wa al-Tarhib, iaitu hadis-hadis yang tujuannya ialah memberi anjuran akan sesuatu kebaikan dan memberi peringatan akan sesuatu keburukan. Hadis-hadis seperti ini tidak sepatutnya difahami secara zahir atau face value tetapi hendaklah dari sudut anjuran atau peringatannya. Antara contoh hadis yang tergolong dalam kategori ini ialah hadis anjuran solat Sunat Fajar 2 rakaat, iaitu solat sunat Qabliyah Subuh di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda mengenainya:

               Dua rakaat solat Fajar adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya. [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan lain-lain, dinukil oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Sagheir – no: 4465]

                Hadis ini hanya sekadar menerangkan besarnya keutamaan dan fadhilat solat sunat 2 rakaat sebelum solat fardhu Subuh, ia tidaklah pula bererti bahawa orang yang melaksanakannya di pagi hari telah melakukan sesuatu yang paling baik sehingga dia tidak perlu lagi bangun untuk mengusahakan harinya tersebut. Demikianlah juga Hadis A di atas yang sedang dibicarakan, ia sekadar memberi peringatan tentang cara bagaimana seseorang mencari harta, bukan menerangkan bahawa harta akan menahan seseorang itu ke syurga.

[221]        Sahih: Hadis daripada Sa‘id bin Abi Waqash radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2965 (Kitab Zuhud dan Raqa‘iq).

[222]      Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang daripada ‘A‘isyah radiallahu ‘anha, lihat Sahih al-Bukhari – no: 6368. (Kitab Doa, Bab Meminta perlindungan Allah dari semua dosa dan hutang).

[223]        Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi (Kitab al-Doa) daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, dinukil dan dinilai sahih oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Sagheir – no: 1489 dan dipersetujui sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jami’ al-Sagheir – no: 1285. Teks penuh doa ini telah penulis salin dalam bahagian notakaki beberapa mukasurat sebelum ini.

[224]         Ibn Qutaibah – Ta’wil Mukhtalaf al-Hadith, ms 112-113.

[225]      Terdapat 3 orang tokoh besar yang bergelar Ibn Athir, ketiga-tiganya adalah adik beradik:

[1]           Abu al-Sadat Mubarak bin Abi al-Karim, beliaulah pengarang kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar. Kitab setebal 5 jilid ini khusus membicarakan perkataan-perkataan yang wujud di zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tetapi telah berubah maksud, istilah serta penggunaannya pada masa kemudian selari dengan perkembangan tamadun dan peradaban. Antara karya beliau yang lain ialah Jamii’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul yang menghimpunkan semua-hadis-hadis Rasulullah yang menjadi dasar agama dan sebuah lagi kitab yang merupakan syarah kepada kitab Musnad al-Shafi‘i. Meninggal dunia pada tahun 606H.

[2]           Izz al-Din Abu al-Hasan ‘Ali bin Abi al-Karim, seorang ahli sejarah yang terkenal di zamannya. Antara karya beliau yang masyhur adalah al-Kamil fi Tarikh dan Usad al-Ghabah fi Ma’refah al-Sahabah. Meninggal dunia pada tahun 630H.

[3]           Abu al-Fath Nasr Allah bin Abi al-Karim, terkenal sebagai seorang sasterawan. Antara karyanya yang masyhur adalah al-Mithal al-Sa‘ir fi Adab al-Katib wa al-Sya‘ir. Meninggal dunia pada tahun 637H.

[226]       An-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, jld 2, ms 346.

[227]      Beliau ialah al-Hafiz Imam ‘Abd al-Rauf bin Taj al-Din al-Munawi al-Qahiry, lahir pada tahun 952H dan meninggal dunia pada 1031H di Mesir. Beliau ialah seorang ahli hadis yang terkenal di zamannya, dan antara karya beliau yang termasyhur ialah Faidh al-Qadir yang merupakan syarah kepada kitab al-Jami’ al-Sagheir susunan al-Suyuti (911H). Selain itu beliau juga menyusun sebuah lagi kitab syarah al-Jami’ al-Sagheir yang lebih ringkas, berjudul al-Taysir al-Jami’ al-Sagheir. Lain-lain karya beliau ialah Najirah al-Fikri dan al-Yawaqiit wa al-Durar, kedua-duanya dalam bidang ilmu hadis, syarah kepada kitab Nukhbah al-Fikri karya Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H).  

[228]     Beliau ialah Shaikh Isma‘il bin Muhammad al-Ajluni al-Dimasqy. Kitab beliau yang berjudul Kasyfu al-Khafa wa Muzil al-Ilbas ‘amma Isytahara min Ahadith ‘ala Alsinah al-Nas merupakan ringkasan kitab al-Syakhowi (905H) yang berjudul Maqasid al-Hasanah fi Bayan Katsir min Ahadith al-Musytahirah ‘ala al-Alsinah. Ia menghimpunkan hadis-hadis yang masyhur berlegar di lisan orang ramai, dengan dijelaskan status hadis-hadis tersebut (sahih, daif, maudhu’) diikuti maksud serta pengertiannya yang sebenar bagi membetulkan fahaman orang terhadap hadis tersebut.

[229]     Beliau ialah al-Imam Shaikh al-Islam Zakariya ibn Muhammad ibn Ahmad, juga dikenali sebagai Zakariya Ansari, seorang hafiz dalam bidang hadis dan pakar dalam bidang penghakiman dan ilmu-ilmu al-Qur‘an. Juga dikenali dengan gelaran Shaikh kepada para Shaikh kerana banyaknya anak-anak muridnya yang kemudian menjadi shaikh. Beliau lahir pada tahun 823H di Sanika, Mesir dan meninggal dunia pada tahun 926H.

[230]       al-Munawi – Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Sagheir, jld 2, ms 102 dan al-Ajluni – Kasyfu al-Khafa, jld 1, ms 163-164.

 

 
:: laman utama