Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

Penjelasan Tambahan Contoh 18

Mengikut analisa penulis, antara ajaran Islam yang paling disalah fahami ialah tentang konsep harta dan kekayaan. Rata-rata umat memahami bahawa Islam membenci harta dan mendidik umatnya untuk menjauhi harta. Tidak kurang juga terdapat para ustaz dan para dai yang di sana-sini menyampaikan kuliah dan ceramah bahawa harta adalah sesuatu yang tercela dan perlu disisihkan dari agama. Mereka tidak terlepas dari menyampaikan hikayat-hikayat bagaimana beberapa individu tertentu di zaman lalu hidup sehelai sepinggang dengan pandangan bahawa cara hidup yang disengajakan demikian adalah sesuatu yang menepati syari‘at Islam.

Fahaman ini adalah salah. Sebelum ini telahpun penulis senaraikan ayat-ayat al-Qur’an al-Karim tentang harta dan kekayaan serta membahas hadis-hadis yang berkaitan dengannya. Semuanya memberi petunjuk bahawa harta adalah sesuatu yang bernilai lagi diiktiraf di sisi Islam. Jika ada celaan atau peringatan, ia hanya ditujukan kepada cara seseorang itu berinteraksi dengan hartanya, bukan pada unsur harta itu sendiri.

Berkata Ibn al-Jauzi [231]:

Dan memanglah tidak dapat diingkari bahawa harta itu termasuk antara hal-hal yang dibimbangi akan timbul fitnah daripadanya dan ramai orang membelakanginya kerana bimbangkan kebencanaannya itu. Sedang mengumpul harta itu dari satu segi sungguh menyusahkan, padahal terselamatnya hati dari bencananya agak jauh sekali dan kemasyghulan hati [232] pula dengan adanya banyak harta untuk mengingatkan Akhirat sangat sukar pula. Dan sebab itulah dibimbangi sangat akan fitnah dan bencana dari harta itu.

Adapun berusaha mencari harta itu sendiri, jika sekadar mendapatkan sara hidup dari jalannya yang halal, maka itu adalah suatu perkara tidak boleh tidak. Tetapi jika maksudnya untuk mengumpul harta dengan menimbunnya banyak-banyak dari jalannya yang halal, perlulah kita lihat niat dan tujuan orang yang menimbun itu. Jika dia bermaksud untuk membanggakan diri dan menunjuk-nunjukkannya kepada orang ramai sebagai orang kaya raya, maka buruklah niatnya dan maksudnya itu. Tetapi jika maksudnya hendak menutup keperluan anak isteri dan orang-orang tanggungannya, kemudian untuk menyimpan sebahagian daripadanya untuk masa hadapannya dan masa hadapan keluarga yang ditanggungnya sesudah dia meninggal dunia nanti, juga barangkali untuk membantu setengah teman taulan dan membelanjakannya kepada kaum fakir miskin dan menderma kepada maslahat-maslahat umum, tentu dia akan diberikan pahala atas niatnya itu. Dan menyimpan niat dan tujuan seperti ini tentulah lebih utama lagi daripada mengerjakan bermacam-macam amal soleh yang lain.

Demikianlah biasanya niat kebanyakan daripada para sahabat Nabi radiallahu ‘anhum dalam hal mengumpul harta, niat mereka adalah suci disebabkan tujuan mereka baik sekali. Sebab itulah mereka mementingkan sifat mencari harta dan sentiasa memohon penambahannya.

Dan sebelum ini, telah kami sebutkan apa yang ditinggalkan setengah-setengah sahabat Nabi. Dan Sufyan al-Tsauri, bila meninggal dunia telah meninggalkan 200 dinar seraya mengatakan: “Harta pada zaman ini adalah seperti senjata.” Begitulah seterusnya, para salaf tetap memuji adanya harta, dan orang yang mengumpul harta persediaan bagi kebutuhan masa hadapan dan untuk membantu kaum fakir miskin.

Hanya sahaja ada satu kaum yang membelakangi harta itu disebabkan lebih mementingkan amal ibadahnya untuk hari Akhirat supaya tidak diganggu dengan memikirkannya, dan mereka pula mencukupi dengan apa yang ada sahaja. Dan kalaulah ada orang yang peringkat ini yang mengatakan: “Bahawa bersedikit-sedikit dengan harta itu adalah lebih utama.” Maka ucapan serupa itu dekatlah dengan perkara kita, akan tetapi mungkin itu akan menghampiri peringkat duduknya dosa pula.[233]

Sangatlah benar kata-kata Ibn al-Jauzi di atas.

           Jika seseorang itu memikirkan benar-benar akan harta dan fungsinya kepada manusia, akan didapati bahawa ianya sangat bermanfaat, apatah lagi kepada umat Islam masa kini yang tidak lebih hanyalah sekadar satu spesis yang ditolak ke sana ke mari, dipergunakan apabila ada kepentingan,dibakul-sampahkan apabila selain dari itu.

Dengan harta umat dapat kembali bangun dan mendudukkan diri mereka di mukabumi ini. Dengan harta umat dapat menubuhkan institusi-institusi pendidikan dan mengangkat taraf umat dari jahil kepada berilmu, dari pengikut menjadi pemikir, dari pengguna kepada pencipta dan dari sifat jumud ke sifat dinamis. Dengan harta umat dapat membina stesen-stesen TV satelit dan dengan itu dapat disampaikan berita yang sahih perihal umat kepada umat. Dengan harta umat dapat melengkapkan diri dengan semua jenis persenjataan dan dapat membela diri sendiri apabila dianiaya. Dengan harta umat dapat membina ekonomi tersendiri dan membantu negara lain, tanpa mengira sama ada mereka negara Islam atau tidak, asalkan dapat dibantu mereka tanpa sistem riba dan kapitalis, dan berbagai lagi.

Jika kita kaji sirah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, akan kita dapati harta dan kekayaan wujud dalam berbagai bentuk seperti kepingan emas dinar dan dirham, atau haiwan pacuan ketenteraan seperti kuda, haiwan tunggangan seperti unta dan haiwan ternak seperti keldai, lembu dan berbagai lagi. Selain itu wujud juga harta dalam bentuk baju besi, perisai, pedang, tombak, panah dan lain-lain. Semua harta ini telah memainkan peranan yang sangat penting dalam penyebaran Islam dan pendirian sebuah negara berdaulat. Sangatlah besar peranannya sehingga Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

Tidak ada harta yang bermanfaat kepada aku sebagaimana harta Abu Bakar telah memberi manfaat kepada aku.[234]

              Manfaatnya harta Abu Bakar al-Siddiq radiallahu ‘anhu kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah dari sudut Rasulullah membina sebuah mahligai untuk dirinya atau hidup bermewah-mewahan tetapi manfaatnya adalah dari sudut bantuannya kepada agama Islam secara keseluruhannya. Hadis di atas juga tidak menafikan peranan dan sedekah sahabat-sahabat lain kepada Rasulullah sallallahu-alihi-wasallam demi Islam dan umatnya, tetapi hanyalah sekadar menerangkan betapa banyaknya harta yang telah disedekahkan oleh Abu Bakar seorang berbanding sahabat-sahabat yang lain. (rujuk semula hadis B dalam Contoh ke-11).

            Sesetengah pihak ada yang berkata, kami memilih kehidupan yang menjauhi kekayaan dan kemewahan kerana mengikuti sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah tinggal di rumah yang umpama pondok kecil, tidur di atas tikar pelepah kurma dan tidak berpakaian kecuali dua atau tiga helai. Maka kerana itulah kami sengaja memilih hidup yang serba miskin dan minimum kerana mengikuti sunnah adalah jauh lebih utama dari memiliki harta kekayaan.

             Penulis berkata, cara hidup yang dipilih oleh segelintir orang seperti di atas tidak sedikitpun dapat dikatakan sebagai mengikuti sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, malah yang benar adalah mereka menyalahinya.

               Ketahuilah bahawa Rasulullah pada zaman kehidupannya adalah orang yang paling kaya lagi berharta di dunia. Bukankah Rasulullah pada zamannya memiliki negara seluas seluruh Semenanjung Arab, memiliki alat-alat ketenteraan yang tidak terbilang seperti kuda, pedang dan sebagainya, kekuasaan yang sentiasa bersiap sedia untuk meluaskan pembukaan Islam ke wilayah-wilayah baru [235], memiliki harta rampasan dan peninggalan perang yang berbukit-bukit dan berbagai lagi ?

             Oleh itu adalah tidak benar apabila dikatakan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang miskin. Yang benar adalah, baginda seorang yang kaya dan seorang yang miskin, kedua-duanya berkumpul pada satu waktu yang sama. Akan tetapi kaya dan miskinnya Rasulullah adalah sangat berbeza dengan kaya dan miskinnya orang lain. Rasulullah adalah seorang yang sangat kaya tetapi baginda tidak sedikitpun merasai kekayaan tersebut melainkan semuanya dicurahkan demi manfaat agama dan umat. Dengan demikian tinggallah Rasulullah dengan kehidupan yang miskin serba kekurangan tetapi kemiskinan ini juga tidak sedikitpun membawa mudarat kepada dirinya mahupun kepada agama dan umat.

             Miskinnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah sesuatu yang sengaja dibuat-buatnya tetapi ia adalah sikap tetap beristiqamah dengan cara kehidupannya yang asal, iaitu bersederhana dan berpuas hati dengan apa yang ada sekalipun ianya sangat minimum. Dalam suasana kemiskinan ini baginda tetap melaksanakan tugas-tugasnya secara keseluruhan tanpa dikurangi walau sedikitpun.

            Ini jauh berbeza dengan pola hidup kemiskinan yang dipilih oleh segelintir umat masa kini atas dasar kononnya mengikuti sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Kemiskinan mereka adalah kemiskinan total, mereka miskin bukan kerana menginfaqkan segala harta mereka di jalan agama tetapi miskin kerana sengaja tidak mahu berusaha mencari harta. Mereka tidak berkerja dan berdikari melainkan sekadar mengharapkan sedekah orang ramai. Secara keseluruhannya kehidupan mereka yang serba miskin tersebut tidak sedikitpun memberi manfaat kepada agama dan umat malah ia sebenarnya menjadi beban dan halangan. Bagaimana mungkin mereka berkata mereka sebenarnya mengikuti sunnah Rasulullah ? Sungguh jauh sekali !

            Sementara itu janganlah pula mereka yang memiliki kekayaan merasa diri mereka pula yang sedang berada di bawah petunjuk sunnah Rasulullah ! Seperti yang penulis katakan di atas, Rasulullah tidak pernah merasai kekayaan yang dimilikinya melainkan semuanya diserahkan demi kebajikan agama dan umat. Jika hartawan-hartawan masa kini menjejaki langkah yang sama sepertimana yang dijejaki oleh Rasulullah, maka mereka berada di bawah petunjuk sunnah yang benar. Jika tidak maka hal ini perlu direnungi dan diambil iktibar darinya.[236]

           Selain itu ada pula segelintir yang menyisihkan dirinya dari harta dan kekayaan atas alasan kononnya zuhud. Ketahuilah bahawa erti zuhud yang sebenar ialah mengosongkan hati dari sebarang ikatan dan ingatan harta, ia bukannya mengosongkan tangan dari harta. Seorang ahli zuhud yang sebenar ialah mereka yang apabila diberi harta mereka menerimanya tanpa terdetik kegembiraan dihati manakala apabila diambil semula harta tersebut mereka menyerahkannya tanpa terdetik kesedihan dihati. Ahli zuhud yang sebenar ialah mereka yang apabila diberi kedudukan (pangkat dan status) mereka menerimanya tanpa terlintas kebanggaan di hati manakala apabila ditarik semula kedudukan tersebut mereka melepaskannya tanpa terlintas rasa malu di hati.

            Hati seorang ahli zuhud sentiasa tahu lagi sedar bahawa apa yang ada di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah yang lebih baik dan kekal dari semua itu, sebagaimana firman-Nya:

           Dan apa jua yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya ? [al-Qasas 28:60]

            Oleh itu apabila kita melihat seseorang itu sengaja memilih jalan hidup yang serba minimum, kita tidak boleh berkata dia seorang ahli zuhud manakala apabila kita melihat seseorang yang serba mewah kita tidak boleh beranggapan bahawa dia bukan ahli zuhud. Cara sebenar untuk mengenal ahli zuhud ialah – tidak ternampak langsung pada dirinya sebarang tanda-tanda kezuhudan. Kerana zuhud itu letaknya dalam hati, bukan di luarnya, maka tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Allah Azza wa Jalla dan tuan punya hati itu sendiri.[237]

          Oleh itu adalah tidak benar jika seseorang itu menyisihkan diri dari harta dan kekayaan atas alasan zuhud. Malah jika benar seseorang itu ingin menjadi ahli zuhud, hendaklah dia berusaha mencari dan memiliki harta dan kemudiannya melatih hatinya untuk bersikap zuhud terhadap harta tersebut.

 

 

===========================

[231]       Beliau ialah Imam Abd al-Rahman ibn ‘Ali ibn Muhammad al-Jauzi, seorang tokoh besar dalam bidang hadis dan lain-lain. Karyanya melebihi 300 judul dalam berbagai bidang dan subjek agama. Meninggal dunia pada tahun 597H. Antara karyanya yang masyhur lagi memiliki manfaat yang besar ialah Talbis Iblis, iaitu sebuah kitab yang khusus membongkar cara-cara iblis menggangu dan mempengaruhi umat Islam.

   Karya ini telahpun diterjemahkan sepenuhnya oleh Syed Ahmad Semait atas judul Belitan Iblis (Pustaka Islamiyah, Singapura) akan tetapi terdapat kesilapan dalam nama pengarangnya, yang dicatit adalah Ibn al-Qayyim padahal yang sebenarnya adalah Ibn al-Jauzi. Tidak diketahui samada kesilapan ini letaknya di tangan penterjemah atau penerbit asal dari Timur Tengah. Kesilapan ini bukanlah yang pertama kerana sebagaimana terang Nuh Ha Min Keller dalam Reliance of the Traveller, pg 1021 ketika mengutarakan biografi Ibn al-Jauzi, ramai yang pernah tersilap antara Ibn Jawzi dan Ibn Qayyim al-Jawziyya, di mana sandaran al-Jawziyya tersebut adakalanya disangkakan sebagai Jauzi sehingga menjadilah Ibn al-Jauzi. Namun sekadar kajian penulis, kesilapan nama pengarang dalam edisi terjemahan di atas tidaklah mencacatkan isi kandungan buku tersebut dalam apa jua bentuk sekalipun apabila dibandingkan dengan edisi Arab yang asal. Terdapat sebuah lagi edisi yang diterjemahkan oleh Kathur Suhardi atas judul Perangkap Syaitan (Pustaka al-Kautsar, Jakarta). Edisi ini bukanlah terjemahan lengkap tetapi diringkaskan di mana perlu agar tidak membebankan para pembaca awam.

[232]         Ertinya rasa tidak senang hati, resah dan sugul.

[233]        Ibn al-Jauzi – Belitan Iblis, ms 310-316, yang dinukil oleh penulis di atas adalah secara berpecah-pecahan dari edisi asal.

[234]       Hasan: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan Ibn Majah, dinukil dan dinilai hasan oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Sagheir – no: 8119 dan dipersetujui hasan oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jami’ al-Sagheir – no: 5808.

[235]        Aktiviti ketenteraan Islam tidak dikenali sebagai penjajahan tetapi dikenali sebagai al-Fath, iaitu pembukaan. Beza antara penjajahan dan pembukaan adalah, penjajahan bererti menakluki sesebuah negeri dan membolot semua yang ada di dalamnya, merampas harta, memperbudakkan manusia, mempengaruhi budaya dan berbagai lagi. Pembukaan adalah membersihkan sesebuah negara dari iklim Jahiliyah kepada iklim ilmiah dan daripada sembahan Taghut kepada sembahan Allah Azza wa Jalla. Penduduk diperkenalkan kepada agama Islam tanpa paksaan untuk memeluknya, hasil negara tetap kepunyaan rakyat, asalkan dibayar zakat dan jizyah manakala budaya dan peradaban setempat tidak diganggu kecuali yang memiliki unsur syirik.

[236]         Antara perbincangan yang sangat menarik dalam bab ini, antara kaya dan miskinnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah sepertimana yang dibahas oleh Ibn al-Qayyim dalam bukunya Sabar: Perisai seorang Mukmin (Pustaka Azzam, Jakarta). Silalah mengkajinya.

[237]        Antara lain, lihat Ibn al-Qayyim – Madarij al-Salikin, ms 147-152 dan Ibn Qudamah – Minhaj al-Qasidin, ms 421.

 

 

 
:: laman utama