|
BAHAGIAN
KEDUA
20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi
Percanggahan Tersebut
CONTOH
no 18
Pandangan Islam tentang Harta:
Sebelum diberikan penjelasan antara hadis-hadis di atas, perlu diterangkan
bahawa Islam tidak memandang harta sebagai sesuatu yang tercela atau yang
dibenci. Jika kita mengkaji dan mengulang kaji kitab al-Qur'an al-Karim,
akan kita dapati sejumlah petunjuk tentang kedudukan sebenar harta di
dalam Islam. Antaranya ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat:
Dan Allah telah melebihkan sebahagian
dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya.
[al-Nahl 16:71]
Dalam ayat ini Allah
menerangkan bahawa Dia sendiri telah mengurniakan kelebihan rezeki,
termasuk yang dimaksudkan adalah harta, kepada
sebahagian hamba-hamba-Nya. Sudah tentu kita tidak boleh mengatakan bahawa
kurnia Allah itu adalah sesuatu yang dicela atau dibenci oleh-Nya. Sebahagian
dari kamu yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam
ayat-Nya di atas adalah termasuk orang yang beriman lagi bertaqwa. Perhatikan
firman-Nya dalam ayat berikut:
Dan sesiapa yang bertaqwa
kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari
segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan
yang tidak terlintas di hatinya. [al-Talaq
65:2-3]
Dalam peraturan menguruskan harta-harta anak
yatim, Allah Azza wa Jalla berfirman:
Dan janganlah kamu berikan (serahkan)
kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang
ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu
semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja
dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah
kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
Dan ujilah anak-anak yatim itu
(sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu
nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka)
telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada
mereka hartanya. [al-Nisaa’ 4:5-6]
Dalam peraturan di atas, Allah melarang seseorang itu menyerahkan harta
anak yatim yang telah diamanahkan kepadanya untuk dijaga sebagai waris
sehinggalah anak yatim tersebut telah baligh, cerdik dan berkebolehan.
Jika harta itu adalah sesuatu yang dicela atau yang tidak memiliki nilai
dalam Islam, sudah tentu tidak perlu diadakan peraturan sedemikian. Malah
dalam ayat ini juga Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberi penilaian yang tinggi
terhadap harta, iaitu sebagai sesuatu ……
yang Allah telah menjadikannya
untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu.
Selari dengan petunjuk ayat di atas ialah
ancaman Allah Azza wa Jalla kepada seorang pembazir dan pemboros, bahawa
mereka adalah umpama saudara-saudara syaitan:
Sesungguhnya orang-orang yang
boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah
makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
[al-Isra’ 17:27]
Ancaman ini jelas menunjukkan bahawa harta
adalah sesuatu yang bernilai lagi dipandang tinggi oleh Islam. Malah harta
juga adakalanya disebut sebagai “kebaikan” oleh Allah Tabaraka
wa Ta‘ala. Perhatikan ayat-ayat berikut:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
“Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah) ?”
Katakanlah: “Apa jua yang kamu belanjakan
dari kebaikan (khair) (iaitu harta benda), maka berikanlah kepada:
Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang
miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.”
Dan (ingatlah), apa jua yang
kamu buat dari jenis-jenis kebaikan (khair) (menginfaqkan harta),
maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan
sebaik-baiknya). [al-Baqarah 2:215]
Kamu diwajibkan, apabila seseorang
dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan kebaikan (khair) (iaitu
harta), hendaklah ia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat
dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan
atas orang-orang yang bertaqwa. [al-Baqarah
2:180]
Harta juga tetap disebut sebagai satu
“kebaikan” sekalipun terhadap orang yang tidak bersyukur serta tamak
kepadanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Sesungguhnya manusia sangat tidak
bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya)
menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian; Dan sesungguhnya ia
melampau sangat sayangkan al-Khair (kebaikan) – iaitu harta.
Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala
yang ada dalam kubur ? [al-‘Aadiyat 100:6-9]
Di sebalik ayat-ayat di atas, seolah-olah
wujud pula sejumlah ayat-ayat lain yang memberi petunjuk bahawa Islam
seolah-olah membenci lagi mencela harta. Antaranya adalah:
Ingatlah! Sesungguhnya manusia
tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), Dengan sebab
ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.
[al-‘Alaq 96:6-7]
Dan kalaulah Allah memewahkan
rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas
di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan
(rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya.
Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya,
lagi Melihat dengan nyata. [al-Shura 42:27]
Adakah mereka menyangka bahawa
apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu.
(Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka
pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya
yang sebenar). [al-Mu’minun 23:55-56]
Dan bukanlah harta benda kamu
dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau
sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka
itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka
telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di
Syurga) dengan aman sentosa. [Saba’ 34:37]
Dan janganlah engkau menujukan
pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan
kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang
merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya;
sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal. [Taha
20:131]
Dan kamu sentiasa makan harta pusaka
secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya), Serta kamu pula
sayangkan harta secara tamak haloba !
Jangan sekali-kali bersikap demikian!
(Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan)
diratakan serata-ratanya, Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat
berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), Serta diperlihatkan
neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat
(hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya
? Ia akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal
baik untuk hidupku (di sini) !” [al-Fajr
89:19-24]
Kamu telah dilalaikan (daripada
mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan
sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), - Sehingga
kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui
kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati) ! Sekali lagi (diingatkan):
jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak
akibatnya yang buruk pada hari kiamat) ! [al-Takathur
102:1-4]
Jika dikaji sedalam-dalamnya
ayat-ayat di atas, akan dikenal pasti bahawa yang dicela, diperingat dan
diancam oleh ayat-ayat di atas bukanlah harta dan pemilikannya, tetapi
adalah bagaimana seseorang itu berinteraksi dengan harta tersebut. Ayat-ayat
di atas sebenarnya ditujukan kepada orang yang merasa cukup lagi sempurna
dengan harta yang dimilikinya, melampaui batas sehingga membuat kerosakan
di mukabumi dengan hartanya, tamak menghimpunkan harta, enggan mengeluarkan
zakat dan menyangka bahawa dengan adanya harta pada mereka bererti seolah-olah
Allah meredhai mereka padahal ia mungkin hanyalah
satu ujian bahkan umpanan. Malah ada juga yang menyangka harta tersebut
akan dapat membela mereka di Hari Akhirat kelak pahahal tidaklah dapat
ia berbuat demikian kecuali apabila di dunia harta tersebut telah
dibelanjakan di jalan Allah seperti zakat, infaq dan sedekah.
Ayat-ayat di atas mengajar kita untuk berfikir
tentang harta, tidak leka dan lalai akannya dan tidak menjadikan harta
sebagai tujuan hidup tetapi menjadikannya sebagai alat untuk mencapai
keredhaan Allah dan menjauhi kemurkaannya. Oleh itu bezakanlah dengan
sebaik-baiknya antara firman-firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tersebut
dengan sejelas-jelasnya.
|