Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 18

             Hadis G:

Doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Kamu petunjuk, ketaqwaan, kebersihan diri dan kekayaan.[215]      

             Hadis H:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan para ahli waris engkau dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan menadah tangan (meminta-minta) kepada manusia.[216]

Hadis I:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam:

Sebaik-baik harta yang halal adalah harta yang dimiliki oleh orang yang soleh.[217]

Hadis J:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

           Berperanglah (jihad fi sabilillah) nescaya kalian akan memperolehi harta rampasan, berpuasalah nescaya kalian akan sihat dan bermusafirlah nescaya kalian akan kaya.[218]

Hadis K:

Hampir-hampir kemiskinan itu menyebabkan kekufuran.[219]

10 hadis di atas nampaknya memberi petunjuk yang bercanggah antara satu sama lain. Hadis A, B, C, D dan E menerangkan bahawa harta adalah sesuatu yang tidak disukai oleh Islam, ia pernah dilaknat oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, didoakan agar dijauhkan umat darinya dan diberi peringatan akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh para pemilik harta di Hari Perhitungan nanti. Hadis G, H, I, J dan K pula menerangkan yang sebaliknya, iaitu harta adalah sesuatu yang baik, dianjurkan seseorang mencarinya malah didoakan sama oleh Rasulullah agar umatnya memiliki harta. Hadis F tidak diambil kira kerana isnadnya adalah lemah manakala maksudnya adalah batil.

10 himpunan hadis-hadis di atas adalah satu lagi contoh hadis-hadis yang sebenarnya saling melengkap antara satu sama lain sehingga ia harus difahami secara keseluruhannya dan tidak secara berasingan.

Jika kita mengkaji secara mendalam antara 10 hadis-hadis di atas, akan kita dapati yang disukai atau yang dibenci oleh Islam bukanlah harta itu sendiri akan tetapi adalah bagaimana seseorang itu berinteraksi dengan harta tersebut. Yakni bagaimana seseorang itu mencari harta, membelanjakannya, memilikinya dan berurusan dengannya.

 

 

===========================

[215]       Sahih: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn Mas‘ud radiallahu ‘anhu, lihat Sahih Muslim – no: 2721. (Kitab Zikir, dan doa, taubat dan istighfar, Bab Meminta perlindungan dari sesuatu yang dilakukan……..).

[216]      Sahih: Sebahagian hadis yang panjang dari Sa‘ad bin Abi Waqqas radiallahu ‘anhu, lihat Sahih Muslim – no: 1628. (Kitab Wasiat, Bab Wasiat adalah satu pertiga…..).

[217]       Sanad Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari ‘Amr al-Ash radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari (al-Adab al-Mufrad) dan Abu Ya’la, sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad Abu Ya’la – no:7336 (Musnad ‘Amr bin al-‘Ash, hadis pertama).

[218]       Hasan: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 8312, berkata penyemak – M. Hasan Ismail: sanadnya sangat daif. Saya berkata, maksud hadis ini diperkuat oleh beberapa dalil lain, antaranya ialah firman Allah Subhanahu waTa‘ala:

      Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah, nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. [al-Nisaa’ 4:100] Dan juga ayat berikut:

       Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agama-Nya). [al-Muzammil 73:20]

      Dan juga sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada seorang lelaki yang baru meninggal dunia di tempat kelahirannya di Kota Madinah:

   Sesungguhnya seseorang itu apabila dia meninggal dunia di tempat selain tempat kelahirannya, akan diukur dari tempat kelahirannya hingga ke tempat kematiannya satu jarak baginya dalam syurga. [Sanad Hasan: Ringkasan hadis daripada ‘Abd Allah bin ‘Amr radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Nasai, Ibn Majah, Ibn Hibban dan lain-lain, sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban – no: 2934 (Kitab Jenazah, Bab Tentang Sabar dan ganjaran apabila kesakitan).

                Ayat-ayat al-Qur‘an serta hadis di atas semuanya menerangkan tentang keutamaan berhijrah dan merantau kerana dan demi mencari rezeki Allah Subhanahu waTa‘ala. Berdasarkan petunjuk ayat al-Qur‘an dan hadis di atas, penulis berpendapat bahawa hadis Abu Hurairah di atas dapat diangkat ke taraf hasan, iaitu lemah sanadnya tetapi benar matannya. Allah sahaja yang lebih mengetahui.

[219]     Hasan: Hadis daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad bin Mani’, Abu Nu‘aim, Ibn al-Sakun, al-Baihaqi (Syu‘abu al-Iman) dan Ibn ‘Adiy, dinukil dan dinilai daif oleh al-Ajluni dalam Kasyfu al-Khafa’ – no: 1917. Hadis ini juga dibincang oleh al-Munawi dalam Faidh al-Qadir Syarh Jamii’ al-Sagheir – no: 6199 dan beliau mengutip kata-kata al-Syakhawi bahawa semua jalan-jalan periwayatan hadis ini adalah daif. Namun al-Zarkasyi berpendapat bahawa hadis ini memiliki penguat dari sebuah hadis lain yang turut mengaitkan antara kefakiran dan kekafiran, iaitu yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa

“Ya Allah ! Sesungguhnya aku berlindung kepada engkau dari kekafiran dan kefakiran.” Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah: “Ya Rasulullah ! Adakah keduanya bersamaan ?” Rasulullah menjawab: “Ya.” [Hasan: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan Ibn Hibban, sanadnya dinilai daif oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban – no: 1026. Saya menguatkannya ke tangga hasan berdasarkan sebuah lagi penguat dari doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang turut menghubungkan antara kekafiran dan kefakiran, iaitu:

Ya Allah ! Sesungguhnya aku berlindung kepada engkau dari sifat lemah, malas, penakut, kikir, tua, kesat hati, lalai, kekurangan, hina dan kemiskinan. Dan aku berlindung kepada engkau dari kefakiran dan kekafiran, kefasikan, pertengkaran, kemunafikan, bangga diri dan ria’. Dan aku berlindung kepada engkau dari tuli, bisu, gila, sakit kusta dan sakit yang buruk-buruk.

Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi (Kitab al-Doa) dari Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, dinukil dan dinilai sahih oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Sagheir – no: 1489 dan dipersetujui oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jami’ al-Sagheir – no: 1285]

 

 

 
:: laman utama